Toei Company Limited secara rasminya melangkah ke pasaran permainan video melalui penubuhan jenama baharu yang dikenali sebagai “Toei Games”. Menerusi jenama ini, syarikat hiburan tersebut mengambil pendekatan strategik memfokuskan sepenuhnya kepada judul-judul baharu yang dibangunkan oleh barisan pencipta dari Jepun dan antarabangsa.

Penembusan awal Toei Games pada tahun 2026 akan ditumpukan kepada pasaran PC melalui platform Steam. Syarikat itu bagaimanapun merancang untuk memperluaskan penawaran judul mereka kepada platform konsol seperti Nintendo Switch, PlayStation, dan Xbox pada masa akan datang. Pendedahan rasmi untuk judul permainan video sulung syarikat ini dijadualkan pada 24 April.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Toei, Fumio Yoshimura, sektor permainan video ini disasarkan menjadi tonggak utama baharu bagi syarikat tersebut, meletakkannya sebaris dengan operasi perniagaan teras sedia ada seperti filem, televisyen, dan acara. Strategi jangka panjang ini sejajar dengan wawasan “TOEI NEW WAVE 2033” syarikat yang menjadikan pasaran global sebagai sasaran utama.

Bagi menterjemahkan identiti visual jenama baharu ini, Toei Games telah bekerjasama dengan pembangun yang pakar dalam genre business simulation games, iaitu Kairosoft Inc. Kolaborasi tersebut menghasilkan rekaan logo berserta sebuah animasi piksel khas yang memaparkan pembukaan ikonik filem Toei, iaitu Waves on the Rough Shore. Mengulas mengenai rekaan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kairosoft, Kairo-kun menyatakan bahawa ia menghasilkan visual yang melambangkan keadaan industri permainan video yang sedang dilambung ombak.

Leave a Reply