Esports World Cup (EWC) 2026 akan berwajah sedikit berbeza tahun ini apabila ia secara rasmi menukar lokasi penganjurannya dari Riyadh ke Paris, Perancis. Kejohanan mega yang dijadualkan berlangsung dari 6 Julai hingga 23 Ogos 2026 ini mengekalkan struktur kompetitifnya dengan menawarkan hadiah terkumpul melebihi $75 juta. Langkah drastik ini bukan sahaja mengubah logistik penganjuran, malah meningkatkan pertaruhan buat kelab-kelab elit dunia yang bakal bertanding dalam 25 kejohanan melibatkan 24 judul permainan berbeza.

Di sebalik tabir peralihan mengejut ini, pihak penganjur terpaksa bergerak pantas untuk memastikan kualiti kejohanan tidak terjejas. Ketua Pegawai Produk Esports World Cup Foundation, Faisal Mohammed bin Homran, menjelaskan bahawa proses ini memerlukan penelitian rapi bersama stakeholder utama. Menurut beliau, “Keutamaan segera bukanlah sekadar menukar lokasi, tetapi memastikan setiap bahagian acara dapat beralih tanpa menjejaskan standard tersebut”. Pihak Perancis memberikan komitmen tinggi kerana wujudnya persefahaman bersama mengenai elemen penting EWC, di mana integriti kejohanan, skala dan pengalaman bertaraf dunia wajib dikekalkan.

Cabaran terbesar penganjuran kali ini beralih kepada aspek infrastruktur dan teknikal lokasi penganjuran. Jika edisi terdahulu di anjurkan di Boulevard Riyadh City yang boleh dikatakan dibina sebagai hab esukan yang khusus, di Paris pula mereka memilih pusat pameran bersejarah, Paris Expo Porte de Versailles. Mengulas mengenai transisi ini, Faisal menegaskan, “Model venue berbeza, tetapi kualiti yang perlu kami sampaikan kekal sama”. Beliau menambah bahawa fokus utama penganjuran adalah bagi memastikan operasi pertandingan, produksi penyiaran, fasiliti pasukan, dan pengalaman peminat diselaraskan dengan sempurna, “Berbanding menghasilkan semula pengalaman di Riyadh, sasaran kami adalah menghasilkan pengalaman yang bersesuaian dengan Paris, ia adalah pertandingan yang sama di pentas baharu”, jelasnya.

Pemilihan Paris juga merupakan satu langkah strategik untuk melebarkan sayap industri. Faisal melihat integrasi budaya sebagai kelebihan utama, “penganjuran di Paris memberi peluang kepada kami untuk memperkenalkan EWC kepada penonton baharu dan meletakkan esukan sebagai salah satu penganjuran utama setaraf dengan penganjuran budaya, sukan dan hiburan yang menjadi sinonim dengan bandar ini”.

Faisal juga melihat penganjuran di Paris ini akan memberi mereka pengalaman yang baik di dalam penganjuran Esports Nation Cup (ENC) pada akhir tahun ini, yang walaupun akan berlangsung di Riyadh tetapi mereka sebelum ini mengumumkan yang ENC yang akan dianjurkan dua tahun sekali akan mempunyai negara-negara berlainan sebagai hos untuk setiap penganjuran. “Menganjurkan EWC di Paris memberi kami pengalaman yang bermakna untuk menganjurkan kejohanan esukan di lokasi, persekitaran dan juga rangkaian stakeholder yang baharu”.

Perpindahan ke benua Eropah secara langsung mencetuskan kebimbangan logistik dan juga pemprosesan visa, terutamanya bagi rantau kuasa besar seperti Asia Tenggara. Menyedari kegusaran komuniti yang bakal merentasi benua, Faisal memberi jaminan, “Keutamaan kami adalah untuk memastikan pasukan dari setiap rantau dapat bersaing secara adil, dan itu termasuk menguruskan realiti praktikal perjalanan antarabangsa”. Beliau juga mengatakan yang Asia Tenggara merupakan benua yang sangat kritikal untuk esukan, terutama komuniti permainan seperti Honor of Kings dan Mobile Legends: Bang Bang. Beliau mengatakan “mereka bekerjasama rapat dengan pasukan, penerbit, dan stakeholder untuk memastikan cabaran logistik dapat dikendalikan tanpa sebarang masalah”.

Bagi kejohanan EWC untuk tahun ini, terdapat beberapa pasukan yang melibatkan pasukan dan pemain dari Malaysia antaranya Selangor Red Giants dan Team Vamos untuk MLBB Mid Season Cup, Aurora Gaming dan Geekay Esports untuk Honor of Kings World Cup, Kirisame Havoc sah menggalas cabaran dalam Apex Legends, manakala Team Rey Young akan bertarung dalam Mobile Legends: Bang Bang Women’s Invitational, disusuli oleh Aurora Gaming dalam saingan Free Fire EWC, dan R8 Esports yang memburu kejuaraan PUBG EWC. Cabaran Malaysia turut diperkukuh oleh barisan pemain individu yang menyertai kelab antarabangsa, seperti d4v4i bersama pasukan Paper Rex dalam VALORANT, Ghost yang memperkuat strategi GamerLegion dalam Dota 2, serta Sphinx yang menyarung jersi TSM dalam Rocket League.

Anda boleh mengikuti pengajuran EWC 2026 ini melalui saluran rasmi kejohanan dan juga saluran-saluran rasmi untuk permainan-permainan yang terlibat.

Leave a Reply