Pemain Honor of Kings di Malaysia kini boleh menggunakan kebolehan baharu yang direka khusus untuk mod Super Flow Brawl. Ciri yang sudah mula diakses pada hari ini merupakan hasil inisiatif penciptaan bersama antara pembangun permainan, komuniti pemain tempatan, dan pencipta kandungan, Alieff Irfan.

Kebolehan eksklusif ini direka sepenuhnya berdasarkan kempen undian empat fasa yang melibatkan penyertaan komuniti pemain Malaysia. Melalui fasa tersebut, pemain telah menentukan pelbagai elemen teras termasuk suara bakat, warna, dan identiti visual keseluruhan.

Fokus utama kebolehan ini menterjemahkan identiti Alieff Irfan melalui tema pemotoran. Apabila diaktifkan, ia akan menyeru satu formasi skuad motosikal. Dari aspek mekanik pertempuran pula, kebolehan ini menampilkan kesan dalam permainan yang membolehkan pemain melambung musuh ke udara dan mencuri kelajuan pergerakan musuh. Selain itu, jumlah motosikal di dalam skuad akan bertambah bagi setiap lawan yang berjaya ditewaskan, sekaligus memberikan kelebihan dinamik di dalam perlawanan.

Kolaborasi ini mula diumumkan pada penghujung Mac lalu sebelum pengenalan rasminya dibuat pada bulan April. Alieff Irfan merupakan salah seorang personaliti digital paling popular di Malaysia dengan lebih 12 juta pengikut, dan beliau juga pernah mewakili negara dalam kejohanan National Star Challenge serta Tri-Nation Showdown di Jakarta baru-baru ini.

Leave a Reply