Filem seram adaptasi permainan video popular, Five Nights at Freddy’s 2, kembali meneruskan kisah kehidupan Mike, adiknya Abby, dan Vanessa. Bagi anda yang menantikan kesinambungan kisah mereka, filem susulan ini membawa sedikit perubahan nada dan struktur berbanding filem pertama.

Satu perubahan positif yang ketara dalam filem ini adalah watak Mike (Josh Hutcherson) tidak lagi dibelenggu oleh trauma penculikan adiknya, satu elemen yang agak meleret dan membebankan dalam filem pertama. Kini, Mike dilihat cuba membina semula kehidupannya bersama Abby dan juga mempertingkat perhubungannya dengan Vanessa yang sudah pulih selepas kejadian filem pertama.

Namun, perkara positif ini tidak berpanjangan. Walaupun beban emosi Mike telah dikurangkan, penceritaan filem ini seolah-olah mengulangi kesilapan yang sama dengan memindahkan fokus trauma zaman kanak-kanak itu kepada watak Vanessa (Elizabeth Lail). Ini menyebabkan rentak penceritaan kembali terasa berat dan perlahan, sama seperti masalah yang dihadapi dalam filem terdahulu.

Dari segi dinamik watak, hubungan antara Mike dan Vanessa masih terasa canggung. Walaupun telah melalui pelbagai peristiwa bersama, keserasian mereka di layar perak masih terasa tidak kena dan kurang meyakinkan. Ditambah lagi dengan perwatakan Mike, walaupun sudah tidak lagi mempunyai masalah dari trauma lamanya, tetapi dia sering membuat keputusan-keputusan pelik dan salah yang sukar untuk diterima akal oleh saya sebagai penonton.

Bagi meneruskan penceritaan, filem kali ini beralih ke cawangan Freddy’s yang berbeza, iaitu Freddy Fazbear’s Pizza. Selain mempunyai rekaan yang berlainan, ia juga membawa watak yang agak ikonik iaitu The Marionette yang mempunyai kebolehan untuk mengawal patung-patung lain dari jarak jauh. Penambahan watak The Marionette adalah adalah satu penambahan yang menarik dan membawa kisah seram yang baik, terutama ia melibatkan satu lagi watak baharu yang menjadi penting di dalam penceritaan.

Secara keseluruhannya, jalan cerita filem ini boleh dianggap sederhana sahaja, ia sedikit lebih menarik berbanding filem pertama. Walau bagaimanapun, plotnya terasa tidak berhubung kait dengan baik antara satu babak dengan babak yang lain. Masalah utama filem ini adalah lambakan “kejutan” atau detik big reveal. Niat Emma Tammi sebagai pengarah mungkin untuk memberikan impak dramatik, tetapi terlalu banyak pendedahan akhirnya menjadikan jalan cerita lebih membingungkan dan bukannya menarik.

Dari sudut positif, Five Nights at Freddy’s 2 berjaya menonjolkan elemen seram yang lebih ketara berbanding filem pertama. Ia lebih terasa seperti sebuah filem horror atau slasher sebenar. Beberapa babak seram berjaya dilaksanakan dengan baik, walaupun sebahagian besar teknik jump scare yang digunakan masih terasa sedikit “murahan”.

Akhir kata, filem ini mempunyai potensi dengan pengenalan watak baru seperti The Marionette dan nada yang lebih gelap, namun ia masih bergelut dengan penulisan skrip yang kurang kemas dan dinamik watak yang lemah beberapa pilihan penyelesaian sesuatu masalah juga terasa kurang menarik dan ada masa tidak masuk akal.

Five Nights at Freddy's 2
Filem ini mempunyai potensi dengan pengenalan watak baru seperti The Marionette dan nada yang lebih gelap, namun ia masih bergelut dengan penulisan skrip yang kurang kemas dan dinamik watak yang lemah beberapa pilihan penyelesaian sesuatu masalah juga terasa kurang menarik dan ada masa tidak masuk akal.
Positif
Lebih horror dan slasher
The Marionette watak yang menarik
Negatif
Plot Tidak Bersambung Baik
Dinamik Watak Canggung
Terlalu Bergantung Kepada Trauma
6

Leave a Reply

Final Score