Apabila Marvel Studios mengumumkan siri baharu “Wonder Man” di bawah panji Marvel Spotlight, kebiasaannya ia akan membawa satu kisah yang lebih “grounded” dan tidaklah membawa satu kisah kesinambungan yang besar dengan Marvel Cinematic Universe (MCU) secara umum. Perkara yang sama saya boleh katakan untuk siri Wonder Man ini, namun selepas menonton siri ini sepenuhnya,saya berharap agar siri ini dan watak-wataknya akan memainkan peranan yang jauh lebih penting dalam hala tuju MCU pada masa hadapan kerana saya boleh katakan ini adalah antara kisah origin terbaik di dalam MCU.

Walaupun masih berakar umbi dalam dunia adiwira, pendekatan Wonder Man sangat berbeza dan unik. Siri ini memperkenalkan kita kepada Simon Williams, lakonan Yahya Abdul-Mateen II, seorang pelakon yang bercita-cita tinggi namun sering menemui jalan buntu dalam kerjayanya, sebahagian besarnya kerana sifat terlalu ‘overthinking‘. Menariknya, dalam dunia siri ini, “Wonder Man” bukanlah seorang adiwira sebenar, sebaliknya merupakan watak dalam sebuah filem adiwira klasik yang menjadi kegemaran Simon sejak kecil, satu memori manis yang dikongsi bersama mendiang bapanya. Namun, Simon menghadapi dua konflik besar, kegagalan kerjaya yang berterusan dan hakikat bahawa dia memiliki kuasa luar biasa yang sukar dikawal. Konflik ini menjadi lebih rumit dengan kewujudan undang-undang yang melarang individu berkuasa daripada menjadi pelakon atas faktor keselamatan, siri ini ada memperlihatkan sebab undang-undang itu dilakukan dan saya boleh katakan ia satu perkongsian yang menarik.

Dinamik siri ini menjadi semakin menarik dengan kemunculan Trevor Slattery, yang kembali dijayakan oleh Sir Ben Kingsley. Peminat setia MCU pasti mengingati watak ini yang pertama kali muncul sebagai “The Mandarin” palsu dalam Iron Man 3 dan kemudiannya dalam Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings. Dalam siri ini, Trevor cuba membina semula hidupnya sebagai pelakon, namun nasib tidak menyebelahinya apabila dia ditahan oleh organisasi Department of Damage Control. Dia dipaksa menggalas tugas untuk mendekati Simon dan mendapatkan bukti bahawa Simon memiliki kuasa yang berbahaya kepada masyarakat atau dia perlu kembali ke penjara.

Hubungan yang terjalin antara Simon dan Trevor menjadi tunjang kekuatan siri ini, dan ia diterjemahkan dengan begitu indah sekali. Apa yang bermula sebagai satu misi penipuan oleh Trevor, menggunakan minat mereka yang sama terhadap seni lakonan dan ujibakat untuk pembikinan semula filem “Wonder Man”, perlahan-lahan bertukar menjadi dilema moral. Trevor mula meragui misinya apabila menyedari bahawa di sebalik kuasa yang tidak terkawal itu, Simon adalah seorang lelaki yang baik. Keserasian atau chemistry antara kedua-dua pelakon ini sangat luar biasa. Setiap babak yang melibatkan mereka berdua, sama ada ketika membincangkan falsafah kehidupan atau membawa watak masing-masing semasa berlakon, adalah satu nikmat untuk ditonton. Saya benar-benar terhibur dengan setiap minit interaksi mereka.

Siri ini berjaya mengubah persepsi saya terhadap watak Trevor Slattery sepenuhnya. Jika dahulu dia mungkin dianggap sebagai watak sampingan atau elemen komedi semata-mata, siri ini memberikan kedalaman emosi yang tidak dijangka, menjadikannya watak yang tumbuh dengan sangat matang. Simon Williams juga dibawakan dengan cemerlang, lari daripada tipikal watak adiwira atau penjahat. Wonder Man bukanlah kisah pertarungan epik, ia adalah kisah tentang dua orang pelakon yang cuba merealisasikan impian mereka. Elemen kuasa hanyalah satu “twist” atau pemangkin plot, bukannya fokus utama, dan keputusan kreatif ini menjadikan siri ini terasa sangat segar.

Ketiadaan aksi adiwira yang tipikal diganti dengan naratif yang lebih mendalam mengenai ikatan persahabatan, peluang kedua, dan ketakutan menjadi insan yang “berbeza” serta kerinduan untuk mencari seseorang yang boleh dipercayai. Secara keseluruhannya, saya berani menyatakan bahawa ini adalah satu penceritaan terbaik yang pernah dihasilkan oleh MCU sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Wonder Man sudah disiarkan di Disney+

Wonder Man
Bukan satu kisah adiwira kebiasaan untuk MCU, adegan aksi digantikan dengan kisah dua pelakon yang ingin berjaya di dalam karier mereka dan pada masa yang sama membentuk satu ikatan persahabatan yang mendalam. Siri ini menyertakan satu penceritaan yang terbaik pernah dihasilkan oleh MCU sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Positif
Gandingan dua pelakon utama yang sangat baik
Penceritaan mendalam dalam dunia MCU
Masih mengekalkan elemen MCU dengan memuaskan
Negatif
Ada bahagian terasa sedikit perlahan
9

Leave a Reply

Final Score