Minggu kedua bulan Disember 2025 meneruskan momentum penutup tahun yang luar biasa untuk peminat permainan video. Jika minggu lepas kita disajikan dengan kepulangan Samus Aran, minggu ini pula menyaksikan gabungan unik antara judul indie yang sangat dinanti-nantikan dan juga ketibaan fasa baharu untuk MMORPG yang telah lama dalam pembangunan.
Dari papan selaju di neraka sehinggalah ke dunia persilatan Wuxia di tapak tangan, berikut adalah lima permainan menarik yang akan dilancarkan sepanjang minggu ini.
Skate Story
Platform: PlayStation 5, Nintendo Switch 2, PC
Akhirnya tiba selepas beberapa tahun memukau peminat dengan treler yang unik, Skate Story dilancarkan minggu ini. Diterbitkan oleh Devolver Digital, anda bermain sebagai iblis yang diperbuat daripada kaca dan kesakitan. Anda telah membuat perjanjian dengan Syaitan: guna papan selaju sehingga ke bulan dan telan bulan tersebut untuk membebaskan diri.
Permainan ini bukan sahaja menawarkan kawalan luncur papan yang realistik dan memuaskan, tetapi juga visual yang sangat menarik dan unik. Setiap jatuhan bermakna tubuh kaca anda akan pecah berderai, menjadikan setiap trick yang berjaya dilakukan terasa lebih bermakna.
Unbeatable
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Peminat permainan rentak (pastinya sudah lama menunggu judul ini sejak demo dilancarkan. Unbeatable membawa pemain ke dunia di mana muzik adalah haram. Anda akan mengikut rentak lagu dalam gaya anime yang sangat bertenaga, sambil melawan polis dan entiti misteri.
Dengan gaya seni visual yang menonjol dan runut bunyi asli yang rancak, Unbeatable menjanjikan pengalaman naratif yang digerakkan oleh muzik. Ia bukan sekadar menekan butang mengikut rentak, tetapi sebuah pengembaraan penuh emosi dan pemberontakan.
Ashes of Creation
Platform: PC (Steam) – akses awal
Salah satu MMORPG yang paling bercita-cita besar dalam dekad ini, Ashes of Creation, akhirnya membuka gerbangnya kepada umum menerusi pelancaran akses awal di Steam minggu ini. Walaupun masih dalam fasa pembangunan, pelancaran ini membolehkan pemain merasai sendiri sistem “Node” yang dinamik, di mana tindakan pemain akan membentuk dunia, bandar, dan ekonomi permainan secara kekal.
Bagi peminat MMO yang dahagakan sesuatu yang baharu dan kompleks, ini adalah masa untuk mula membina legasi anda di dunia Verra sebelum pelancaran penuh kelak.
Terminator 2D: No Fate
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch, PC
Jika anda membesar dengan filem aksi 90-an, Terminator 2D: No Fate adalah khusus untuk anda. Permainan ini mengadaptasi filem legenda Terminator 2: Judgment Day tetapi dalam bentuk permainan aksi pixel art 2D.
Menariknya, ia bukan sekadar mengulang cerita filem. Pemain boleh mengawal T-800, Sarah Connor, atau John Connor, dan pilihan yang anda buat akan membuka senario baharu serta pengakhiran yang berbeza. Ia menggabungkan nostalgia arked klasik dengan naratif bercabang yang moden.
Where Winds Meet
Platform: iOS, Android
Selepas pelancaran global di PC dan konsol bulan lepas, RPG dunia terbuka Wuxia, Where Winds Meet, kini tiba di peranti mudah-alih. Dibangunkan oleh Everstone Studio, versi ini membawakan pengalaman penuh dunia persilatan China purba ke telefon pintar anda.
Apa yang paling menarik adalah sokongan rentas-platform dan rentas-kemajuan. Ini bermakna anda boleh memulakan pengembaraan di PC di rumah, dan menyambung tugasan harian atau penerokaan di telefon pintar anda tanpa sebarang gangguan. Ini adalah masa terbaik untuk terjun ke dunia “Jianghu” jika anda belum mencubanya.


