Ubisoft telah mengumumkan yang permainan Anno 117: Pax Romana telah mencatat 1.17 juta pemain sejak pelancarannya pada 13 November 2025. Angka ini menjadikannya judul permainan yang paling pantas terjual dalam sejarah francais tersebut. Pengumuman pencapaian ini dibuat menjelang pelancaran kandungan tambahan DLC pertama, iaitu Prophecies of Ash yang dijadualkan pada 30 April 2026.

Untuk DLC Prophecies of Ash, pemain akan menerima kawasan peluasan baharu di wilayah Latium yang menampilkan pulau terbesar pernah dihasilkan untuk francais ini. Kandungan ini memfokuskan kepada cabaran pengurusan bencana alam dengan kehadiran gunung berapi aktif yang mempunyai pelbagai fasa letusan. Pemain perlu menyembah dewa Vulcan bagi meningkatkan hasil lombong, membina rantaian pengeluaran baharu, serta melakukan pertukaran obsidian untuk mendapatkan pakar baharu.

Ubisoft turut menggariskan pelan kandungan berterusan untuk Pas Tahun Pertama. Selepas April, pemain akan menerima kemas kini The Hippodrome pada Ogos 2026 yang membawakan monumen perlumbaan kereta kuda berinspirasikan Circus Maximus bagi mendapatkan kelebihan untuk bandar dan pakar baharu. Seterusnya pada November 2026, kemas kini Dawn of the Delta akan membuka wilayah baharu yang berlatarbelakangkan padang pasir dan delta sungai. Menerusi wilayah ini, pemain perlu menguruskan tahap populasi baharu yang perlu menyeimbangkan gaya pemerintahan Rom dengan tradisi Mesir, serta menampilkan dewa-dewa baharu di samping unit ketenteraan baharu.

Peluang untuk pemain yang ingin mencuba, satu sesi permainan percuma ditawarkan bermula 23 hingga 27 April. Kempen rujukan rakan juga dibuka sehingga 17 Mei yang membolehkan pemain sedia ada mendapat ganjaran Fame Points bagi setiap pendaftaran individu yang berjaya.

Menurut Penerbit Eksekutif, Stéphane Jankowski, pasukan pembangunan akan terus berusaha memberikan kandungan yang dijanjikan untuk Tahun Pertama. Anno 117: Pax Romana sudah dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series, PC melalui Steam, Epic Games Store, dan Ubisoft Connect.

Baca: Ulasan Anno 117: Pax Romana

Leave a Reply