Bermula 30 April ini, pemain Mobile Legends: Bang Bang berpeluang memenangi sebahagian daripada 2,000 barangan kemas fizikal dan 55 juta Diamonds melalui acara tahunan ALLSTAR 2026. Acara pada tahun ini membawakan tema bawah laut yang memperkenalkan perubahan ketara kepada peta permainan, mekanik perlawanan, serta penawaran pelbagai kosmetik baharu.
Bagi merebut barangan kemas dan mata wang dalam permainan tersebut, pemain perlu mengumpul Treasure Hunt Coins melalui sistem Battlefield Drops yang baharu diperkenalkan. Syiling ini boleh diperoleh dengan melengkapkan objektif neutral, memusnahkan turet musuh, mencari jatuhan tersembunyi, atau merekodkan bunuh dan bantuan di dalam perlawanan. Syiling yang terkumpul kemudiannya boleh digunakan dalam acara Tidal Treasure Hunt yang berlangsung sehingga 28 Jun untuk menebus ganjaran.


Selain ganjaran fizikal, kemas kini ini merombak visual peta Land of Dawn kepada persekitaran laut dalam. Bos utama dalam perlawanan, Elemental Lord, telah digantikan dengan Siren Lord. Pemain yang berjaya menewaskan bos baharu ini akan mendapat kelebihan strategik bagi mengubah rentak perlawanan.
Acara ini juga membolehkan pemain mendapatkan kosmetik percuma, termasuk Special Skin “Tidescale Sealord” dan Special Painted Skin “Fanthomless Sealord” untuk watak Yu Zhong. Beberapa kosmetik lain turut ditawarkan untuk tempoh terhad, iaitu skin “Seasworn Oracle” dan Painted skin “Seasworn Seeker” untuk Pharsa, serta skin “Phantom Current” untuk Julian.


Dalam pada itu, pemain boleh menyertai permainan mini Tidal Fishing bermula 15 Mei hingga 28 Jun. Dengan melengkapkan tugasan, pemain akan menerima umpan untuk menangkap ikan pada pelbagai tahap jarang (rarity), iaitu Green, Blue, Purple, dan Rare. Pemain yang berjaya mengumpul set penuh ikan Rare boleh menukarkannya di pasaran untuk mendapatkan Deluxe Battle Emote eksklusif.
Ketua Penerbitan Global MLBB di MOONTON Games, Terry Zhang, menyatakan bahawa pengagihan barangan kemas pada tahun ini bertujuan untuk menghubungkan pengalaman maya dalam judul MOBA tersebut dengan ganjaran fizikal di dunia nyata. Acara ALLSTAR tahun ini juga seiring dengan sambutan ulang tahun ke-10 Mobile Legends: Bang Bang, yang kini mencatatkan 110 juta Pengguna Aktif Bulanan (MAU) secara global.


