Apabila menyentuh mengenai francais Yakuza (atau kini lebih dikenali sebagai Like a Dragon), jangkaan peminat sentiasa tinggi, terutamanya selepas kejayaan besar siri Kiwami sebelum ini. Yakuza Kiwami 3, yang merupakan versi remaster daripada judul asal Yakuza 3 (2009), membawa pemberatan nostalgia yang unik. Namun, persoalan utamanya ialah, adakah kepulangan Kazuma Kiryu kali ini berjaya mengekalkan momentum, atau adakah ia sekadar pengulangan sejarah?

Setelah menghabiskan lebih 25 jam menyelami dunia ini, saya mendapati Yakuza Kiwami 3 bersama penambahan Dark Ties adalah sebuah naskhah yang penuh dengan tinggi dan rendah, ia menawarkan kedamaian yang menyentuh hati, diselang-seli dengan keganasan dunia samseng yang tidak berkesudahan.

Permainan ini bermula sejurus selepas peristiwa dalam Yakuza Kiwami 2. Kita melihat Kiryu cuba meninggalkan dunia gelap Yakuza untuk memulakan hidup baru di lokasi baharu, Okinawa. Di sini, beliau menguruskan sebuah rumah anak yatim bersama Haruka, wajah yang tidak asing bagi mereka yang mengikuti siri ini, serta lapan orang kanak-kanak lain.

Saya harus akui, fasa awal permainan ini terasa sangat berbeza. Kedamaian di Okinawa bagaimanapun tidak kekal lama apabila Keluarga Ryudo, yang diketuai oleh Shigeru Nakahara (pemilik tanah tersebut), mula mengugut untuk menutup rumah anak yatim itu. Tanah tersebut menjadi rebutan untuk dua projek mega: sebuah resort dan pangkalan tentera yang melibatkan kerajaan.

Plot menjadi semakin rumit apabila Daigo Dojima, ketua Keluarga Tojo yang pada mulanya melindungi tanah Kiryu, ditembak bersama Nakahara. Apa yang mengejutkan, saksi kejadian mendakwa pelakunya adalah Shintaro Kazama, susuk tubuh yang amat dikenali oleh Kiryu. Dengan tiada pilihan lain, Kiryu terpaksa kembali ke Kamurocho untuk mencari kebenaran dan melibatkan dia semula di dalam dunia Yakuza.

Secara jujur, jika dibandingkan dengan dua judul Kiwami sebelum ini, jalan cerita kali ini bukanlah yang terbaik dalam siri ini. Walaupun terdapat beberapa plot yang menarik dan dijangka, kelemahan utamanya terletak pada ketiadaan penjahat utama yang benar-benar memberikan impak sepanjang permainan.

Yoshitaka Mine sepatutnya menjadi antagonis utama, namun penglibatan dia hanya benar-benar dirasai menuju ke penghujung permainan. Walaupun begitu, Mine tetap merupakan watak yang ditulis dengan baik. Kekosongan ini untungnya diisi oleh kandungan tambahan, Dark Ties. Tambahan ini memberikan konteks yang sangat diperlukan mengenai Mine, malah membolehkan pemain mengawal watak tersebut dengan gaya tempur yang berbeza. Bagi saya, ini adalah penambahan bijak yang menambah nilai permainan selama 5 hingga 6 jam, melengkapkan durasi permainan utama yang memakan masa sekitar 20 jam.

Satu perkara menarik yang perlu disentuh adalah keberanian Ryu Ga Gotoku Studio melakukan “remake” terhadap beberapa elemen yang mengubah trajektori watak-watak tertentu. Ini adalah satu pertaruhan besar oleh pihak studio, dan saya pasti ia akan mencetuskan perbincangan hangat di kalangan peminat tegar.

Kekuatan utama siri Yakuza sering kali terletak pada kepelbagaian aktivitinya, dan Kiwami 3 tidak mengecewakan. Terdapat dua kempen sampingan yang sangat kontras namun menghiburkan.

Pertama, kempen “Bad Boy Dragon” di mana saya perlu membantu Kiryu membina kumpulan penunggang motosikal, menakluk kawasan, dan bertarung dengan geng pesaing dari Tokyo yang cuba menguasai Okinawa. Kiryu boleh berjalan di Okinawa untuk merekrut ahli baharu dan juga melakukan serangan terhadap kumpulan-kumpulan lain.

Sebaliknya, kempen pengurusan rumah anak yatim pula menuntut kesabaran dan kasih sayang. Saya mendapati diri saya meluangkan masa bercucuk tanam, menjaga haiwan ternakan, dan mengeratkan hubungan dengan anak-anak yatim melalui aktiviti seperti membantu kerja sekolah, menjahit, dan memasak. Kesemua aktiviti ini sangat menyeronokkan dan menjadi pengisi masa yang baik di celah-celah misi utama yang berat.

Dari segi mekanik pertarungan, ia masih mengekalkan gaya asal Yakuza. Walaupun menyeronokkan, saya harus berlaku adil dengan menyatakan bahawa ia terasa agak kaku dan berulang selepas beberapa ketika. Walaupun terdapat dua gaya tempur berbeza, variasi rasanya tidak begitu ketara, kecuali apabila mod musou diaktifkan yang memberikan kepuasan tersendiri. Namun, pengalaman mengawal Yoshitaka Mine dalam Dark Ties memberikan kesegaran yang amat diperlukan dari segi variasi tempur.

Secara visual, grafik permainan ini kelihatan baik, setanding dengan kualiti siri Kiwami yang lain. Ia pastinya memberikan pengalaman baharu kepada mereka yang pernah bermain versi asal 2009. Namun, masih terdapat beberapa animasi dan pergerakan watak yang kelihatan agak janggal dan “pelik”, mengingatkan kita bahawa asas permainan ini adalah dari era konsol terdahulu.

Secara keseluruhannya, Yakuza Kiwami 3 & Dark Ties adalah satu permainan yang baik, walaupun mungkin tidak sebaik judul-judul lain dalam siri ini. Ia mungkin sedikit terkebelakang dari segi impak naratif berbanding pendahulunya, tetapi penambahan Dark Ties dan aktiviti sampingan yang mendalam berjaya menyelamatkannya daripada menjadi sekadar sebuah remaster yang biasa. Ia satu lagi permainan Yakuza yang bagi saya masih harus dimainkan oleh peminat, tambahan lagi ia juga memperlihatkan ‘masa depan’ untuk francais ini.

Yakuza Kiwami 3 & Dark Ties
Permainan ini tidak memiliki penceritaan terbaik di dalam siri permainan termasuk juga tidak mempunyai watak jahat yang akan diingatkan tetapi masih satu permainan yang harus dimainkan oleh peminat siri ini tidak kira untuk nostalgia ataupun pengalaman yang baharu.
Positif
Masih satu pengalaman Yakuza
Grafik memuaskan
Negatif
Penceritaan kurang menarik
Watak penjahat tidak berkesan
7

Leave a Reply

Final Score