Kumpulan muzik Korn telah melancarkan lagu baharu pertama mereka dalam tempoh lebih empat tahun berjudul “Reward the Scars”. Pelancaran trek baharu berserta video muzik ini dibuat serentak dengan pengeluaran Lord of Hatred, penambahan kedua untuk permainan Diablo IV.

Lagu yang membawa tema penderitaan dan kelangsungan hidup itu sebelum ini pernah dimainkan secara langsung buat pertama kali sewaktu persembahan Korn di festival muzik Sick New World. Video muzik rasminya, yang kini tersedia di saluran rasmi Korn dan Diablo, menggabungkan muzik mereka dengan elemen visual dan penceritaan dari dunia permainan tersebut.

Menurut vokalis Korn, Jonathan Davis, “Reward the Scars” pada asalnya digubah sewaktu sesi penulisan biasa kumpulan itu sebagai lagu baharu mereka. Ia kemudiannya diserapkan ke dalam projek ini kerana kesesuaian melodi dan tema liriknya dengan elemen gelap francais Diablo.

Penambahan Lord of Hatred yang dilancarkan hari ini bertindak sebagai penutup kepada saga Age of Hatred. Kandungan baharu ini membawa pemain kepada konfrontasi secara langsung menentang karakter Mephisto.

Permainan action-RPG ini ditawarkan untuk platform PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Xbox One, dan PC dengan sokongan penuh untuk rentas kemajuan serta rentas platform.

Leave a Reply