Peminat seni muzik, animasi, dan permainan video tanah air bakal disajikan dengan sebuah pengalaman audio-visual yang unik apabila Orkestra Kuala Lumpur (OKL) bakal mempersembahkan Konsert Kandungan Digital ASEAN. Konsert berprestij ini dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 Disember 2025 bertempat di Auditorium Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Acara ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Orkestra Kuala Lumpur, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), dan Kementerian Digital Malaysia, bertujuan untuk meraikan pencapaian industri kandungan kreatif digital rantau ini melalui gubahan muzik simfoni.

Konsert Kandungan Digital ASEAN ini bukan sekadar persembahan orkestra biasa. Ia membawa misi untuk menggabungkan keindahan seni muzik tradisional dengan teknologi digital terkini.

Para penonton akan dibawa menyelusuri perjalanan muzik daripada runut bunyi terbaik permainan video dan animasi ASEAN. Berikut antara judul-judul yang akan terlibat:

  • Animasi: BoBoiBoy, Mechamato dan Papa Zola (Monsta), Ejen Ali (Wau Animation), Upin & Ipin (Les’ Copaque), Didi & Friends (Warnakala Studios)
  • Permainan Video: No Straight Roads (Metronomik), GigaBash (Passion Republic Games), Rhythm Doctor (7th Beat Games)

Pengalaman ini akan diperkayakan lagi dengan elemen interaktif dan teknologi visual canggih, membolehkan penonton bukan sahaja mendengar, tetapi merasai sinergi antara orkestra dan dunia digital secara langsung.

Butiran persembahan adalah seperti berikut:

  • Tarikh: 20 Disember 2025 (Sabtu) & 21 Disember 2025 (Ahad)
  • Masa:
    • Hari 1: 8:00 malam – 10:00 malam
    • Hari 2: 4:00 petang – 6:00 petang
  • Lokasi: Auditorium Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Kemasukan adalah percuma dan jika berminat anda boleh dapatkan tiket melalui pautan ini. Setiap pengguna dihadkan kepada dua tiket sahaja.

Leave a Reply