Di dalam siri Monster Hunter, Monster Hunter Wilds merupakan permainan utama yang keenam, walaupun sudah merentasi enam permainan dan 21 tahun, namun tatamain masih kekal seperti permainan-permainan sebelum ini. Pemain akan menjadi pemburu raksasa, dengan setiap pemburuan ini, pemain akan mendapat barangan untuk menghasilkan senjata dan juga perisai yang lebih kuat bagi memburu raksasa yang lebih besar atau berbahaya. Ini merupakan lingkaran tatamain untuk Monster Hunter termasuk juga Monster Hunter Wilds, dan jika ia satu perkara yang boleh diterima oleh anda, ia akan menjadi permainan yang baik manakala jika anda tidak menyukai lingkaran ini, Wilds tidak akan mengubah penerimaan tersebut.

Monster Hunter Wilds merupakan permainan Monster Hunter yang pertama bagi saya, sebagai pemain baharu saya boleh katakan yang ia bukan satu permainan yang sukar untuk diikuti ataupun difahami. Terdapat beberapa bahagian yang tidak dijelaskan dengan lebih mendalam, akan tetapi pada masa yang sama ia juga tidak akan menyekat saya untuk maju di dalam permainan ini. Sebaliknya, jika saya ingin menerima pengalaman terbaik untuknya, saya boleh belajar mengenai bahagian yang kurang dijelaskan ini secara sendiri dan mencari informasi untuknya adalah mudah kerana komuniti Monster Hunter yang ramai dengan pelbagai panduan disediakan.
Sebagai pemain baharu dan juga yang lebih menyukai penceritaan di dalam permainan, Monster Hunter Wilds telah memberikan satu penceritaan yang baik untuk dijadikan sebagai pengenalan bagi permainan ini. Permainan ini bermula dengan sekumpulan pemburu berjumpa dengan seorang kanak-kanak bernama Nata yang mengatakan dia hadir daripada satu tempat yang tidak diketahui oleh orang sekitar. Tempat tersebut kemudian dinyatakan sebagai satu tempat yang dipanggil “Forbidden Land” yang dianggap sebagai satu tempat yang tidak didiami oleh tamadun manusia. Penceritaan kemudian memfokuskan kepada mister mengenai tanah tersebut dan juga melawan ancaman-ancaman raksasa yang terjejas akibat sesuatu yang berlaku di tanah tersebut.

Penceritaan adalah baik untuk sekurang-kurangnya memberi sebab kepada saya untuk memburu raksasa-raksasa ini, dan juga memberi pengenalan kepada dunia bagi permainan ini. Ia juga mempunyai beberapa adegan-adegan dan juga watak yang menarik. Namun, saya boleh katakan penceritaan secara keseluruhannya masih lagi kurang menarik dan terasa sekadar bahagian sampingan sahaja. Memburu raksasa sudah semestinya perkara utama, akan tetapi bagi saya jika mereka ingin meluangkan masa untuk menyertakan penceritaan ia adalah lebih baik jika dilakukan dengan lebih mendalam agar dapat memberi kepuasan kepada semua pemain, yang bermain untuk penceritaan dan juga yang bermain kerana ingin memburu.
Bagi pemburuan yang merupakan tatamain untuk permainan ini, walaupun ini permainan Monster Hunter pertama saya, tetapi saya masih mempunyai masa yang baik melakukan pemburuan. Bagi saya perkara yang utama membuatkan saya meluangkan puluhan jam bermain adalah sistem senjata dan pertempuran yang disertakan. Terdapat 14 senjata yang boleh digunakan oleh pemain, dan setiap senjata ini mempunyai gaya pertempuran yang berbeza. Setiapnya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, tetapi walaupun saya tidak mencuba kesemua senjata dengan mendalam tetapi saya boleh katakan setiap senjata boleh digunakan untuk kesemua raksasa yang ada.

Walaupun agak mudah untuk membawa beberapa senjata dan menukarnya, akan tetapi sepanjang saya bermain saya tidak pernah melakukannya. Sebaliknya saya lebih suka memfokuskan kepada satu senjata, dan jika saya tukar senjata lain, sekadar kerana saya ingin mencuba senjata tersebut. Ini adalah kerana saya dapat merasakan perbezaan pengalaman dan sesi permainan semasa baru sahaja bermula menggunakan sesuatu senjata, selepas menggunakannya untuk 10 jam, walaupun saya sudah menggunakan senjata yang sama untuk 20-30 jam saya masih lagi dapat merasakan perbezaan senjata tersebut. Satu senjata mungkin nampak ringkas, tetapi apabila saya meluangkan masa menggunakannya saya akan sedar yang senjata itu mempunyai banyak lagi bahagian lain yang boleh dibelajar. Perkara ini adalah sama untuk 14 senjata lain, yang memberi potensi pengulangan permainan yang tanpa had.
Satu lagi mekanik pertempuran yang membuatkan setiap senjata ini terasa berlainan dan juga merupakan mekanik kegemaran saya, iaitu Wound. Jika saya melakukan serangan yang berterusan di sesuatu bahagian di badan raksasa, bahagian tersebut akan bersinar merah, menandakan ia telah dicederakan ataupun wounded, saya kemudian boleh melakukan Focus Strike untuk melakukan serangan tambahan dan ia adalah berbeza mengikut senjata yang anda gunakan. Saya menyukai dual blade kerana dengan melakukan Focus Strike ini, saya akan bergerak dengan pantas untuk menyerang hampir kesemua bahagian raksasa. Bercakap mengenai Focus, ia juga mekanik seterusnya yang saya suka dan ia lebih memudahkan saya untuk menyerang bahagian-bahagian tertentu raksasa.

Saya sebelum ini tidak mencuba permainan Monster Hunter kerana saya tidak berapa suka mengenai konsep permainan yang saya perlu menyerang raksasa yang sama berulang kali untuk mendapat barangan yang mencukupi bagi menghasilkan senjata dan perisai, tetapi sepanjang saya bermain permainan ini, saya boleh katakan yang ia lebih mudah daripada saya jangkakan untuk mendapat barangan yang saya perlukan. Namun, ia berkemungkinan kerana saya tidak menyasarkan untuk menghasilkan kesemua senjata dan perisai yang ada, sebaliknya saya membuatkan beberapa jenis senjata dan perisai sahaja yang saya sukai. Oleh itu, ia menjadikan lebih mudah dan tambahan itu permainan ini juga menyediakan pelbagai misi yang akan memperlihatkan barangan yang akan diperoleh. Oleh itu berbanding berharap saya dapat barangan tertentu dengan memburu, saya boleh melihat misi-misi yang akan pasti memberikannya.
Oleh itu, walaupun tidak boleh dielakkan, saya akan perlu untuk menyerang raksasa yang sama berulang kali akan tetapi ia tidak sehinggakan saya terasa bosan dengan permainan ini. Sebaliknya ia sekadar mencukupi untuk membuatkan saya berusaha bagi mendapatkan barangan tertentu dan pada masa yang sama memberi peluang untuk saya mencari cara serangan baharu agar saya dapat membunuh raksasa tersebut dengan lebih cepat. Perkara ini lah yang membuatkan saya tidak berapa kisah untuk mengulangi lingkaran permainan ini berbanding apa yang saya takutkan sebelum mula bermain permainan ini.

Saya bermain permainan ini di PC, dan prestasi untuknya boleh diperbaiki lagi. Sejak dilancarkan Capcom sudah hadir dengan beberapa kemaskini yang menambah-baik prestasi, tetapi sehingga sekarang ia masih mempunyai beberapa masalah kelancaran tetapi tidaklah sehingga ia tidak boleh dimainkan. Saya juga lebih banyak meluangkan bermain secara solo, namun jika anda sudah memasuki sesi Hunter Rank yang lebih tinggi, ia akan menjadi lebih mudah dan bagi saya lebih menyeronokkan jika memburu bersama rakan ataupun dengan pemain-pemain lain di dalam talian.
Akhir kata, Monster Hunter Wilds masih mengekalkan tatamain seperti permainan-permainan siri ini sebelum ini, dan jika anda menyukainya, anda akan menyukainya sekarang, jika tidak anda mungkin masih tidak menyukai permainan ini. Namun, permainan ini bagi saya mesra untuk pemain seperti saya iaitu yang pertama kali bermain permainan Monster Hunter. Permainan ini menyertakan senjata yang sangat mendalam, dengan setiap daripadannya mempunyai keunikan tersendiri untuk memberi pengalaman bermain yang berlainan. Setiap raksasa yang ada juga mempunyai kelainan tersendiri memberikan sesi permainan yang unik. Selain itu, permainan ini juga memberi pelbagai perkara yang membantu untuk tidak menjadikan permainan ini terlalu grindy. Ia satu permainan yang baik untuk yang sudah berpengalaman dan juga yang baru sahaja ingin mencuba siri permainan ini.