Tahun 2026 mempunyai potensi untuk menjadi satu tahun yang besar bagi peminat filem, terdapat pelbagai filem-filem besar yang akan ditayangkan dan ada juga pada tarikh yang sama seperti Avengers: Doomsday dan Dune: Part Three. Tahun ini juga memperlihatkan filem-filem adiwira kembali meriah, selain Avengers: Doomsday terdapat juga Spider-Man: Brand New Day dan Supergirl.
Tidak cukup dengan itu, bagi peminat permainan video, tahun 2026 juga mempunyai beberapa filem berasakan permainan video seperti The Super Mario Galaxy Movie dan dua permainan pertarungan iaitu Mortal Kombat II dan juga Street Fighter.
Berikut adalah senarai 20 filem menarik yang dijadualkan untuk tayangan pada tahun 2026, disusun mengikut tarikh tayangan.
28 Years Later: The Bone Temple
Tarikh Tayangan: 15 Januari
Ini adalah bahagian kedua dalam trilogi baharu 28 Years Later. Selepas filem pertama yang diarahkan oleh Danny Boyle, sekuel ini diserahkan kepada pengarah Nia DaCosta (The Marvels, Candyman). Filem ini meneruskan kisah daripada filem 28 Years Later sebelum ini dan memfokuskan kepada watak Spike lakonan Alfie Williams dan Dr. Ian Kelson lakonan Ralph Fiennes.
Mercy
Tarikh Tayangan: 29 Januari
Sebuah filem thriller sci-fi yang diarahkan oleh Timur Bekmambetov (Wanted). Berlatarkan masa depan di mana jenayah semakin meningkat, filem ini mengisahkan seorang detektif (lakonan Chris Pratt) yang dituduh melakukan jenayah ganas dan perlu membuktikan dirinya tidak bersalah kepada AI yang dilakonkan oleh Rebecca Ferguson.
The Cat in the Hat
Tarikh Tayangan: 26 Februari
Adaptasi animasi baharu daripada buku klasik Dr. Seuss oleh Warner Bros. Pictures Animation. Bill Hader akan meminjamkan suaranya untuk watak kucing ikonik tersebut. Filem ini diarahkan oleh Alessandro Carloni dan Erica Rivinoja, menjanjikan gaya visual yang setia kepada ilustrasi asal buku sambil membawa humor yang segar untuk penonton moden.
Scream 7
Tarikh Tayangan: 26 Februari
Francais slasher legenda ini kembali dengan fokus semula kepada watak Sidney Prescott. Neve Campbell telah mengesahkan kepulangannya selepas tidak muncul dalam filem keenam. Kevin Williamson, penulis skrip asal filem Scream pertama, mengambil alih kerusi pengarah, membawa harapan bahawa filem ini akan kembali kepada akar umbi ketegangan dan misteri Ghostface yang asal.
GOAT
Tarikh Tayangan: 19 Mac
Sebuah filem animasi sukan daripada Sony Pictures Animation yang diterbitkan oleh bintang NBA, Stephen Curry. Filem ini mengisahkan seekor kambing muda yang bercita-cita menjadi pemain bola keranjang terhebat walaupun dengan halangan berbadan kecil. Diarahkan oleh Tyree Dillihay, ia membawa menggabungkan aksi sukan yang dinamik dengan komedi keluarga.
Project Hail Mary
Tarikh Tayangan: 26 Mac
Adaptasi novel sci-fi karya Andy Weir (The Martian), filem ini dibintangi oleh Ryan Gosling sebagai Ryland Grace, seorang angkasawan yang tersedar dari koma di angkasa lepas tanpa ingatan, namun memegang kunci untuk menyelamatkan manusia daripada kepupusan. Filem ini diarahkan oleh gandingan Phil Lord dan Christopher Miller, menjanjikan gabungan sains, komedi, dan emosi.
The Super Mario Galaxy Movie
Tarikh Tayangan: 2 April
Susulan kepada kejayaan besar The Super Mario Bros. Movie, Illumination dan Nintendo kembali bekerjasama. Walaupun butiran plot masih tidak jelas, tajuk ini memberi bayangan bahawa Mario dan Luigi mungkin akan mengembara ke angkasa lepas, memperkenalkan watak seperti Rosalina yang di bawa oleh Brie Larson. Chris Pratt dan Charlie Day juga kembali meminjamkan suara mereka.
Michael
Tarikh Tayangan: 23 April
Filem biopik mengenai Raja Pop, Michael Jackson. Diarahkan oleh Antoine Fuqua (Training Day), filem ini menampilkan Jaafar Jackson (anak saudara Michael) sebagai watak utama. Ia akan melihat perjalanan hidup penyanyi tersebut dari zaman Jackson 5 hingga ke puncak kemasyhurannya, serta cabaran peribadi yang dihadapinya.
Mortal Kombat II
Tarikh Tayangan: 14 Mei
Sekuel kepada filem 2021, Simon McQuoid kembali sebagai pengarah. Filem ini akan memperkenalkan watak kegemaran peminat, Johnny Cage, yang dilakonkan oleh Karl Urban. Pertarungan antara Earthrealm dan Outworld semakin sengit dengan kemunculan Shao Kahn dan Kitana, menjanjikan aksi pertarungan yang lebih brutal dan berdarah.
The Mandalorian and Grogu
Tarikh Tayangan: 21 Mei
Lompatan pertama siri Disney+ popular ini ke layar perak. Jon Favreau mengarahkan filem ini yang akan meneruskan pengembaraan Din Djarin (Pedro Pascal) dan anak angkatnya, Grogu. Filem ini dijangka membawa skala aksi yang lebih besar berbanding siri TV, sambil mengekalkan elemen “western” angkasa lepas yang menjadi identiti utamanya.
Masters of the Universe
Tarikh Tayangan: 4 Jun
Filem aksi nyata He-Man yang telah lama dinantikan akhirnya tiba di bawah arahan Travis Knight (Bumblebee). Nicholas Galitzine akan memegang watak Prince Adam/He-Man yang perlu menyelamatkan planet Eternia daripada ancaman Skeletor. Filem ini digambarkan sebagai sebuah epik fantasi sains yang menggabungkan teknologi dan sihir.
Toy Story 5
Tarikh Tayangan: 18 Jun
Pixar meneruskan francais andalan mereka dengan filem kelima. Andrew Stanton, veteren Pixar, kembali mengarah. Woody dan Buzz Lightyear akan bersatu semula dalam satu lagi pengembaraan yang menyentuh hati. Tema kali ini akan menyentuh persaingan antara permainan fizikal tradisional dengan gajet elektronik moden dalam merebut perhatian kanak-kanak.
Supergirl
Tarikh Tayangan: 25 Jun
Berdasarkan komik Supergirl: Woman of Tomorrow, filem ini merupakan sebahagian daripada DC Universe (DCU) baharu James Gunn. Milly Alcock (House of the Dragon) memegang watak Kara Zor-El. Diarahkan oleh Craig Gillespie, filem ini akan menampilkan sisi Supergirl yang lebih muram, berbeza daripada sepupunya Superman, hasil pembesarannya di sisa planet Krypton.
The Odyssey
Tarikh Tayangan: 16 Julai
Projek epik seterusnya daripada pengarah tersohor Christopher Nolan. Walaupun butiran masih samar, ia dikhabarkan sebagai adaptasi moden atau futuristik daripada kisah epik oleh Homer, dirakamkan sepenuhnya menggunakan kamera IMAX, filem ini melibat nama-nama besar dunia lakonan seperti Matt Damon, Tom Holland, Anne Hathaway, Robert Pattinson dan Lupita Nyong’o.
Spider-Man: Brand New Day
Tarikh Tayangan: 30 Julai
Filem keempat dalam siri Spider-Man MCU yang dibintangi oleh Tom Holland. Di bawah arahan Destin Daniel Cretton (Shang-Chi), Peter Parker kini beroperasi sebagai wira “jalanan” selepas kejadian No Way Home. Tajuk ini merujuk kepada permulaan baharu hidup Peter tanpa sokongan teknologi Stark atau rakan-rakannya yang lama.
Digger
Tarikh Tayangan: 1 Oktober
Filem baharu arahan pemenang Oscar, Alejandro G. Iñárritu. Tom Cruise memegang watak utama dalam naskhah yang dirahsiakan ini. Ia dikatakan sebuah filem comedy of catastrophic proportions. Filem ini memberikan peluang kepada Cruise untuk memperlihatkan perwatakan yang agak berbeza yang pernah di bawah olehnya.
Street Fighter
Tarikh Tayangan: 15 Oktober
Cubaan baharu untuk mengadaptasi permainan video pertarungan legenda Capcom ke layar perak. Filem ini dihasilkan oleh Legendary Pictures. Walaupun projek ini mengalami pertukaran pengarah, ia dijadualkan untuk membawa watak ikonik seperti Ryu, Ken, dan Chun-Li dalam sebuah cerita yang lebih setia kepada “lore” permainan asalnya berbanding adaptasi terdahulu.
The Hunger Games: Sunrise on the Reaping
Tarikh Tayangan: 19 November
Prekuel yang memfokuskan kepada Haymitch Abernathy di bawakan oleh Joseph Zada, pemenang Second Quarter Quell (Hunger Games ke-50). Francis Lawrence kembali mengarah filem yang diadaptasi daripada buku Suzanne Collins ini. Penonton akan menyaksikan bagaimana Haymitch memenangi permainannya dan trauma yang membentuk wataknya sebelum menjadi mentor kepada Katniss Everdeen.
Avengers: Doomsday
Tarikh Tayangan: 18 Disember
Kemuncak fasa baharu MCU yang menyaksikan kepulangan Russo Brothers sebagai pengarah. Robert Downey Jr. membuat kemunculan mengejut sebagai penjahat utama, Doctor Doom. Filem ini akan mengumpulkan pelbagai wira baharu dan lama MCU untuk berhadapan dengan ancaman multiversal yang dibawa oleh Victor Von Doom.
Dune: Part Three
Tarikh Tayangan: 18 Disember
Denis Villeneuve melengkapkan triloginya dengan mengadaptasi novel Dune Messiah. Timothée Chalamet kembali sebagai Paul Atreides yang kini menjadi Maharaja semesta, namun terperangkap dalam perang yang dilancarkan atas namanya. Filem ini akan meneroka akibat kuasa mutlak dan kesannya kepada seorang yang dianggap wira.
*tarikh tayangan adalah berdasarkan maklumat terkini, ia mungkin berubah dari semasa ke semasa.


