Dengan lambakan perkhidmatan penstriman, mungkin tidak terkejar untuk mengetahui kandungan-kandungan terbaru yang mula ditawarkan di perkhidmatan tersebut. Oleh itu, melalui segmen terbaru ini, pada setiap hari Jumaat kami akan kongsi-kan lima kandungan terbaru ataupun kandungan lama yang baru sahaja boleh distrim di mana-mana perkhidmatan penstriman termasuk juga yang perlu dibeli atau disewa di Apple TV Store dan Google TV Store.
Bagi minggu ini, berikut adalah 5 kandungan menarik yang anda boleh strim:
Hyper Knife
Platform: Disney+ Hotstar
Kisah ‘peperangan’ di antara dua pakar bedah otak memuncak apabila kedua-dua mereka mempunyai sesuatu yang diinginkan oleh satu sama lain, termasuk juga rahsia yang ingin disorok. Seok merupakan seorang pakar bedah otak yang sangat berkemahiran akan tetapi mempunyai masalah obsesi dengan kehendak sendiri membuatkan dia tidak sesuai untuk menjadi doktor dan dibuang oleh Deokhee. Namun, sekarang Deokhee yang berpenyakit memerlukan kepakaran Seok untuk mengubatinya.
Baca: Hyper Knife – Kisah Pakar Bedah Otak Yang Obsesi
Big World
Platform: Netflix
Liu Chunhe menghidapi penyakit palsi serebrum tetapi dia bertekad untuk hidup seperti biasa dan mengejar impiannya. Perkara ini telah mencetus permasalahan dengan ibunya sendiri yang risau jika dia akan disakiti Namun, bersama dengan neneknya dia meneruskan permulaan baharu untuk hidupnya.
Arthur the King
Platform: Prime Video
Michael Light menyertai perlumbaan ketahanan diri yang memerlukan dia berlari, berbasikal, berkayak dan mendaki sejauh 700 km. Selepas beberapa kali gagal sebelum ini, perlumbaan ini mungkin yang terakhir untuknya. Semasa melalui perlumbaan tersebut, Michael telah mendapat rakan baharu iaitu seekor anjing liar yang mengikutinya sepanjang perlumbaan ini dan tidak itu sahaja ia juga banyak membantu di dalam perlumbaan ini.
Self Reliance
Platform: Max
Tommy Walcott telah dijemput untuk menyertai satu pertandingan dan berpeluang memenangi $1 juta, di dalam permainan ini dia perlu mengelak daripada dibunuh oleh pembunuh upahan. DIa kemudian menyedari yang pembunuh upahan tidak akan cuba untuk membunuhnya jika dia bersama dengan orang lain. Ini membuatkan dia terpaksa bergantung dengan rakan-rakannya tetapi mereka tidak percaya dengan pertandingan tersebut.
Wolf Man
Platform: Apple TV, Google TV (Beli/Sewa)
Percutian Blake bersama dengan anak dan isterinya ke kampung halamannya bertukar menjadi tragedi apabila mereka diserang oleh manusia serigala yang juga mencederakan Blake dan membuatkan ia semakin hampir untuk bertukar menjadi binatang tersebut. Sebelum kemanusiaannya berakhir, Blake berusaha untuk memastikan keluargannya selamat tetapi adakah mencukupi ataupun dia yang akan menjadi bahaya untuk mereka?
Baca: Ulasan Wolf Man