Apabila menyentuh genre creature feature atau filem serangan haiwan, jangkaan penonton selalunya terarah kepada dua perkara: ketegangan yang mendebarkan dan kesan keganasan yang meyakinkan. Filem terbaru arahan Johannes Roberts, Primate, cuba menawarkan kedua-dua elemen ini dengan premis yang agak unik iaitu seekor chimpanzi peliharaan bernama Ben yang bertukar menjadi mesin pembunuh selepas dijangkiti rabies. Namun, setelah menontonnya, saya mendapati filem ini terperangkap di antara keinginan untuk menjadi drama keluarga yang mendalam dan filem seram yang gory, namun gagal mengimbangkan kedua-duanya dengan baik.

Cerita bermula dengan kepulangan Lucy Pinborough (lakonan Johnny Sequoyah) ke kampung halamannya di Hawaii setelah sekian lama menyepi bagi merawat duka akibat kematian ibunya. Dia ditemani oleh rakan baiknya, Kate (Victoria Wyant), dan seorang lagi rakan, Hannah (Jessica Alexander), yang hubungannya dengan Lucy agak dingin. Di rumah keluarga Lucy, kita diperkenalkan kepada bapanya yang pekak, Adam (lakonan Troy Kotsur), adiknya Erin (Gia Hunter), dan tentunya Ben, seekor cimpanzi peliharaan yang diajar berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan peranti audio oleh mendiang ibu Lucy yang merupakan seorang ahli linguistik.

Saya menghargai percubaan filem ini pada babak awal untuk membina latar belakang watak dan dinamik antara mereka. Namun, saya harus tekankan perkataan “percubaan,” kerana sebahagian besar usaha ini terasa tidak menjadi. Filem ini menghabiskan masa memaparkan keakraban antara Lucy dan Kate, serta cemburu Lucy terhadap Hannah yang kelihatan rapat dengan Nick (Benjamin Cheng), adik kepada Kate. Malangnya, segala drama antara watak ini, termasuk ketegangan hubungan adik-beradik antara Lucy dan Erin terasa seperti pengisian untuk bahagian awal sahaja.

Masalah utama yang saya rasakan adalah apabila konflik sebenar bermula iaitu selepas Ben digigit oleh cerpelai yang dijangkiti rabies dan mula mengganas, segala dinamik watak yang dibina tadi menjadi tidak relevan atau saya boleh katakan tidak digunakan. Adakah kita perlu peduli tentang cemburu Lucy atau persahabatan mereka apabila mereka sedang diburu untuk dibunuh? Bagi saya, jumlah watak yang ramai ini seolah-olah wujud hanya untuk memanjangkan durasi filem dan menambah bilangan mangsa korban. Seharusnya, fokus diletakkan kepada Ben sejak awal lagi.

Selain kelemahan pembinaan watak, terdapat beberapa pilihan plot yang agak mengecewakan dan mencabar logik. Salah satu momen yang paling mengganggu saya adalah situasi di mana watak-watak ini gagal mendapatkan bantuan kerana skrin telefon retak. Dalam era pembantu suara hari ini, alasan sebegini terasa sangat janggal dan ketinggalan zaman. Lebih membingungkan adalah babak melibatkan Adam. Dia digambarkan tergesa-gesa pulang ke rumah kerana menyedari risiko Ben mungkin dijangkiti rabies. Namun, setibanya di rumah, bukannya terus memeriksa keadaan Ben, dia malah naik ke tingkat atas dan makan pizza dengan tenang. Bagi saya, ini adalah penulisan skrip yang lemah dan dilakukan sekadar untuk menjadikan adegan yang cemas.

Walaupun begitu, saya tidak boleh menafikan bahawa Primate mempunyai detik kecemerlangannya tersendiri, terutamanya dari aspek seram. Apabila Ben bertukar menjadi ganas, filem ini berjaya mencipta atmosfera yang benar-benar mengerikan. Johannes Roberts bijak menghasilkan perasaan dread atau gerun apabila berhadapan dengan haiwan yang memiliki kekuatan luar biasa dan kecerdikan manusia. Peminat genre seram pasti akan menghargai babak-babak pembunuhan yang dipaparkan dengan sangat gory dan ekstrem termasuk satu babak di mana rahang mangsa dikoyakkan yang pasti membuatkan penonton menutup mata.

Saya juga tertarik dengan penggunaan kolam renang sebagai “zon selamat.” Ia bukan sahaja masuk akal dari segi logik pertahanan, tetapi juga berjaya mencipta momen ketegangan yang tinggi. Ia memberi sedikit ruang bernafas kepada watak-watak (dan penonton), namun tidak sepenuhnya menghalang Ben daripada terus mencuba menyerang, sekaligus menghasilkan beberapa babak cemas yang berkesan.

Secara keseluruhannya, Primate adalah satu filem yang bercelaru. Elemen seram dan keganasannya memang memuaskan bagi peminat genre gore, namun ia ditarik ke bawah oleh pembinaan watak yang lemah, plot yang tidak konsisten, dan keputusan penceritaan yang membingungkan. Sekiranya anda mencari filem untuk sekadar melihat aksi kejam haiwan liar, filem ini mungkin untuk anda. Tetapi jika anda mengharapkan sebuah cerita yang kukuh di sebalik keganasan itu, anda mungkin akan pulang dengan rasa hampa.

Primate
Satu filem yang bercelaru. Elemen seram dan keganasannya memang memuaskan bagi peminat genre gore, namun ia ditarik ke bawah oleh pembinaan watak yang lemah, plot yang tidak konsisten, dan keputusan penceritaan yang membingungkan.
Positif
Elemen seram yang menjadi
Memuaskan untuk yang inginkan gory
Negatif
Dinamik watak tidak menjadi
Pilihan plot yang pelik
6

Leave a Reply

Final Score