PUBG MOBILE akan mengadakan acara fizikal selama tiga hari di Sunway Pyramid bermula 3 hingga 5 April 2026 bersempena dengan ulang tahun ke-8 judul tersebut. Festival ini menggabungkan pertandingan komuniti, persembahan artis tempatan, serta pengenalan kandungan baharu untuk para pemain.
Serentak dengan sambutan ini, PUBG MOBILE melancarkan kemas kini Versi 4.3 yang diberi nama “Evolving Universe”. Kemas kini ini membawakan pembaharuan bertemakan antara galaksi ke dalam peta Erangel, yang merangkumi penambahbaikan kawasan bandar dan pengenalan mekanik rel berkelajuan tinggi.

Komuniti pemain akan berpeluang menjadi antara yang pertama mencuba mekanik baharu ini melalui kejohanan AYAM GORENG CUP: Edisi Ulang Tahun yang dijadualkan berlangsung pada hari pertama acara. Selain itu, hari pembukaan tersebut turut memuatkan cabaran trivia, pertandingan tarian emote, dan perlawanan santai melibatkan pemain cosplay.
Bagi segmen hiburan, penganjur mengumumkan kolaborasi rasmi antara PUBG MOBILE dan Sony Music Entertainment pada 4 April. Kerjasama ini membawakan sebuah lagu ulang tahun baharu yang menggabungkan penampilan tiga artis hip-hop tempatan iaitu Kidd Santhe, Malique, dan Yonnyboii. Pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan pentas secara langsung oleh Nazu dan kumpulan MASDO, diikuti dengan persembahan khas oleh Kidd Santhe dan Yonnyboii.
Pada hari terakhir acara, pengisian utama melibatkan Cosplay Runway Show yang mempamerkan kostum Gilt Set dan X-Suit di dunia sebenar, serta persembahan tarian budaya oleh kumpulan Zeppo Youngsterz. Sebuah perlawanan KOL Showmatch juga akan diadakan, menampilkan pempengaruh dan pasukan tempatan seperti Soloz & Feekz, Mantap Jiwa Gaming, dan Yoodo Gank.
Sepanjang tiga hari festival tersebut, pengunjung boleh melawat ruang pameran Clazroom Academy di Oasis Lobby dan mencuba penawaran makanan melalui kolaborasi bersama jenama Krispy Kreme. Acara ini turut disokong oleh rakan rasmi lain termasuk Razer Inc selaku pembekal kerusi gaming dan ARC Helmet.


