Diinspirasikan secara loosely daripada filem klasik Bride of Frankenstein, filem The Bride cuba membawakan naratif dan suntikan moden, walaupun latar penceritaannya masih diletakkan pada era 1930-an. Secara peribadi, saya mendapati filem ini mempunyai premis yang sangat menarik di atas kertas, namun hasil akhir di layar perak menghidangkan pengalaman yang sedikit bercampur baur.

Perjalanan filem ini bermula dengan watak Frank, atau Monster Frankenstein, yang digalas dengan baik oleh aktor ternama Christian Bale. Dihantui oleh rasa sunyi dan penolakan daripada masyarakat, Frank memohon kepakaran Dr. Euphoronious, seorang pengkaji yang turut terlibat dalam sains menghidupkan semula manusia yang telah mati untuk mencipta seorang teman wanita buatan yang mampu menerimanya seadanya.

Bagi merealisasikan impian tersebut, mereka menggunakan tubuh yang dicuri dari kawasan perkuburan. Tubuh itu pada asalnya milik Ida (lakonan Jessie Buckley), seorang pekerja kelab kepada ketua mafia bernama Lupino. Ida dibunuh kejam selepas berani melawan dan mencabar Lupino dalam sebuah majlis.

Selepas dihidupkan kembali, Ida hilang ingatan mengenai kehidupan lampaunya. Kesempatan ini segera diambil oleh Frank. Didesak oleh kerinduan untuk memiliki teman hidup, Frank menipu Ida dengan mendakwa bahawa mereka merupakan sepasang suami isteri, dan memori Ida hilang akibat kemalangan tragis.

Satu elemen yang saya suka adalah bagaimana filem ini memfokuskan kepada perkembangan hubungan antara Frank dan Ida. Konflik mula meruncing apabila cebisan ingatan Ida terutamanya memori hitam bersama Lupino mula kembali menyinggah fikirannya. Perkara ini lantas mengheret mereka ke kancah perseteruan dengan kumpulan mafia tersebut. Apabila siri pembunuhan mula berlaku, pasangan ini turut menjadi sasaran dan buruan pihak polis. Perjuangan mereka melarikan diri demi kelangsungan hidup menjadi nadi penggerak cerita filem ini.

Menyentuh soal subteks, filem ini secara terang-terangan mengangkat tema pemerkasaan wanita. Transformasi Ida menjadi The Bride dan keberaniannya mendedahkan jenayah Lupino secara terbuka telah mencetuskan inspirasi dan kebangkitan masyarakat sekeliling. Babak ini digarap dengan baik dan mengingatkan saya kepada tenaga pemberontakan dalam filem Joker.

Pada terasnya, saya berpendapat filem ini memiliki cerita yang bagus. Walau bagaimanapun, masalah utama filem ini mula muncul apabila ia cuba menyumbat terlalu banyak lapisan sub-plot dan mesej secara serentak.

Kecenderungan untuk menjadi “terlalu mendalam” menjadikan filem ini kurang menyeronokkan dan kadangkala mengelirukan. Sebagai contoh, kemunculan Mary Shelley, penulis novel asal Frankenstein di dalam fikiran Ida yang mempengaruhinya untuk memberontak menentang Lupino terasa sangat canggung. Saya memahami bahawa ini mungkin satu cubaan untuk menerapkan ‘meta-naratif’ berkenaan perjuangan peribadi dan kerjaya Mary Shelley di alam realiti, namun penyampaian idak kemas dan hanya merosakkan aliran plot. Selain itu, tema pemerkasaan yang pada awalnya kuat, lambat-laun terasa sedikit keterlaluan. Pendekatan yang mungkin terlebih ini secara ironinya telah mencairkan impak mesej utama yang cuba disampaikan.

Pujian tertinggi boleh saya berikan kepada Jessie Buckley. Beliau dengan luar biasa berjaya memikul keseluruhan beban filem ini. Melakonkan tiga lapisan watak yang berbeza, Ida, The Bride, dan bayangan Mary Shelley, persembahan Buckley terlalu cemerlang sehingga menenggelamkan barisan pelakon yang lain.

Christian Bale memberikan lakonan yang konsisten, namun penceritaan filem ini sendiri membuktikan bahawa Frank bukanlah fokus utamanya, sebaliknya pentas ini adalah sepenuhnya milik Buckley. Namun, saya masih menyukai bahagian di mana diperlihatkan yang Frank sangat sukakan filem terutama seorang pelakon bahkan menjadi tema utama di dalam perjalanannya.

Secara keseluruhannya, saya masih menikmati pengalaman menonton The Bride. Lakonan mantap dan rekaan produksi era 1930-an cukup baik. Cuma, dari sudut struktur penceritaannya, ia memerlukan penstrukturan semula. Sekiranya pembikin filem lebih fokus dan tidak terlalu tamak dalam menyampaikan pelbagai mesej, naskhah ini pasti akan menjadi sebuah karya yang lebih mudah untuk dihargai.

The Bride
Satu penyampaian yang berbeza untuk kisah The Bride dan Frankenstein, memiliki premis penceritaan yang menarik tetapi penyampaian yang kurang kemas serba sedikit sukar untuk setiap mesej serta perjalanan plot untuk disampaikan dengan berkesan, namun Jessie Buckley masih cemerlang di dalam filem ini.
Positif
Premis penceritaan menarik
Lakonan hebat Jessie Buckley
Negatif
Sub-plot mengelirukan
Penyampaian kurang kemas
7

Leave a Reply

Final Score