PUBG UNITED 2025 membuka tirainya minggu ini, ia merupakan satu kejohanan yang menyeluruh bagi peminat PUBG dengan menggabungkan dua kejohanan besar iaitu PUBG GLOBAL CHAMPIONSHIP (PGC) dan PUBG MOBILE GLOBAL CHAMPIONSHIP (PMGC) di atas satu pentas global buat pertama kalinya. Ia berlangsung di Bangkok.
Bagi peminat di Malaysia, tumpuan pastinya terarah kepada pasukan ALLIANCE (dahulunya dikenali sebagai CelcomDigi Alliance), yang merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke kejohanan PMGC.
Ini merupakan penampilan keempat berturut-turut ALLIANCE di pentas dunia dan mereka sudah semestinya berharap untuk memberikan prestasi yang lebih baik berbanding penglibatan mereka sebelum-sebelum ini, iaitu tempat ke-15 pada tahun 2023 dan tidak ke Peringkat Akhir pada tahun 2024.

Selain ALLIANCE, sebanyak tujuh lagi pasukan dari Asia Tenggara turut terlibat di dalam kejohanan ini iaitu Alter Ego Area (Indonesia), Team Flash (Vietnam), Team Secret (Vietnam), D’Xavier (Vietnam), Burmese Ghouls (Burma), eArena (Thailand), dan Vampire Esports (Thailand)
Tiada wakil Malaysia untuk PGC tetapi terdapat tujuh wakil Asia Tenggara iaitu Full Sense (Thailand), Mad in Thailand (Thailand), Theerathon Five (Thailand), eArena (Thailand), Sharper Esports (Thailand), The Expendables (Vietnam), dan Anyone’s Legend (Vietnam).

Format Baharu & Jadual Perlawanan
PMGC 2025 memperkenalkan format baharu yang bermula dengan pusingan “The Gauntlet” (24 – 26 November), di mana 16 wakil PMSL dari setiap wilayah akan berjuang untuk merebut tujuh slot teratas ke peringkat akhir.
- Peringkat Kumpulan: Pasukan yang tidak layak melalui The Gauntlet akan mara ke peringkat ini yang dibahagikan kepada Kumpulan Hijau (28-30 Nov) dan Kumpulan Merah (2-4 Dis).
- Kelayakan ke Final: Hanya 3 pasukan teratas dari peringkat kumpulan akan mara terus ke Peringkat Akhir, manakala 5 pasukan terbawah akan tersingkir.
- Last Chance: Pasukan yang berada di kedudukan pertengahan akan berjuang di pusingan Last Chance, di mana hanya 2 pasukan teratas akan layak ke Final.
Peringkat Akhir dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 14 Disember 2025 bertempat di Paragon Hall, Siam Paragon, Bangkok.


