Selepas memenangi Permainan Terbaik di The Game Awards 2021 melalui permainan It Takes Two, Hazelight Studios, ia sudah semestinya menjadi sesuatu yang sukar untuk mengikuti kejayaan. Namun, jika anda merasakan yang It Takes Two sudah luar biasa, Split Ficition membawanya ke satu tahap yang lebih tinggi.

Permulaan permainan, saya diperkenalkan dengan dua watak utama iaitu Zoe dan Mio, dua penulis bercita-cita tinggi yang berharap cerita mereka diterbitkan oleh Rader Publishing. Zoe menulis kisah fantasi, manakala Mio menulis cereka sains- dua genre yang boleh dikatakan berada di spektrum yang berbeza. Daripada ini sahaja, saya sudah tahu yang mereka berdua tidak akan ‘sekepala’.
Rader Publishing bukanlah satu syarikat penerbitan yang calang-calang. Mereka telah membangunkan satu alat yang dipanggil sebagai ‘The Machine’. Alat ini boleh digunakan untuk menghasilkan simulasi berdasarkan cerita oleh penulis. Mereka mengatakan yang simulasi ini dapat membantu untuk penulis melihat penceritaan mereka dengan lebih mendalam tetapi sebenarnya terdapat satu perkara sinis mengenainya.

Mio terlebih dahulu yang menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan alat tersebut dan cuba untuk melarikan diri akan tetapi percubaannya bukan sahaja tidak berjaya tetapi juga telah memasuki dunia simulasi Zoe. Demi untuk menyelamatkan diri, Mio dan Zoe terpaksa bekerjasama dan melalui penceritaan mereka berdua.
Melalui setiap penceritaan yang mereka selesaikan, satu torehan akan muncul di dalam simulasi dan secara perlahan membuka dengan lebih luas selepas mereka melalui setia penceritaan yang penuh fantasi tetapi dipenuhi dengan perkara yang berbahaya. Beberapa “Side Stories” juga disertakan di dalam penceritaan utama. Ia boleh dikatakan sebagai peringkat-mini yang berfungsi sebagai tempat untuk saya berehat daripada peringkat utama tetapi ia juga menjadi tempat untuk Hazelight Studios mencuba mekanik permainan dan juga visual yang saya boleh katakan tidak dijangkakan.
Penceritaan berkait dengan AI dan juga kreativiti manusia bukanlah sesuatu yang baharu atau unik, tetapi ia masih menggambarkan keadaan semasa dengan ramai yang obsesi dengan penggunaan kecerdasan buatan.
Walaupun dengan premis penceritaan juga watak penjahat yang ringkas dan juga cliché, masih terdapat jiwa yang dibawa oleh Hazelight Studios dengan ia memberikan pengajaran mengenai melawan dan menerima diri sendiri dan juga beralih daripada kesilapan lama untuk saya.

Kawalan untuk permainan ini saya boleh katakan hampir sama dengan It Takes Two dengan pergerakan asas melibatkan melompat dan juga memecut serta digunakan bersama. Ia juga melibatkan grappling dan mengikuti sesuatu landasan yang sudah menjadi kebiasaan untuk permainan Hazelight Studios.
Keseronokan sebenar hadir apabila Zoe dan Mio menerima kebolehan yang berlainan mengikut dunia dan juga penceritaan yang mereka sedang lalui. Peringkat awal untuk permainan ini meletakkan mereka di dalam dunia cereka sains yang dihasilkan oleh Mio. Mereka menjadi “cyber ninjas” dengan kemahiran yang tersendiri: Mio boleh menggunakan pedang yang boleh melekat di permukaan berbeza dan juga memanipulasi graviti. Zoe pula menggunakan cambuk yang boleh menarik barangan atau penjahat dan membaling ke mana-mana arah.

Satu peringkat yang saya suka adalah yang melibatkan sihir dan menghasilkan ubatan. Mereka berdua berada di satu tempat yang dipanggil sebagai Moon Market, iaitu satu tempat yang saya boleh katakan mengambil inspirasi daripada Diagon Alley dari siri filem Harry Potter. Di tempat ini, Zoe dan Mio perlu mencari tiga roh kucing menggunakan lampu ajaib dan juga buku terbang.
Saya juga menyukai peringkat yang melibatkan naga. Mio akan menunggang satu naga yang boleh terbang dan menyembur asid untuk mencairkan besi manakala Zoe menunggang naga yang boleh bergolek, memecahkan kristal dan halangan-halangan yang ada. Selain tatamain, rekaan persekitaran dan juga muzik runut untuk dunia simulasi ini juga sangat mendalam.
Anda mungkin mengatakan yang saya lebih menyukai peringkat yang berkait dengan fantasi. Boleh dikatakan begitu, akan tetapi ia tidak bermaksud yang saya tidak menyukai penceritaan cereka sains oleh Mio. Pada awalnya ia terasa sangat tipikal dengan letupan, persekitaran yang unik, akan tetapi ia mempunyai mekanik permainan yang kreatif dan benar-benar menguji kerjasama saya bersama dengan rakan semasa melalui peringkat ini.

Peringkat akhir, tanpa memberi sebaran beberapa, adalah gabungan peringkat-peringkat sebelum ini yang benar-benar memperlihatkan kebolehan Hazelight Studios untuk menghasilkan sesuatu yang sangat kreatif dan pada masa yang sama menguji ingatan pemain mengenai mekanik yang hanya digunakan untuk masa yang singkat sebelum ini.
Perkara yang baik mengenai bagi permainan ini bagi saya adalah tatamain yang kreatif, sesuatu yang sudah dijangkakan, dan saya kagum dengan kepelbagaian mekanik platforming yang digunakan. Saya juga menyukai pelbagai rujukan mengenai budaya pop yang digunakan dan juga easter egg daripada permainan mereka sebelum ini seperti It Takes Two dan A Way Out.
Seperti judul lain oleh Hazelight Studios, saya ketawa, menjerit dan akan bergaduh dengan rakan semasa melalui pelbagai penceritaan fantasi dan cereka sains dengan kepelbagaian mekanik digunakan. Namun, sesuatu yang penting, ia membawa keseronokan untuk saya.


Perkara yang saya kurang gemari mengenai permainan ini, juga merupakan rungutan saya untuk permainan It Takes Two—penceritaan yang terlalu ringkas dan kurang mendalam. Apabila saya melalui peringkat-peringkat yang ada, saya mula memahami mengenai Mio dan Zoe dengan lebih lagi, akan tetapi setiap peringkat ini terasa cetek dan tiada kesinambungan di antara penceritaan oleh mereka dan penceritaan utama permainan ini. Fokus Hazelight Studios sudah semestinya tatamain yang saya faham mengapa, tetapi saya berharap yang penceritaan memberi nilai.
Split Fiction juga terasa bergerak terlalu pantas, terutama di bahagian permulaan—saya akan ditolak dan ditarik dari satu dunia ke dunia yang lain tanpa memberi peluang untuk saya meluangkan masa yang lebih di dunia-dunia tersebut. Saya juga merasakan pilihan untuk mengulangi susunan peringkat daripada cereka sains ke fantasi secara berterusan mengurangkan kejutan kerana sudah boleh jangkakan tema dunia yang seterusnya.



Saya juga merasakan dinamik yang bertentangan di antara dua watak ini terlalu mendesak. Selepas diperkenalkan Mio dan Zoe, mereka terus menjadi watak yang saya tidak sukai. Saya merasakan perkara yang sama di dalam It Takes Two, tetapi kisah mengenai pasangan yang melalui penceraian terasa lebih boleh dipercayai berbanding remaja yang resah bertemu dengan remaja yang naif.
Walaupun begitu, penceritaan bagaimana mereka meruntuhkan dinding (secara literal) and memahami antara satu sama dengan lebih mendalam selepas melalui penceritaan mereka masih lagi menyentuh jiwa.
Adakah permainan ini berbaloi? Seperti yang saya katakan di awal ulasan ini, berbanding dengan It Takes Two, Split Fiction membawanya ke satu tahap yang lebih tinggi. Walaupun terdapat bahagian yang terasa berulang seperti susunan peringkat dan melawan boss di akhirnya, akan tetapi permainan ini menyertakan kebolehan dan mekanik baharu untuk menjadikannya lebih menarik. Mekanik ini bukan sahaja sangat kreatif tetapi juga bagaikan memberi penghormatan kepada permainan-permainan seperti Mario, Metroid, dan Donkey Kong.
Walaupun saya sudah menyelesaikan permainan ini buat pertama kali, saya masih boleh bermain-nya sekali lagi, saya boleh memilih watak lain dan mencuba kebolehan dan juga mekanik yang berbeza. Dengan kata lain, masih terdapat banyak perkara untuk dilakukan selepas permainan tamat.



Walaupun dengan penceritaan yang mudah untuk dijangka, akan tetapi tatamain sudah semestinya menjadi fokus dan juga penarik utama. Ia satu tugasan yang sukar untuk mengikuti permainan yang disukai ramai, tambahan lagi yang memenangi Permainan Terbaik tetapi bagi peminat permainan koperasi ataupun permainan oleh Hazelight Studios mereka berjaya untuk menghasilkan satu lagi permainan yang sangat baik.
Split Fiction sudah dilancarkan untuk PlayStation 5, Windows and Xbox Series dan akan tiba untuk Nintendo Switch 2. Kod permainan disediakan oleh EA bagi tujuan ulasan ini.
Jin Soh merupakan Editor Video untuk Amanz Media dan juga merupakan ‘main’ Hu Tao.