Filem Mojoku Hilang! bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai 2026. Naskhah bergenre romantik komedi arahan Min Lim ini diterajui oleh pelakon Mimi Lana dan Adipati Dolken. Penceritaan filem ini berpusat kepada insiden penculikan seekor lembu tular bernama Mojo oleh penduduk sebuah kampung di Perlis sebagai usaha untuk menghalang pengambilalihan tanah mereka oleh sebuah syarikat korporat dari bandar.

Bagi menjayakan agenda syarikat tersebut, seorang pengurus bernama Adi (lakonan Adipati Dolken) ditugaskan untuk menyamar sebagai individu yang inginkan kehidupan tenang di kampung berkenaan. Misi utamanya adalah untuk memenangi kepercayaan penduduk, mendapatkan hak milik tanah, dan membawa Mojo pulang ke Kuala Lumpur. Namun, rancangan tersebut berdepan kerumitan apabila Adi secara tidak sengaja jatuh cinta kepada Ayu (lakonan Mimi Lana), seorang gadis tempatan yang paling lantang menentang syarikat korporat tersebut.

Diterbitkan oleh Double Vision bersama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories, dan ARGO Films, filem ini mempunyai durasi tayangan selama 135 minit berserta klasifikasi 13. Sesi penggambaran mengambil masa selama 23 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Perlis, dengan sokongan daripada pihak Kerajaan Negeri Perlis. Filem ini memaparkan penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia dalam penceritaannya.

Filem ini turut membariskan barisan pelakon seperti Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Dato A. Tamimi Siregar, Farah Ahmad, Gambit Saifullah, Tony Eusoff, Haeriyanto Hassan, Ayu Azlina, Seha Monica, dan Atilia Haron. Mojoku Hilang! juga menandakan kali pertama Mimi Lana membawakan watak utama untuk genre romantik komedi, di mana dia turut menyumbangkan suara melalui nyanyian semula lagu “Mulanya Disini” susunan Sam Anderson. Runut bunyi rasmi filem ini yang bertajuk “Inikah Cinta” dinyanyikan oleh kumpulan Alif Satar & The Locos, yang mana mereka juga membuat penampilan khas di dalam filem ini.

Leave a Reply