Bagi saya, pengalaman menonton filem Iron Lung membawa satu perspektif yang berbelah bahagi. Diarahkan dan ditulis oleh Markiplier, seorang personaliti YouTube yang cukup sinonim dengan penstriman permainan video seram, filem ini merupakan adaptasi daripada permainan video bertajuk sama karya David Szymanski yang dilancarkan pada tahun 2022. Namun, sebelum melangkah lebih jauh, saya amat mengesyorkan agar anda membaca sedikit latar belakang mengenai permainan asalnya. Filem ini dihasilkan dengan anggapan bahawa penonton sudah pun mempunyai pengetahuan asas tentang dunia Iron Lung, dan kekurangan konteks ini boleh membuatkan anda berasa sedikit tersisih daripada penceritaanya.

Tanpa sebarang mukadimah yang panjang, filem ini terus mencampakkan kita ke dalam situasi yang menyesakkan. Kita diperkenalkan kepada Simon, yang juga dikenali sebagai ‘Convict’ dan dilakonkan oleh Markiplier sendiri. Dia ditugaskan untuk mengemudi sebuah kapal selam bagi mencari sesuatu yang kononnya mampu menyelamatkan dunia. Ironinya, objektif menyelamatkan dunia ini, serta mengapa mereka terpaksa melakukan semua ini, tidak diterangkan dengan jelas di dalam filem, sekali gus menegaskan mengapa pengetahuan awal tentang francais ini sangat penting.

Latar belakang kisahnya cukup kelam; Simon sebenarnya sedang menjalani hukuman atas jenayah lampaunya. Kapal selam yang dikemudinya itu berada di sebuah bulan asing yang dipenuhi dengan lautan darah. Fenomena ini berlaku selepas satu peristiwa bencana kosmik yang dipanggil “Quiet Rapture”, di mana bumi dan semua planet mula lenyap bersama umat manusia, meninggalkan hanya mereka yang berada di stesen dan kapal angkasa sebagai mangsa yang terselamat. Sepanjang pelayarannya, Simon hanya berpandukan arahan jarak jauh daripada Ava (dilakonkan oleh Caroline Rose Kaplan). Hubungan mereka hampir sepenuhnya bergantung kepada komunikasi suara.

Tanpa arahan yang jelas tentang apa yang sebenarnya perlu dilakukan, fokus filem mula beralih kepada pergolakan psikologi Simon. Kita menyaksikan bagaimana dia perlahan-lahan mula hilang kewarasan, terperangkap di antara realiti yang kejam dan halusinasi yang mengelirukan. Pada mulanya, elemen seram dan cemas yang berlaku di dalam ruang sempit kapal selam itu berjaya digarap dengan sangat baik. Malangnya, tatkala plot mula berkembang, momentum tersebut gagal dikekalkan. Seramnya terasa mendatar kerana ia tidak banyak berganjak daripada titik permulaan filem. Walaupun terdapat beberapa babak yang menarik perhatian dan mencetuskan debaran, naratifnya sentiasa berputar kembali kepada konflik Simon yang kehilangan akal, sesuatu yang lama-kelamaan bertukar menjadi agak membosankan buat saya.

Di sebalik kelemahan penceritaannya, saya harus memberi pujian melambung kepada nilai produksi filem ini. Dengan bajet yang dilaporkan hanya sekitar $3 juta, Iron Lung sama sekali tidak kelihatan seperti sebuah naskhah murahan. Visualnya nampak menawan, janaan lautan darah yang memasuki kapal selam kelihatan meyakinkan dan tidak janggal. Reka bentuk bunyinya juga sangat cemerlang, lantas berjaya membina atmosfera yang meremangkan bulu roma. Namun, kecemerlangan teknikal inilah yang membuatkan saya berasa lebih ralat, kerana kualiti penceritaannya tidak setanding dengan aspek visual dan audio yang disajikan.

Secara keseluruhannya, menonton Iron Lung memberikan saya satu perasaan yang saya boleh ringkaskan ibarat anda duduk memerhatikan seseorang yang sedang asyik menikmati permainan video. Menjadi pemerhati dari tepi sememangnya tidak akan pernah memberikan tahap debaran dan kepuasan yang sama sepertimana anda memegang alat kawalan dan merasai pengalaman seram itu sendiri. Kualiti produksi yang baik tidak berjaya untuk menampung kekurangan perkembangan bagi penceritaan dan pembinaan watak.

Iron Lung
Iron Lung mempunyai kualiti produksi yang. baik akan tetapi tidak berjaya untuk menampun kekurangan pada perkembangan jalan cerita dan watak yang terasa berulang kepada satu perkara yang sama.
Positif
Kualiti produksi yang baik
Negatif
Jalan cerita dan perwatakan tidak berkembang
Tiada pengenalan kepada dunia filem
7

Leave a Reply

Final Score