Premis yang mencabar persoalan moral teknologi masa hadapan, serta penggunaan teknologi yang lebih kedepan merupakan sesuatu yang sentiasa menarik minat saya. Filem terbaru arahan Timur Bekmambetov, Mercy, cuba membawa persoalan ini ke tengah gelanggang dengan latar Los Angeles futuristik di mana kadar jenayah semakin memuncak dan kepercayaan masyarakat terhadap undang-undang semakin pudar.
Penceritaan filem ini memperkenalkan kita kepada sistem kecerdasan buatan (AI) bernama Mercy, sebuah entiti yang bertindak sebagai hakim, juri, dan pelaksana hukuman secara serentak dan antaramukanya dilakonkan oleh Rebecca Ferguson. Konsepnya mudah tetapi menakutkan, tertuduh diberi masa 90 minit untuk membuktikan yang mereka tidak bersalah sebelum hukuman dijalankan.

Chris Pratt memegang watak Chris Raven, seorang pegawai polis yang terpaksa berhadapan dengan sistem Mercy selepas dituduh membunuh isterinya sendiri, satu hubungan yang digambarkan sedang bergolak. Dalam tempoh 90 minit yang diberikan itu, Chris Raven bukan sahaja perlu membuktikan dia tidak bersalah, malah perlu mencari pembunuh sebenar menggunakan teknologi analisis bukti Mercy yang serba canggih.
Secara jujurnya, premis ini mempunyai potensi yang sangat baik. Namun, pengalaman tontonan saya sedikit terganggu dengan pelbagai kepincangan logik dan pelaksanaan yang terasa agak terbatas. Bagi saya, wujud persoalan besar tentang keberkesanan AI ini. Jika teknologi penyiasatan sistem Mercy begitu baik sehingga boleh melakukan siasatan baharu sewaktu perbicaraan berlangsung, mengapa tidak penyiasatan menyeluruh dilakukan sebelum perbicaraan bermula? Had masa 90 minit itu terasa seperti satu gimik yang agak komikal dan dipaksa semata-mata untuk mewujudkan ketegangan, bukannya berdasarkan logik dunia yang cuba dibina.

Satu lagi aspek yang membuatkan saya mengerutkan dahi adalah skala penggunaan sistem ini. Jika saya tidak silap, Chris Raven hanyalah individu ke-16 yang dibicarakan oleh sistem ini. Bagi sebuah masyarakat yang dikatakan bergantung harap pada sistem keadilan automatik ini, angka tersebut terasa terlalu kecil dan tidak selari dengan naratif “sistem yang meluas”.
Selain itu, filem ini menghasilkan sistem AI, Mercy yang tidak terasa seperti AI yang dingin dan objektif. Sebaliknya, ia terasa terlalu ‘manusia’. Ini menimbulkan persoalan, mengapa perlu wujud elemen AI jika watak manusia dengan bantuan teknologi canggih pun mampu menggerakkan plot yang sama, malah mungkin dengan lebih berkesan?

Dari segi rentak penceritaan, saya merasakan 30 minit pertama filem ini agak meleret. Penonton disajikan dengan babak Chris Raven yang berulang kali menegaskan dia tidak bersalah, ini ditambah lagi dengan dia bangun dengan hilang ingatan buat sementara waktu, yang bagi saya sedikit merumitkan plot tetapi tidak penting secara penuhnya. Ia terasa berlebihan, seolah-olah melihat Chris Pratt “menjerit pada awan” tanpa arah tuju yang jelas sebelum aksi sebenar bermula.
Walaupun terdapat kecacatan pada logik ceritanya serta bahagian awal, saya harus akui bahawa filem ini berjaya diselamatkan oleh babak penyiasatannya. Adegan-adengan di mana Chris Raven menggunakan teknologi tersebut untuk menyusun petunjuk dan mencari pembunuh sebenar adalah sangat mengujakan. Saya benar-benar menikmati proses deduksi tersebut. Namun, kepuasan ini datang daripada elemen misteri jenayahnya, bukan daripada elemen AI itu sendiri. Jika filem ini digarap sebagai sebuah filem thriller konvensional tentang seorang lelaki yang cuba membersihkan namanya tanpa gimik sci-fi yang berlebihan, mungkin hasilnya akan lebih menarik, ringkas tetapi berkesan.

Secara keseluruhannya, Mercy adalah sebuah filem dengan idea asas yang disia-siakan oleh pelaksanaan yang kurang kemas. Logik dunianya yang rapuh sedikit sebanyak mencacatkan kredibiliti cerita. Namun, jika anda mampu mengabaikan kelemahan plot dan fokus pada babak penyiasatan jenayahnya, ia masih sebuah filem yang menghiburkan, walaupun tidak menawarkan sebarang keaslian yang luar biasa.


