Apple Arcade bakal menambah tiga judul baharu, termasuk DREDGE+ dan Unpacking+, ke dalam katalog perkhidmatannya bermula 2 April ini. Penambahan ini turut diiringi dengan kemas kini kandungan untuk beberapa permainan sedia ada sepanjang Mac dan April.

Fokus utama penawaran bulan April terarah kepada DREDGE+, yang dinobatkan sebagai Permainan Terbaik iPad 2025. Perkhidmatan langganan Apple ini akan menawarkan edisi lengkap permainan pengembaraan memancing tersebut, merangkumi kesemua kandungan tambahan (DLC) yang pernah dilancarkan sebelum ini iaitu The Pale Reach, The Iron Rig, Blackstone Key, dan kelengkapan pancing khas.

Turut menyertai perkhidmatan ini pada tarikh yang sama ialah Unpacking+, sebuah permainan menyusun gambar berkonsepkan hiasan dalaman yang memfokuskan kepada mekanik mengeluarkan barang dari kotak dan menyusunnya di ruang tamu baharu.

Sebuah lagi judul yang dijadualkan tiba pada 2 April ialah My Very Hungry Caterpillar+, permainan interaktif simulasi haiwan peliharaan yang diadaptasi daripada karya penulis kanak-kanak, Eric Carle.

Selain pelancaran permainan baharu, perkhidmatan ini akan memperkenalkan kemas kini untuk Disney SpellStruck pada 19 Mac. Kemas kini ini membawakan peta mod pengembaraan baharu yang mengambil inspirasi daripada Star Wars: Episode V – The Empire Strikes Back, berserta penambahan watak Darth Vader dan Lando Calrissian yang boleh dimainkan.

Menjelang 9 April, Puyo Puyo Puzzle Pop pula akan menerima mod baharu yang dipanggil Puyo Puyo Garden. Bersempena dengan ulang tahun ke-35 francais tersebut, mod ini membolehkan pemain membesarkan dan menggunakan unit Puyo mereka sendiri untuk tujuan pertempuran.

Perkhidmatan Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM29.90 sebulan ini membenarkan perkongsian akses sehingga enam orang melalui ciri Family Sharing. Platform ini juga ditawarkan di bawah himpunan pelan Apple One yang bermula daripada RM34.90 sebulan.

Bagi ketersediaan peranti, judul di bawah kategori Arcade Originals boleh dimainkan merentas peranti iPhone, iPad, Mac, Apple TV, dan Apple Vision Pro, manakala kategori App Store Greats terhad kepada iPhone, iPad, dan Apple Vision Pro.

Leave a Reply