Crime 101 merupakan filem terbaru arahan Bart Layton yang membawa nafas yang agak berbeza untuk genre filem jenayah ataupun heist. Diterajui oleh trio hebat, Chris Hemsworth sebagai Mike, Mark Ruffalo sebagai Detektif Lou Lubesnick, dan Halle Berry sebagai Sharon, filem ini membuktikan bahawa genre jenayah tidak semestinya bergantung semata-mata pada aksi berdebar untuk menjadi sebuah karya yang menarik tetapi juga boleh diberi peluang untuk watak berkembang.

Pada dasarnya, Crime 101 memfokuskan kepada Mike, seorang perompak mahir yang berpegang teguh kepada peraturannya yang tersendiri: dia tidak mencederakan sesiapa dan hanya menyasarkan rompakan berhampiran lebuh raya 101. Aspek rompakan ini, terutamanya pada babak pembukaan, digarap dengan sangat cemerlang. Saya cukup terhibur dengan ketelitian yang dipamerkan pada awal cerita.

Namun, saya mendapati bahawa sebaik sahaja watak antagonis filem ini, Ormon (lakonan Barry Keoghan), mula mengambil tempat, nada filem bertukar menjadi lebih tipikal menyerupai filem rompakan yang sudah menjadi kebiasaan untuk kita tonton. Ormon satu watak yang menarik, tetapi dia terlalu kucar-kacir yang sedikit mengganggu penceritaan ini.

Bagi saya, kekuatan utama filem ini bukan terletak pada babak rompakan ataupun jenayah, sebaliknya pada penerokaan emosi. Layton memberikan ruang yang cukup luas untuk setiap watak utama berkembang secara individu. Kita disajikan dengan perspektif Mike sebagai seorang perompak mahir tetapi merasa kehidupannya kosong, Lou sebagai detektif pertama yang tajam mengesan corak rompakan tersebut tetapi tidak dihormati oleh rakan sekerja, dan Sharon, seorang eksekutif insurans yang terasa dia sekadar dipergunakan terutama kerana umurnya yang sudah meningkat.

Setiap watak pada mulanya wujud di dalam dunia mereka sendiri. Ruang untuk mereka bernafas dan berkembang tanpa perlu sentiasa bergantung antara satu sama lain menjadikan penceritaan filem ini menarik walaupun mungkin ada yang merasakan ia sedikit ‘terputus’ daripada kesinambungan plot.

Crime 101 juga tidak disampaikan seperti filem genre seumpamanya. Walaupun ia masih lagi satu filem pantas dan penuh aksi tetapi pengarah masih menyisipkan ruang untuk penonton menyelami emosi setiap watak. Terdapat satu pendekatan yang saya rasakan agak janggal pada mulanya, iaitu apabila adegan disampaikan dengan audio motivasi diri. Namun, semakin penceritaan berlanjutan, saya menyedari bahawa elemen ini sangat berkesan dalam mempamerkan keadaan mental mereka. Jelas bahawa setiap daripada mereka sedang bertarung dengan permasalahan dalaman masing-masing.

Dari segi rentak penceritaan, keseluruhannya agak memuaskan, walaupun saya merasakan bahagian pertengahan filem ini sedikit meleret. Syukurlah, ia tidak pernah sampai ke tahap membosankan. Apabila filem ini mula menyatukan laluan ketiga-tiga watak ini, pertembungan tersebut dilakukan dengan baik. Cuma, secara peribadi, interaksi gabungan ini tidak sekukuh perkembangan individu mereka pada awal penceritaan.

Terdapat beberapa kelemahan ketara yang saya rasa boleh diperkemaskan lagi, terutamanya menuju ke penghujung cerita. Kesimpulan filem ini terasa seperti mengambil “jalan mudah.” Daripada memberikan satu penamat yang difikirkan dengan teliti dan memberi impak kepada penonton, ia seolah-olah diselesaikan dalam keadaan tergesa-gesa dan sekadar mencukupi sahaja.

Walaupun penamatnya tidak begitu kuat, saya masih sangat berpuas hati dengan penceritaan secara keseluruhannya. Crime 101 kekal sebagai sebuah filem jenayah yang sangat bagus kerana penekanannya terhadap pembinaan watak. Ia menyajikan sebuah penceritaan yang menghiburkan dan pastinya berbaloi untuk ditonton bagi sesiapa yang menghargai lakonan berkesan dan pembangunan watak yang mendalam di dalam sebuah filem jenayah ataupun heist.

Crime 101
Satu filem jenayah atau heist yang kekuatannya bukan pada jenayah ataupun perancangan heist tersebut tetapi pembinaan watak terutama untuk tiga watak utama yang diberi ruang untuk berkembang secara sendiri. Satu kelainan di dalam genre ini tetapi masih memberi kepuasan tontonan.
Positif
Watak dikembangkan dengan baik
Adegan aksi mencukupi
Negatif
Pengakhiran terasa mudah
8

Leave a Reply

Final Score