Crunchyroll ketika persidangan Sony di CES hari ini telah mengumumkan yang mereka akan menerbitkan siri anime berdasarkan permainan oleh Sucker Punch Productions, Ghost of Tsushima dan juga Ghost of Tsushima: Legends iaitu penambahan bagi permainan tersebut.
Siri ini juga akan menggunakan judul Ghost of Tsushima: Legends dan akan disiarkan secara eksklusif melalui Crunchyroll pada tahun 2027.
Siri ini diterbitkan dengan kerjasama bersama Aniplex, Sony Music dan juga PlayStation Productions dengan Takanobu Mizuno diumumkan sebagai pengarah. Beliau sebelum ini mengarah Star Wars: Vision bagi episod “The Duel”.
Ghost of Tsushima dilancarkan untuk PlayStation 4 pada tahun 2020, dengan edisi PlayStation 5 dilancarkan pada tahun 2021 dan PC pada tahun 2024. Sucker Punch juga sebelum ini telah mengumumkan permainan susulan yang akan dilancarkan pada tahun 2025.
Sony mengambil-alih Crunchyroll pada tahun 2021 dengan harga $1.175 bilion.


