Perjuangan pasukan Malaysia di kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Snapdragon Pro Series Asia Pasifik – Challenge Finals tampaknya berakhir di peringkat kumpulan apabila wakil tunggal kita, Selangor Red Giants (SRG) tidak berjaya untuk melepasi peringkat tersebut selepas tewas 3 perlawanan daripada 5.
SRG bermula dengan langkah kanan untuk peringkat kumpulan ini selepas mengalahkan See You Soon dan juga Team Flash.
Momentun tidak dapat diteruskan apabila tewas berturut-turut melawan dua pasukan Indonesia iaitu Team Liquid dan Bigetron dan juga ONIC Philippines. Ketiga-tiga pasukan ini kemudian melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Tiga lagi pasukan yang ke Peringkat Kalah Mati ialah Team Falcons PH, ONIC (Indonesia) dan RRQ Hoshi, mengukuhkan lagi dominasi dua negara iaitu Indonesia dan Filipina di arena Mobile Legends: Bang Bang.
Peringkat Kalah Mati yang akan bermula esok memperlihatkan ONIC bertemu dengan Bigetron dan ONIC Philippines bertemu dengan RRQ Hoshi.
Team Liquid ID dan juga Team Falcons PH selaku juara Kumpulan A dan Kumpulan B menanti mereka di Peringkat Separuh Akhir.
Anda boleh mengikut kejohanan ini melalui penstriman langsung oleh Snapdragon ataupun Moonton, dan juga boleh menonton dengan lebih dekat di Persada Johor International Convention Centre. Ia menawarkan hadiah terkumpul $150 ribu dan juga kelayakan ke Peringkat Masters.
Gambar: Moonton