Justdan International telah mengumumkan yang mereka akan mengedarkan versi fizikal untuk permainan akan datang oleh Game Freak iaitu Beast of Reincarnation di Asia Tenggara. Versi fizikal ini akan dilancarkan untuk PlayStation 5 bermula 4 Ogos dengan sesi pra-tempahan sudah dibuka. Permainan ini juga akan dilancarkan untuk Xbox Series dan PC.

Berlatarkan negara Jepun pasca-apokaliptik pada tahun 4026, permainan ini memfokuskan kepada mekanik yang dikawal oleh seorang manusia dan seekor anjing. Pemain akan mengikuti perjalanan Emma, seorang individu terpinggir yang kehilangan memori dan emosi, bersama Koo, seekor anjing yang diklasifikasikan sebagai entiti ‘Malefact’. Matlamat utama penceritaan ini adalah menjejaki dan menewaskan pelbagai bos di seluruh dunia untuk menyerap kuasa mereka bagi mengalahkan entiti yang dikenali sebagai Beast of Reincarnation.

Sistem pertempuran Beast of Reincarnation menggunakan pendekatan hibrid yang menggabungkan elemen masa nyata dan mengikut giliran. Pemain mengawal serangan pedang Emma secara langsung, pada masa yang sama memberikan arahan taktikal kepada Koo untuk melancarkan teknik-teknik tertentu di medan pertempuran. Sistem permainan turut menyokong penyesuaian gaya pertarungan seperti serangan jarak jauh, menyelinap, atau agresif, melalui tetapan pokok kemahiran, kelengkapan, dan souls stone.

Sebagai insentif pembelian awal, edisi fizikal ini akan disertakan dengan kandungan muat turun (DLC) yang sama seperti Edisi Digital Deluxe. Bonus dalam permainan ini merangkumi kosmetik kulit anjing Shiba berwarna coklat dan hitam, topi Oni, Big Dipper, 100,000 unit Amber, serta pelbagai benih tanaman. Kod penebusan bonus ini boleh digunakan di PlayStation Store dan sah sehingga 31 Disember 2099. Permainan ini menyokong sari kata pelbagai bahasa, sementara alih suara terhad kepada bahasa Jepun dan Inggeris.

Leave a Reply