Skip to main content

Wolf Man mempunyai beberapa bahagian yang menarik akan tetapi apabila bahagian tersebut menjadi semakin menarik, penceritaan beralih kepada sesuatu yang baharu. Perkara ini membuatkan kurangnya kepuasan semasa menonton. Selepas filem The Invisible Man, saya mempunyai harapan yang tinggi untuk filem terbaru oleh Legih Whannel ini, akan tetapi kerana masalah yang saya nyatakan sebelum ini ia sedikit mengecewakan. Filem ini banyak memperkenalkan sesuatu masalah ataupun cuba untuk membawa sesuatu perwatakan bagi sesetengah watak akan tetapi tidak dikembangkan dengan baik yang membuatkan saya tertanya apa tujuannya, perkara itu disampaikan.

Filem ini bermula dengan memperlihatkan seorang kanak-kanak bernama Blake yang tampaknya dibesarkan di satu kawasan hutan dengan gaya tentera, perlu mengemas katil selepas bangun, bapanya bercakap dengan gaya tentera seperti menggunakan masa 24 jam, dan dia juga dilatih untuk memburu. Semasa mereka memburu bersama, Blake telah melihat satu makhluk yang tidak diketahui spesisnya. Bapanya yang melihat makhluk tersebut kemudian menghubungi rakannya mengatakan yang ura-ura mengenai makhluk di kawasan tersebut adalah benar. Pembukaan ini bagi saya tidak digunakan dengan baik, ada satu adegan di mana Blake hampir ‘menjadi’ bapanya tetapi ia tidak lebih daripada itu.

Ini adalah kerana filem ini kemudian beralih ke 30 tahun kemudian, Blake lakonan Christopher Abbott telah berpindah ke bandar dan mempunyai seorang anak perempuan, Ginger Lovell lakonan Matilda Firth dan isteri Charlotte Lovell lakonan Julia Garner. Filem ini cuba untuk memperlihatkan yang walaupun mereka kelihatan bahagia, akan tetapi terdapat ketegangan di dalam perhubungan mereka. Perkara ini disampaikan melalui dialog dengan baik akan tetapi semasa permasalahan ini mula berkembang penceritaan beralih kepada Blake ingin pulang ke tempat dia membesar kerana mendapati yang bapanya yang hilang sebelum diumumkan sudah meninggal dunia. Bahagian permasalahan keluarga ini kemudiannya tidak lagi menjadi bahagian penting yang membuatkan kesan kisah tersebut tidak memberi peranan di dalam penceritaan secara keseluruhannya.

Semasa di dalam perjalanan untuk ke rumah bapanya, mereka mengalami kemalangan dan mula menyedari yang ada makhluk yang memerhati. Blake telah diserang dan tangannya terluka akan tetapi mereka berjaya melarikan diri ke rumah tersebut dan selamat di dalam. Sehinggalah apabila Blake menjadi sakit, lukanya menjadi semakin teruk dan dia juga kelihatan berubah menjadi sesuatu yang berlainan. Filem ini kemudian memfokuskan kepada bagaimana Charlotte ingin memastikan dia, Ginger dan juga Blake dapat diselamatkan daripada kawasan tersebut. Bagi saya bahagian ini adalah kekuatan utama untuk filem ini kerana ia memperlihatkan dengan lebih dekat bagaimana Blake mula hilang kemanusiaannya, dia menjadi lebih sensitif dengan bunyi dan pelbagai lagi.

Bagi yang inginkan perkara seram ataupun ngeri, filem ini melakukan bahagian seram dengan baik dengan membuatkan saya ternanti-nanti apa yang berlaku, ia tidak sangat menggunakan kejutan yang tiba-tiba sebaliknya lebih kepada kejutan yang dibina daripada awal. Bagi saya ia berkesan, cuma rungutan saya mungkin tidak mempunyai terlalu banyak bahagian ini. Manakala bagi bahagian ngeri pula, ia juga diperlihatkan dengan baik terutama dengan memotong bahagian badan, melihat badan manusia berubah menjadi sesuatu yang berlainan tetapi seperti bahagian seram, saya juga tidak merakan ada jumlah yang mencukupi untuk bahagian ngeri ini.

Akhir kata, Wolf Man boleh dikatakan sebagai filem yang mempunyai idea yang baik bagi watak, dan juga bahagian plot yang cuba untuk disampaikan, namun ia tidak disampaikan dengan lengkap, dengan banyak bahagian baru sahaja dibina tetapi tiba-tiba ia telah berakhir dan penceritaan beralih kepada sesuatu yang baharu. Terdapat juga perwatakan yang diperlihatkan tetapi tidak digunakan dengan lebih lagi, dan hanya berkait dengan satu atau dua adegan sahaja. Ia masih satu tontonan yang baik, dan bagi yang inginkan seram atau ngeri, filem ini ada menyediakannya tetapi mungkin tidak akan memberikan perasaan yang puas.

Wolf Man
Mempunyai pelbagai idea yang baik, penyampaian juga menarik melalui adegan seram dan juga ngeri namun akhirnya ia tidak merasa mencukupi dengan kebanyakan idea tersebut tidak dikembangkan manakala adegan seram dan ngeri juga tidak memuaskan. Masih satu tontonan yang baik tetapi akan keluar tanpa rasa kepuasan.
Positif
Mempunyai idea yang menarik
Bahagian "penukaran" dilakukan dengan baik
Negatif
Idea tidak dikembangkan
Bahagian seram dan ngeri terasa tidak mencukupi
7

Leave a Reply

Final Score