Lee Cronin merupakan satu nama yang kian popular di dalam genre Horror, bermula dengan The Hole in the Ground dan kejayaan kutipan besar Evil Dead Rise, oleh itu tidak aneh untuk melihat filem seterusnya oleh beliau membawa namanya di judul. Namun, saya merasakan sebab utama adalah untuk memastikan orang ramai tidak merasakan The Mummy ini mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana filem berjudul sama sebelum ini. Ini merupakan pembawaan baharu untuk francais ini, sepertimana yang cuba dilakukan pada tahun 2017 lakonan Tom Cruise yang bukan sahaja gagal tetapi juga membatalkan projek Dark Universe.

Selain itu, filem The Mummy ini juga beralih daripada premis kebiasaan untuk siri judul ini. Filem ini tidak berkait dengan firaun ataupun keluarga diraja purba Egypt, sebaliknya ia berkait dengan satu entiti yang dipenjarakan di dalam badan manusia. Oleh itu, secara teknikal bagi saya ia bukanlah “The Mummy” yang kita tahu. Penceritaan memfokuskan kepada keluarga Cannon iaitu Charlie Cannon (Jack Reynor) seorang pemberita yang sedang bertugas di Egypt bersama dengan isterinya Larissa Santiago-Cannon (Laia Costa), anak lelakinya Sebastián Cannon (Shylo Molina) dan anak perempuannya Katie Cannon (Natalie Grace).
Semasa sedang bermain di laman rumah mereka, Katie telah diculik oleh seorang wanita, yang ingin gunakan Katie sebagai badan baharu untuk menyimpan entiti tersebut. Charlie cuba untuk mencari Katie, termasuk juga melaporkan kepada polis yang dikendalikan oleh Detektif Dalia Zaki (May Calamawy), iaitu seorang anggota polis baharu dan tidak berpengalaman, orang atasan juga tidak bersungguh-sungguh untuk mencarinya kerana kes kehilangan kanak-kanak berlaku terlalu kerap di sana. Penceritaan kemudian beralih lapan tahun kemudian dan keluarga Cannon kembali ke Amerika Syarikat, mereka juga mendapat anak perempuan baharu iaitu Maud Cannon (Billie Roy).

Charlie, Larissa, dan juga Sebastian masih terkesan dengan kehilangan Katie, mereka juga terus menyediakan satu bilik untuknya walaupun sudah lama tiada perkembangan. Namun, segala berubah apabila mereka menerima panggilan mengatakan yang Katie sudah dijumpai di dalam sebuah keranda. Katie masih hidup tetapi dengan keadaan yang sangat mengerikan dengan masalah kulit, malnutrisi dan juga sering bertindak ganas. Doktor di Egypt mencadangkan mereka membawa Katie pulang kerana menurutnya jagaan keluarga adalah lebih baik. Mereka membawa Katie pulang dengan harapan untuk memulihnya, tetapi mereka tidak menyedari yang Katie menjadi rumah kepada satu entiti yang jahat.
Masalah utama bagi saya dengan penceritaan ini adalah bagaimana premis untuk Katie di bawa semula menyertai keluarga adalah sangat tidak masuk akal. Seseorang yang diculik, berada di keranda untuk beberapa tahun, dan cara pengubatan terbaik adalah tinggal bersama keluarga? Walaupun kita ketepikan kehadiran entiti tersebut, ia masih kurang menyanyikan. Bagi saya penulisan sedikit malas untuk mencari cara terbaik di dalam penghasilan jalan cerita ini. Apabila Katie berada di rumah, dengan pelbagai kejadian berlaku, keadaan bertambah lagi menjadi seperti komedi dengan keputusan-keputusan yang dilakukan oleh Charlie dan juga Larissa.

Ia juga menjadi bertambah janggal apabila filem ini cuba untuk menyertakan kembali Detektif Dalia Zaki yang berasa bersalah kerana tidak dapat menjumpai Katie waktu dahulu. Penyertaannya di dalam filem ini bagi saya agak kekok, pertama mereka berada di dua negara berbeza, dan penglibatannya walaupun menjadi agak penting pada satu bahagian, tetapi bagi saya tidak mencukupi untuk benar-benar memberi sebab yang kukuh bagi penglibatannya di dalam jalan cerita ini. Sebaliknya, ia mengganggu kelancaran penceritaan yang kelihatan berterabur. Charlie dan Dalia bekerjasama untuk menyiasat mengenai apa yang berlaku kepada Katie, tetapi penyiasatan tersebut dan juga penyelesaian terasa sangat permukaan sahaja, kurang menarik dan mendalam. Ia mungkin lebih baik jika penceritaan terus berlaku di Egypt, dan penglibatan Dalia lebih menyeluruh.
Kekurangan pada premis dan penceritaan serba sedikit ditampung oleh penghasilan visual yang mengerikan, sudah menjadi kebiasaan untuk Lee Cronin, dia suka menggunakan bahagian manusia, seperti kuku, kulit yang terkoyak dan semua ini benar-benar membuatkan saya tidak selesa tetapi pada masa yang sama saya tidak boleh berhenti untuk terus melihatnya kerana ia dilakukan dengan meyakinkan. Jika anda ingin melihat sesuatu yang seram, ganas dan ngeri, filem ini membawa perkara ini dengan secukupnya, walaupun persediaan untuk adegan-adegan ini kurang meyakinkan.

Akhir kata, Lee Cronin’s The Mummy masih membawa apa yang membuatkan penonton menyukai karya beliau, visual serta pembinaan kawasan yang seram dan ngeri terutama penggunaan anggota tubuh manusia. Namun, filem ini mempunyai satu masalah besar di dalam penceritaan yang bagi saya bukan tidak menarik tetapi lebih kepada penyampaian yang bercelaru terlalu banyak elemen yang memerlukan saya untuk menutup mata sahaja dengan bertapa malasnya pembinaan jalan cerita tersebut. Ia masih memberi pengalaman yang baik untuk peminat genre Horror akan tetapi ia bukanlah filem yang terbaik oleh Lee Cronin mahupun bagi francais The Mummy ini.


