Kosongkan kalender pada 2 Oktober depan kerana Ghost of Yotei akan dilancarkan pada tarikh tersebut. Sony mengumumkan tarikh pelancaran kesinambungan kepada Ghost of Tsushima ini serentak dengan sebuah treler baharu awal pagi tadi. Plot untuk permainan kedua ini mula dikongsi selepas permainan diumumkan September tahun lalu.
Permainan ini membawa protagonis baharu iaitu Atsu dan penceritaannya berlaku pada tahun 1603 dan berlaku di sekitar Gunung Yotei yang bertempat di Ezo ataupun Hokkaido pada waktu sekarang. Ini ialah 300 tahun selepas permainan pertama. Kerana keperluan grafik yang tinggi, Sucker Punch tidak membangunkan permainan ini untuk PlayStation 4 dengan tumpuan diberikan kepada versi PS5 sahaja dan mungkin akan tiba juga ke PC selepas ini.

Permainan boleh di pratempah bermula 2 Mei depan dengan ia ditawarkan dalam tiga versi iaitu Standard, Digital Deluxe Edition dan Ghost of Yōtei Collector’s Edition. Ketiga-tiga versi mempunyai pelbagai ciri tambahan seperti topeng muka fizikal, kit eksklusif dalam permainan, kad, pelindung pedang dan banyak lagi.


