Ada ketikanya saya mengalami serendipity apabila melangkah masuk ke panggung wayang tanpa mengetahui apa-apa tentang sesebuah naskhah. Apabila melangkah keluar, ia serta-merta menjadi filem terbaik yang pernah saya tonton. Pengalaman magis ini berlaku kepada saya pada tahun 2016 menerusi Your Name, dan ia berulang kembali tahun ini dengan Yi Yi (turut dikenali sebagai Yi Yi: A One and a Two). Walaupun asalnya ditayangkan pada tahun 2000, pihak GSC baru-baru ini telah membawakan versi Restorasi 4K ke layar perak, memberikan saya peluang berharga untuk menyaksikannya buat kali pertama.

Menonton karya ini mengingatkan saya kembali mengapa saya begitu mencintai seni filem dan mengapa saya terus menontonnya. Filem mempunyai keupayaan untuk membawa kita ke tempat-tempat yang sangat dekat dengan jiwa, di mana kadang-kadang kita boleh mengaitkannya dengan kehidupan sendiri, dan kadang-kadang kita sekadar lemas dalam emosinya. Yi Yi mempunyai segala-galanya; keseimbangan komedi yang bernas, penceritaan drama, sentuhan cinta, dan di atas segalanya, ia adalah sebuah refleksi jujur mengenai kehidupan.

Diarahkan oleh mendiang Edward Yang, yang mana ini merupakan salah satu karya terakhir beliau, filem ini adalah sebuah ciptaan agung yang menyelusuri kehidupan biasa sebuah keluarga. Kita diperkenalkan kepada keluarga Jian yang terdiri daripada NJ (Bapa), Min-Min (Ibu), Ting-Ting (Anak perempuan), dan Yang-Yang (Anak lelaki).

Mereka sekadar sebuah keluarga kelas pertengahan biasa yang menetap di kota Taipei. Tiada apa yang terlalu luar biasa tentang mereka, sehinggalah nenek mereka koma akibat terjatuh. Berikutan insiden malang tersebut, ahli keluarga ini perlahan-lahan mula berhadapan dengan krisis peribadi mereka secara individu. Bapa mereka, NJ, terpaksa berhadapan dengan masalah tekanan di tempat kerja serta kemunculan semula cinta silamnya. Sementara itu, Min-Min selaku ibu mula mengalami krisis pertengahan umur setelah berasa bahawa kehidupannya hanyalah sebuah kitaran rutin yang berterusan tanpa makna. Anak perempuan mereka, Ting-Ting, pula sedang tercari-cari erti cinta dan persahabatan di usia remajanya, manakala Yang-Yang, si bongsu yang polos, sarat dengan perasaan ingin tahu tentang dunia di sekelilingnya.

Kehebatan sebenar naskhah ini terletak pada pemerhatiannya. Setiap watak menghadapi krisis dan mengharungi fasa kehidupan mereka dalam ruang lingkup tersendiri. Hakikat bahawa dalam tempoh tayangan kurang daripada tiga jam, setiap untaian kisah ini dapat digarap dan disampaikan secara individual dengan begitu sempurna, adalah sesuatu yang sangat menakjubkan. Tidak cukup dengan itu, filem ini juga memberi ruang untuk beberapa lagi watak di luar keluarga Jian untuk disampaikan kisahnnya tersendiri dan mempunyai kejutan tambahan.

Saya juga ingin memberikan tepukan gemuruh kepada barisan pelakon yang menyuguhkan persembahan luar biasa: Wu Nien-jen sebagai NJ, Elaine Jin sebagai Min-Min, Kelly Lee sebagai Ting-Ting, dan Jonathan Chang sebagai Yang-Yang. Mereka berjaya menterjemahkan kisah ini dengan gaya yang sangat bersahaja, seolah-olah melaungkan mesej bahawa “inilah realiti kehidupan”.

Bukan mudah untuk mengekalkan keaslian tanpa kelihatan kekok apabila sesebuah cerita itu terlalu kuat berpaksikan realiti yang mendatar. Ia mudah terasa janggal atau dibuat-buat, namun kesemua pelakon dalam filem ini melunaskan tanggungjawab watak mereka dengan begitu sempurna.

Untuk merumuskan filem ini, saya ingin meminjam satu petikan dialog daripada filem ini sendiri: “Kita hidup tiga kali lebih lama sejak manusia mencipta filem.” Kenyataan itu sememangnya tepat. Melalui perjalanan filem ini, saya telah berpeluang melihat seorang kanak-kanak membesar, remaja yang keliru mencari erti kehidupan, dan orang dewasa yang bergelut mengharungi masalah serta mendamaikan masa silam mereka. Karya ini merangkumi setiap fasa kewujudan manusia, dan hakikat bahawa kesemua elemen ini dianyam dalam satu simetri yang harmoni membuktikan betapa geniusnya sentuhan seorang Edward Yang. Ia adalah satu filem yang seharusnya berada di dalam bucket list setiap orang yang meminati filem.

Yi Yi: A One and a Two di bawa oleh GSC International Screens dan sedang ditayangkan di lokasi-lokasi GSC terpilih.

Yi Yi: A One and a Two
"Kita hidup tiga kali lebih lama sejak manusia mencipta filem." Ia merupakan satu ungkapan di dalam filem ini yang benar-benar menggambarkan filem ini dengan tepat sekali, filem ini menyampaikan segala aspek kehidupan melalui satu keluarga dengan sangat sempurna dan seharusnya menjadi filem yang wajib ditonton oleh semua.
Positif
Penceritaan yang sangat pelbagai
Penyampaian santai dan berkesan
Lakonan sangat berkualiti
Negatif
Hampir 3 jam mungkin terlalu lama (tidak!)
10

Leave a Reply

Final Score