Saya mula tertarik dengan Clair Obscur: Expedition 33 menerusi treler pertamanya, terutamanya melalui persembahan sistem pertarungan turn-based yang kelihatan segar. Namun, setelah permainan ini dilancarkan sepenuhnya, ia menawarkan kejutan yang melangkaui jangkaan awal, bukan hanya pada mekanik permainannya, tetapi pada keutuhan rekaan dunia, watak, dan penceritaanya.
Aspek yang paling menyerlah dalam permainan ini adalah pembinaan dunianya. Persekitaran yang ditampilkan bukan sekadar latar belakang visual, ia terasa mendalam dengan kisah tersendiri yang berkait rapat dengan jalan cerita utama. Dunia yang diinspirasikan oleh seni Belle Époque ini berfungsi dengan baik untuk menyokong atmosfera permainan serta mengukuhkan lagi pengalaman saya untuk mengembara di dalamnya. Ini ditambah lagi dengan alunan muzik yang saya boleh katakan antara terbaik di dalam sejarah permainan video.

Dari sudut penceritaan, jalan cerita disusun dengan teliti. Walaupun terdapat penggunaan elemen yang boleh dianggap sebagai “plot armor” untuk menyembunyikan kejutan tertentu, teknik ini menjadikan detik pendedahan terasa lebih berkesan dan memberikan impak. Secara keseluruhannya, jalan cerita permainan ini menarik dengan pelbagai liku yang berjaya mengekalkan fokus pemain dari awal hingga akhir tanpa terasa meleret.
Kekuatan penceritaan ini turut disokong oleh rekaan watak yang sangat baik serta barisan pelakon suara yang berkaliber. Watak-watak utama seperti Gustave dan Maelle direka dengan terperinci, bukan sahaja dari segi visual tetapi juga pembawaan emosi. Beban emosi yang ditanggung oleh setiap ahli ekspedisi ini disampaikan dengan berkesan, menjadikan mereka terasa hidup dan bukan sekadar avatar di dalam permainan.

Menariknya, elemen tatamain yang pada asalnya menjadi faktor utama minat saya terhadap permainan ini, kini terasa seperti satu komponen yang bukanlah tarikan utama, malah kadangkala dibayangi oleh kualiti cerita dan dunianya.
Mekanik pertarungan masih menyeronokkan. Setiap watak mempunyai gaya serangan dan kombo tersendiri, memberikan insentif kepada saya untuk kerap menukar ahli pasukan bagi menguji kombo yang berbeza. Walau bagaimanapun, integrasi elemen masa nyata seperti Parry, Dodge, dan Jump memberikan kesan yang bercampur. Walaupun mekanik ini responsif dan seronok dilakukan, ia terasa terlalu dominan atau “terang”. Akibatnya, elemen strategi turn-based yang lain kadangkala terasa kurang menyerlah berbanding kebergantungan kepada refleks pemain untuk mengelak serangan musuh.

Permainan ini menawarkan jumlah senjata dan Pictos yang sangat banyak untuk ditemui. Di atas kertas, ini memberi kebebasan kepada pemain untuk mencuba pelbagai gaya permainan. Namun, dalam praktiknya, jumlah pilihan yang terlalu banyak ini boleh menimbulkan rasa terlalu banyak perkara untuk diteliti, mirip seperti melihat senarai permainan di ‘library’ Steam yang terlalu penuh.
Akhirnya, saya lebih cenderung untuk tidak terlalu mempedulikan perbezaan statistik yang kecil dan hanya menggunakan apa sahaja kelengkapan baharu yang diperolehi, menjadikan sistem yang mendalam ini kurang dimanfaatkan sepenuhnya.

Akhir kata, Clair Obscur: Expedition 33 adalah sebuah pakej yang lengkap. Walaupun sistem pertarungan hibridnya kadangkala membuatkan elemen strateginya terasa kurang impak, dan sistem inventori Pictos yang mungkin terlalu padat, ia ditebus dengan cemerlang melalui rekaan dunia yang atmosfera, penulisan cerita yang bijak, serta penyampaian watak yang penuh emosi.


