Esports World Cup Foundation (EWCF) telah melancarkan program kelayakan global “Road to EWC”, satu inisiatif yang menyatukan lebih daripada 230 kejohanan esukan di seluruh dunia ke dalam satu kalendar musim kompetitif yang seragam.

Langkah ini dilihat sebagai usaha menyusun semula ekosistem esukan global dengan menjadikan liga-liga penerbit rasmi dan kejohanan antarabangsa elit sebagai laluan rasmi ke acara kemuncak Esports World Cup (EWC) 2026, yang dijadualkan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi bermula 6 Julai hingga 23 Ogos 2026 nanti.

Berbeza dengan format kejohanan jemputan tradisional, struktur “Road to EWC” mengiktiraf pencapaian dalam litar kompetitif sedia ada. Antara kejohanan utama yang kini disahkan sebagai sebahagian daripada laluan kelayakan ke EWC 2026 termasuk:

  • MOBA: Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL), League of Legends, Dota 2, dan King Pro League (Honor of Kings)
  • FPS/Battle Royale: VALORANT, Call of Duty, PUBG Global Series, Apex Legends Global Series, Free Fire World Series, Fortnite Reload Elite Series, dan Overwatch Champions Series
  • Permainan Pertempuran: EVO, Capcom Cup, TEKKEN World Tour Finals, SNK World Championship, dan Combo Breaker
  • Sukan & Lain-lain: EA Sports FC Pro, Rocket League Championship Series, dan Trackmania

Struktur ini direka untuk memberi kejelasan kepada pemain dan organisasi kelab mengenai jadual tahunan, membolehkan mereka merancang peruntukan sumber dan fokus prestasi lebih awal.

Selain daripada litar profesional, EWCF turut mengesahkan pembukaan kelayakan dalam talian terbuka (open qualifiers) dan pertandingan komuniti. Ini membuka ruang kepada pemain peringkat akar umbi untuk menempah tiket ke Riyadh dalam judul-judul seperti Call of Duty: Warzone, Dota 2, Teamfight Tactics, dan Chess.

Faisal Bin Homran, Ketua Pegawai Produk EWCF, menyatakan bahawa sistem kelayakan yang jelas ini bertujuan membina keyakinan industri serta memastikan pertumbuhan sukan ini kekal mampan dan inklusif.

Bagi peminat yang ingin mengikuti perkembangan musim kelayakan ini, sebuah hab khusus “Road to EWC” telah dilancarkan di laman web rasmi mereka, yang memaparkan tarikh, lokasi, dan format bagi setiap acara kelayakan.

Pihak penganjur juga telah mula membuka jualan tiket gelombang pertama untuk EWC 2026 menerusi rakan tiket antarabangsa seperti Tixr, Webook, Platinumlist, dan Damai, serta pakej perjalanan khas melalui Saudia Holidays.

Untuk rekod, edisi tahun 2025 telah menyaksikan lebih 2,500 pemain dari 100 negara bertanding melalui program ini, termasuk kejayaan pemain muda Free Fire, Rasyah yang mencipta sejarah sebagai juara termuda, serta kemenangan kelab Team Falcons dalam kategori Club Championship.

Leave a Reply