Fallout musim pertama bukan sahaja menterjemahkan dunia permainan video dengan sangat berkesan ke kaca TV tetapi juga memberikan satu hiburan untuk setiap penonton termasuk juga yang tidak mendalami dunia permainan ini. Oleh itu, tidak salah untuk musim kedua ini menuntut jangkaan yang tinggi. Bagi Fallout Musim Ke-2, saya mendapati siri ini kembali dengan cita-cita yang lebih besar, memperluaskan dunianya dengan naratif yang berani, walaupun kadang-kala tersadung oleh kepelbagaian plotnya sendiri.

Strategi penyiaran musim ini, yang beralih kepada format tayangan mingguan, adalah satu keputusan yang sangat tepat. Format baharu ini melengkapkan struktur penceritaan berbilang plot yang agak padat dengan sempurna. Subplot yang diasingkan membolehkan setiap episod berakhir dengan cliffhanger yang mendebarkan, lantas mendorong spekulasi dan perbincangan saya pada setiap minggu.

Daya tarikan utama siri ini masih lagi bersandarkan dinamik gandingan “sinis dan idealis” bertemakan koboi antara Lucy dan The Ghoul. Di mata saya, Ella Purnell sekali lagi mempamerkan lakonan yang cemerlang. Beliau mengemudi peralihan emosi Lucy yang kehilangan sifat lurus bendulnya dengan begitu berkesan, memancarkan emosi yang mendalam hanya melalui pandangan matanya. Di sisinya, Walton Goggins kekal berkesan sebagai The Ghoul, beliau berjaya membuatkan pelbagai babak berbeza berkesan termasuk juga semasa mengalami kesakitan ataupun semakin hilang dirinya.

Dari sudut pelakon pembantu, saya harus memberi pujian khusus kepada Moisés Arias yang menyerlah sebagai Norm. Beliau membawa gaya pemerhatian intelektual yang sering dipandang remeh ketika mengharungi kancah perebutan kuasa di dalam Vault. Melalui struktur kepelbagaian penceritaan musim ini, Kyle MacLachlan juga berpeluang mempamerkan sisi baharu wataknya yang memberikan kedalaman emosi yang tidak dijangka, serta aura misteri dikelilinginya. Barisan pelakon undangan juga tidak kurang hebatnya. Pemilihan Justin Theroux sebagai jutawan sosiopat, Robert House, adalah satu ketetapan yang sempurna, sementara kemunculan Macaulay Culkin dan Kumail Nanjiani menyuntik elemen kepelbagaian di dalam dunia Fallout ini.

Pengembangan landskap Wasteland membawa penonton ke New Vegas, sebuah lokasi ikonik yang sangat dinantikan. Secara visualnya, saya amat kagum dengan adunan set dunia sebenar, prop, dan kesan visual yang berjaya menterjemahkan realiti muram lokasi tersebut ke kaca televisyen. Siri ini juga bijak memperkenalkan ancaman baharu dan plot tambahan yang memuaskan. Pertemuan dengan Caesar’s Legion, mencuri tumpuan saya. Pemahaman sejarah mereka yang terpesong dan melucukan menghasilkan babak yang sangat menghiburkan. Pada masa yang sama, siri ini tidak lari daripada membawakan teguran sosial yang berat.

Namun begitu, cita-cita besar musim ini boleh dikatakan pedang bermata dua. Saya mendapati lambakan subplot kadang-kala membawa kepada kurangnya sesetengah bahagian dikembangkan. Dengan terlalu banyak elemen yang bergerak serentak, watak-watak dihantar ke kisah berasingan yang kadangkala terasa terputus dari cerita utama tetapi apabila satu subplot tersebut dilakukan dengan baik ia membawa keterujaan kepada saya, terutama satu adegan yang mengambil inspirasi daripada permainan video membuatkan saya sekadar bertepuk tangan.

Flashbacks era pra-perang juga memberikan masalah yang sama. Walaupun ia berfungsi dengan baik untuk melengkapkan kitaran penceritaan dan menyampaikan context untuk watak, peralihan masa yang berterusan antara masa lampau dan masa kini kadang-kala terasa tidak mempunyai struktur yang baik. Ia acap kali mengganggu kelancaran penceritaan masa kini tepat ketika tumpuan saya sedang memuncak.

Dari segi ketegangan plot, saya merasakan wujudnya ketidakseimbangan. Walaupun jalan cerita Maximus menampilkan perisai Power Armor gergasi dan pergolakan perang saudara politik dalam Brotherhood of Steel, perkembangannya terasa agak kurang mantap dan gagal menyaingi penceritaan utama. Situasi yang sama berlaku kepada plot yang berpusat di Vault, ia mula terasa berulang dengan pertaruhan yang jauh lebih kecil berbanding pengembaraan di permukaan.

Secara keseluruhannya, Fallout Musim Ke-2 berjaya mengembangkan dunianya dengan persembahan lakonan yang cemerlang dan sindiran sosial yang tajam, walaupun terpaksa bergelut dengan kesesakan strukturnya sendiri yang akhirnya memberikan satu rumusan yang tidaklah memuaskan dan lebih bergantung harap kepada hadirnya musim yang berikutnya.

Kesemua episod Fallout (Musim 2) sudah tersedia di Prime Video.

Fallout (Musim 2)
Siri ini berjaya mengembangkan dunianya dengan persembahan lakonan yang cemerlang dan sindiran sosial yang tajam, walaupun terpaksa bergelut dengan kesesakan strukturnya sendiri yang akhirnya memberikan satu rumusan yang tidaklah memuaskan.
Positif
Perkembangan watak Lucy dan The Ghoul yang baik
Dunia Fallout sekali lagi dihasilkan dengan baik
Pengenalan pelbagai watak dan puak
Negatif
Ada subplot yang kurang dikembangkan
Pengakhiran tidak memuaskan
8

Leave a Reply

Final Score