Selepas Disney melancarkan perkhidmatan penstriman mereka sendiri, Disney+ atau Disney+ Hotstar di Malaysia, mereka mula membawa siri-siri berdasarkan Marvel kembali ke platform ini. Daredevil yang bermula di Netflix salah satu daripadanya. Semasa permulaan projek ini, ada laporan mengatakan yang ia akan menjadi permulaan baharu akan tetapi mereka mengubahnya dan ingin hadir dengan siri yang meneruskan penceritaan daripada siri Netflix.

Sebagai penonton, saya boleh katakan ia merupakan keputusan yang baik. Mengapa membazirkan penceritaan yang sudah disukai oleh penonton sebelum ini untuk hadir dengan sesuatu yang baharu? Namun, seperti judul untuk siri ini iaitu Born Again, merujuk kepada komik berjudul sama tetapi bukan satu adaptasi, siri ini boleh dikatakan masih lagi permulaan semula untuk Matt Murdock dan personanya sebagai Daredevil, yang memberikan sesuatu segar tetapi tidak memberi kepuasan kerana ia musim pertama daripada dua yang dirancangkan.

Saya mengatakan siri ini masih lagi permulaan baharu untuk Matt Murdock dan Daredevil yang di bawa oleh Charlie Cox kerana ia meluangkan lebih kurang separuh penceritaan memfokuskan kepada Matt Murdock berbanding Daredevil. Selepas satu kejadian berlaku pada episod awal, Matt Murdock memilih untuk memfokuskan kariernya sebagai peguam berbanding sebagai seorang vigilante. Ada kemungkinan yang penonton kecewa dengan kurangnya penglibatan Daredevil akan tetapi saya boleh katakan yang Matt Murdock masih lagi watak yang dilakukan dengan menarik dan tidak perlu berselindung disebalik topeng.

Secara keseluruhannya, saya boleh katakan yang bahagian awal ini yang lebih memfokuskan kepada Matt Murdock merupakan bahagian terbaik untuk siri ini, dan apabila Daredevil kembali, siri ini bagaikan bermula semula sekali lagi kerana ia kini lebih memfokuskan kepada watak itu. Perkara ini bagi saya serba sedikit mengacau aliran penceritaan, membuatkan episod pertengahan menjadi sedikit perlahan dan tidak meneruskan momentum daripada episod-episod sebelum ini, tetapi ia menjadi lebih baik untuk episod seterusnya sehinggalah episod akhir.

Saya juga boleh katakan perkara yang sama untuk watak Wilson Fisk ataupun Kingpin, selepas kejadian di dalam siri Hawkeye dan Echo, di mana seperti yang diperlihatkan di dalam akhir siri Echo, Wilson Fisk diperlihatkan mengikuti mengenai perkembangan bagi pilihanraya untuk menjadi Datuk Bandar New York. Siri ini juga bermula dengan dia menjadi salah seorang calon untuknya dan bagi memastikan ia dapat dilakukan tanpa sebarang masalah, kesemua perkara ‘jenayah’ disorok dan cuba untuk menjadi seorang yang bersih daripada segala perkara itu. Ini tidak bermakna yang dia menjadi lemah, akan tetapi sebaliknya, ia memberi dinamik yang berlainan.

Siri ini menyampaikan perwatakan Matt Murdock dan juga Wilson Fisk dengan perwatakan yang sama tetapi dengan laluan yang berbeza. Matt Murdock melalui krisis identiti mengenai dirinya dan Daredevil, manakala Wilson Fisk juga melalui proses perubahan selepas kejadian di dalam Hawkeye dan Echo. Perkara ini juga menyebabkan permasalahan di antara Matt Murdock dengan rakan-rakanya dan juga Wilson Fisk dengan Vanessa. Perkara ini, bagi saya membuatkan kedua-dua watak terasa segar dan menarik walaupun mereka tidaklah banyak mempunyai adegan bersama tetapi apabila ada, ia satu adegan yang sangat menarik.

Selain Matt Murdock dan Wilson Fisk, siri ini juga diperkuatkan lagi dengan beberapa lagi watak lain. Deborah Ann Woll kembali sebagai Karen Page dan Elden Henseon sebagai Foggy Nelson, walaupun mereka terlibat dengan adegan yang penting tetapi penglibatan mereka berdua boleh dikatakan terhad, begitu juga Jon Bernthal sebagai Frank Castle/Punisher. Ayelet Zurer kembali sebagai Vanessa dan membawa watak yang penting kerana mengendali perniagaan Wilson Fisk semasa dia menghilangkan diri dan menjadi Datuk Bandar dan Heather Glenn lakonan Margarita Levieva menjadi love interest baharu untuk Matt Murdock, tetapi dia wataknya berkembang menjadi sesuatu yang agak menarik untuk di bawa ke musim dua.

Seperti yang diperlihatkan di dalam siri ini di Netflix, Daredevil: Born Again juga menyertakan adegan aksi yang sangat ganas, dan saya boleh katakan Born Again lebih ganas daripada apa yang sangat daripada sebelum ini. Siri ini tidak takut untuk meletakkan adegan-adegan yang patah tulang, berdarah ataupun kematian yang kejam. Bagi yang menyukai aspek ini di dalam siri Daredevil, saya boleh katakan yang anda tidak akan kecewa. Walaupun, seperti saya katakan bahagian awal Matt Murdock lebih lama ditampilkan, ini tidak bermakna tiada aksi kerana walaupun tanpa topeng, pelbagai jenayah serta perlawanan masih berlaku. Saya cuma merasakan yang bahagian Daredevil yang dapat bergerak ke tempat yang tinggi masih kelihatan janggal.

Satu perkara yang saya boleh katakan memberi nilai tambah kepada siri ini bagaimana ia juga memfokuskan kepada penduduk di New York, dengan dari semasa ke semasa akan dinyatakan pendapat mereka mengenai sesuatu yang berlaku di bandar tersebut. Bagi saya ia menjadikan siri ini lebih menampilkan bahagian kemanusiaan dan bukan sekadar kisah adiwira sahaja. Saya juga menyukai yang siri ini dirakamkan dan disampaikan dengan lebih teliti untuk menyerlahkan lagi setiap adegan ataupun watak, ia menjadikan pengalaman tontonan yang lebih mengujakan.

Sebelum ini, Disney ingin hadir dengan siri Daredevil yang mempunyai 18 episod satu musim, akan tetapi ia diubah menjadi 2 musim dengan 9 episod untuk setiap musim. Oleh kerana itu, seperti yang saya nyatakan di atas, siri ini berakhir dengan tidak memuaskan kerana ia lebih kepada ‘permulaan semula’ persaingan di antara Daredevil dan Wilson Fisk, musim ini juga tidak membawa sebarang kesimpulan untuk mana-mana bahagian tetapi ia berakhir semasa permasalahan berada di bahagian klimaks. Ia sudah semestinya menjadikan penantian untuk musim seterusnya lebih menarik tetapi pada masa yang sama membuatkan musim ini sedikit mengecewakan.

Akhir kata, siri ini bermula dengan baik terutama dengan ‘pengenalan semula’ untuk watak Matt Murdock dan juga Wilson Fisk, walaupun kurang penggunaan Daredevil tetapi penceritaan masih rancak dengan pelbagai permasalahan akan tetapi siri ini bagaikan menekan brek pada pertengahan dan memulakan semula dengan permasalahan yang baharu serba sedikit mengganggu aliran penceritaan. Namun, ia masih satu siri yang baik untuk membawa kembali Daredevil dan ia sudah semestinya membuatkan semua ternanti-nanti musim dua kerana ia berakhir semasa permasalahan ini berada di bahagian klimaks.

Daredevil: Born Again tiba hari ini untuk dua episod pertama dengan 7 lagi episod akan tiba secara mingguan. Kesemua 9 episod disediakan oleh Disney+ Hotstar bagi tujuan ulasan ini.

Gambar: © 2024 MARVEL

Daredevil: Born Again
Meneruskan daripada siri di Netflix, siri ini masih lagi menarik, ganas dan berjiwa ia juga permulaan baharu untuk Matt Murdock dan Wilson Fisk. Bermula dengan baik dan rancak tetapi peralihan ke bahagian seterusnya sedikit janggal dan mengganggu aliran penceritaan.
Positif
Negatif

Leave a Reply

Final Score