Selepas membawa semula Theme Hospital melalui Two Point Hospital, Two Point Studios mengembangkan lagi kepakaran mereka di dalam menghasilkan permainan simulasi/strategi seperti pengurusan kampus melalui Two Point Campus dan kali ini, mereka memberikan pula peluang kepada pemain untuk mengurus muzium dan saya boleh katakan yang ia membawa penambahan serta inovasi tatamain yang memuaskan untuk memberikan perasaan yang segar di dalam genre ini.
Seperti dua permainan Two Point yang sebelum ini, Two Point Museum tatamain yang teras adalah pengurusan, iaitu di dalam permainan ini muzium. Anda bertanggungjawab untuk menyediakan pameran di muzium tersebut bagi menarik minat pengunjung dan memperoleh keuntungan melalui jualan tiket kemasukan, derma dan juga dengan menjual makanan serta minuman dan juga barangan-barangan cendera hati.


Perkara yang unik mengenai permainan ini, bagi benar-benar menggambarkan idea di sebalik muzium adalah ia menyertakan Expedition. Ia merupakan satu konsep tatamain yang baharu dan sangat berlainan jika ingin dibandingkan dengan permainan sebelum ini. Sebelum dapat mempamerkan fosil, ataupun barangan menarik atau bersejarah, saya perlu terlebih dahulu mencari barangan tersebut.
Untuk mencarinya, saya perlu menghantar pasukan ekspedisi ke kawasan-kawasan tertentu ia akan mengambil masa beberapa hari, dan setiap kawasan mempunyai keperluan tersendiri seperti jumlah staf yang perlu dihantar, masalah yang boleh berlaku dan cara untuk mengatasinya seperti menghantar staf yang mempunyai kepakaran tersendiri. Selepas ekspedisi berjaya mereka akan pulang ke muzium dengan satu kotak besar, dan saya perlu membukanya untuk mengetahui apa yang ada di dalam.


Oleh kerana barangan yang saya peroleh tidak menentu, dengan setiap kawasan mempunyai beberapa barangan berlainan saya perlu menghantar beberapa kali jika ingin mencari barangan yang khusus. Contohnya, saya menjumpai fosil dinosaur, tetapi saya akan menjumpai satu bahagian sahaja daripada dinosaur tersebut. Jika saya ingin mempamerkan fosil dinosaur yang lengkap saya perlu berulang kali menghantar ekspedisi ke tempat yang sama.


Bagi saya mekanik ini merupakan satu pembawaan yang segar untuk permainan ini, tambahan lagi ia juga dikembangkan lagi dengan kawasan-kawasan tertentu tidak boleh diakses pada awalnya dan memerlukan pemain menyelesaikan objektif yang tertentu. Oleh itu, objektif permainan ini bukan sahaja terhad kepada mencapai sasaran muzium seperti jumlah keuntungan atau pengunjung tetapi juga objektif untuk membolehkan saya mengembara ke tempat yang lebih jauh.
Selepas mendapat bahan pameran ini, ia kemudian perlu dipamerkan dan setiap pameran mempunyai tiga perkara penting yang perlu dipertingkatkan iaitu Buzz ataupun tarikan, tarikan yang lebih tinggi akan membuatkan pengunjung lebih menyukainya dan mereka akan melakukan derma yang lebih baik. Buzz ini boleh dipertingkatkan dengan menghias kawasan pameran dan juga kualiti barangan pameran tersebut. Seterusnya adalah Knowledge atau dengan kata lain pengetahuan yang boleh didapatkan olen pengunjung yang melihat pameran tersebut dan akhir sekali jumlah perhiasan yang berkait dengan pameran tersebut.


Pengurusan muzium melalui pameran ini adalah perkara yang menarik dan memberikan kebebasan kepada pemain, begitu juga dengan pengurusan lain seperti jualan tiket, sama ada ingin meningkatkan atau mengurangkan harga tiket, pengurusan pengunjung yang setiap-nya mempunyai minat serta pengetahuan yang berbeza dan akhir sekali sudah semestinya pengurusan staf termasuk juga menghantar mereka untuk berlatih bagi menjadikan hasil kerja mereka lebih baik dan juga untuk menyertai ekspedisi tertentu.
Bagi rekaan grafik pula, ia masih mengekalkan tema Two Point iaitu setiap perkara menerima sentuhan jenaka, seperti jenis pameran dan juga pengunjung terutama melalui penggunaan Trait, sesetengah pengunjung akan mempunyai trait yang berlainan, contohnya Yeti yang akan mengurangkan Buzz tetapi mempertingkatkan pengetahuan yang diperoleh oleh pengunjung yang lain. Sistem untuk menyusun atur pameran juga adalah baik dan mudah untuk difahami.


Terdapat beberapa tema muzium yang berbeza dengan setiapnya mempunyai gaya perhiasan dan pameran yang berlainan. Jika bermain kempen, ia akan bermula dengan muzium pra-sejarah diikuti dengan muzium hantu dan muzium kehidupan laut, sebelum membuka tema-tema lain seperti botani, sains dan angkasa. Setiap daripada tema ini mempunyai rekaan tersendiri dan saya boleh saling bertukar untuk mengurus muzium-muzium berbeza yang menjadikan permainan ini tidak membosankan. Seperti biasa terdapat juga mod Sandbox, jika ingin bermain dengan lebih bebas.
Akhir kata, Two Point Museum memberikan permainan pengurusan muzium yang menarik, pengurusan untuk memastikan muzium menjadi tarikan ramai serta membuat keuntungan merupakan perkara yang sendirinya menarik, namun permainan ini juga menyertakan Expedition sesuatu yang terasa unik dan berlainan dengan permainan-permainan sebelum ini membuatkan ia masih terasa sama tetapi pada masa membawa sesuatu yang segar untuk peminat genre ini.
Two Point Museum sudah dilancarkan pada 28 Februari 2025 bagi yang mendapatkan Explorer Edition dan 5 Mac 2025 untuk semua. Kod permainan disediakan oleh SEGA bagi tujuan ulasan ini.