Dengan filem Marvel Cinematic Universe (MCU) boleh dikatakan sebagai kurang meriah, berlainan pula jika kita bercakap mengenai kandungan yang diterbitkan oleh Marvel Animation. Pada tahun lepas mereka telah hadir dengan X-Men ’97 dan juga musim terakhir untuk What IF…?. Kedua-dua kandungan boleh dikatakan disampaikan dengan baik dan menarik. Permulaan untuk tahun ini mereka hadir dengan Your Friendly Neighborhood Spider-Man dan saya boleh katakan mereka meneruskan kejayaan tersebut.

Your Friendly Neighborhood Spider-Man tidak secara langsung berkait dengan MCU kerana ia berlaku di dalam mesta berbeza, akan tetapi ada beberapa adegan daripada filem MCU, yang diperlihatkan untuk memberi gambaran yang perkara yang sama berlaku di dalam mesta ini. Siri ini dikatakan sebagai sebahagian daripada Fasa 5 untuk MCU tetapi saya tidak pasti bagaimana ia akan digunakan di dalam filem MCU, jika digunakan.

Siri ini bermula dengan pada waktu awal Peter Parker digigit oleh labah-labah tetapi ia kemudian beralih beberapa bulan dengan Peter Parker sudah menjadi Spider-Man, oleh itu saya tidak boleh mengatakan yang ia satu kisah origin, tetapi lebih kepada kisah awal untuk adiwira labah-labah ini. Perbezaan utama bagi Peter Parker siri ini dan Peter Parket yang di bawa oleh Tom Holland, berbanding Tony Stark menjadi mentor, Norman Osborn menjadi penyokong utama untuk Spider-Man perkakasan yang digunakan termasuk juga kostum.

Kekuatan utama siri ini adalah bagaimana watak-watak tidak kira protagonis ataupun antagonis diperkenalkan dan kemudian dikembangkan. Tidak ada watak yang terasa bazir, terutama watak seperti Lonnie Lincoln rakan sekolah Peter Parker yang kemudian menjadi watak yang penting walaupun tidak sentiasa berkait dengan Peter Parker ataupun Spider-man. Selain itu, Norman Osborn seperti biasa, mempunyai rahsia yang tersendiri yang bagi saya menjadikan wataknya lebih menarik. Satu rungutan yang saya boleh katakan, terdapat beberapa adegan yang lakonan suara tidak memberi impak emosi yang mencukupi.

Saya boleh nyatakan beberapa lagi watak lain seperti Nico Minoru, Harry Osborn, Pearl Pangan dan ramai lagi yang awalnya kelihatan seperti satu watak biasa sahaja akan tetapi dikembangkan untuk menjadi watak yang lebih penting dan lebih menarik. Perkara ini menjadikan siri ini tidak mempunyai masalah kekurangan watak. Terdapat satu kisah yang berterusan daripada episod ke episod, tetapi setiap episod akan ada satu atau dua masalah yang bermula dan selesai di episod yang sama, membuatkan setiap episod tidak terasa kosong.

Bagi animasi, Marvel Animation memilih untuk menghasilkan animasi dengan gaya komik iaitu 3D cel-shaded yang menurut Marvel memberi peringatan kepada gaya komik The Amazing Spider-Man oleh Steve Ditko dan John Romita Sr. yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1963. Bagi saya, animasi yang digunakan menarik dan terasa segar untuk ditonton, walaupun dengan gaya klasik tetapi adegan-adegan pertarungan disampaikan dengan baik, koreografi untuknya juga memuaskan. Saya juga menyukai bagaimana ada masa adegan disampaikan seperti di dalam kotak komik.

Dengan kepelbagaian watak, disampaikan melalui penceritaan yang menarik dan animasi yang berkualiti, Your Friendly Neighborhood Spider-Man merupakan satu lagi kejayaan untuk Marvel Animation dengan ia sudah disahkan untuk musim yang seterusnya, saya juga tidak sabar untuk melihat bagaimana lagi watak-watak yang hadir dikembangkan. Siri ini saya boleh katakan pengisian yang baik sementara kita menanti kandungan yang seterusnya oleh MCU.

Dua episod pertama Your Friendly Neighborhood Spider-Man sudah disiarkan di Disney+ Hotstar dengan episod-episod seterusnya akan tiba secara mingguan.

Your Friendly Neighborhood Spider-Man
Siri animasi Spider-man yang 'meriah' dengan kepelbagaian watak yang dikembangkan dengan baik, penceritaan disampaikan dengan padat dan menarik ditambah lagi dengan gaya animasi yang bukan sahaja unik tetapi juga berkualiti.
Positif
Pelbagai watak dengan perkembangan baik
Penceritaan yang menarik
Animasi berkualiti
Negatif
Sesetengah dialog tidak disampaikan dengan baik
9

Leave a Reply

Final Score