Sisu: Road to Revenge tidak cuba untuk menjadi karya yang mendalam atau membawakan pembaharuan drastik. Sebaliknya, ia mengambil apa yang disukai penonton daripada filem pertama dan mengembangkannya ke tahap maksimum. Keputusannya? Sebuah filem yang mungkin kelihatan formulaik, namun sangat berkesan dalam menyajikan aksi tanpa henti. Setiap “Bab” memperlihatkan escalation keganasan yang jauh lebih ekstrem berbanding pendahulunya.

Filem bermula pasca-Perang Dunia Kedua, di mana perjanjian damai antara Finland dan Kesatuan Soviet menyaksikan penyerahan beberapa wilayah kepada pihak Soviet. Salah satu wilayah tersebut menempatkan rumah Aatami Korpi (Jorma Tommila), legenda yang kini menjadi iguan ngeri buat pihak musuh. Dalam filem susulan ini, misi Aatami lebih peribadi, dia ingin merobohkan dan memindahkan rumah kayunya dari tanah Soviet kembali ke Finland.
Bagi Aatami, kayu-kayan rumah itu adalah satu-satunya kenangan fizikal yang tinggal mengenai keluarganya yang dibunuh oleh tentera Soviet pimpinan Igor Draganov (Stephen Lang). Aatami tidak mencari perang, dia hanya mahu membawa pulang kenangannya. Namun, pihak Soviet mempunyai rancangan lain, mereka menghantar Draganov untuk memburu Aatami demi memusnahkan status “legenda” yang dipegangnya.

Penceritaan dibahagikan kepada beberapa bab seperti filem pertama. Setiap bab membawa halangan baharu yang lebih sukar, dari sekatan jalan raya, serangan motosikal, hinggalah ke jet pejuang. Peningkatan skala aksi ini turut bermaksud “perisai plot” Aatami menjadi semakin tebal. Kebiasaannya perkara ini akan mengganggu saya, tetapi memandangkan fokus pengarah Jalmari Helander sememangnya untuk menyajikan aksi yang tidak masuk akal tetapi menghiburkan, ia boleh dimaafkan.
Satu-satunya kritikan saya terletak pada babak klimaksnya. Filem ini memilih pengakhiran yang spektakuler dan besar, berbanding pengakhiran yang lebih ganas dan raw. Ia sedikit mengecewakan bagi saya, namun mungkin akan disukai oleh penonton lain. Dari segi keganasan, filem ini tidak mengecewakan. Jika anda sukakan darah, kreativiti pembunuhan dalam filem ini, dari memenggal kepala hingga menyembunyikan pisau di bawah kulit, memang cukup ngeri.

Jorma Tommila sekali lagi cemerlang sebagai Aatami. Walaupun tanpa sebarang dialog, dia berjaya menyampaikan emosi yang kompleks, dari rasa hiba mengenang keluarga hingga ke amarah yang membara. Stephen Lang pula hadir sebagai antagonis yang digeruni, satu peranan yang memang sudah menjadi kebiasaan untuk beliau dan dilakonkan dengan sangat berkesan.
Akhir kata, filem kedua Sisu ini berjaya bukan kerana ia mencipta sesuatu yang baharu, tetapi kerana ia tahu apa yang penonton mahukan iaitu aksi gila dan keganasan tanpa henti. Gandingan Jorma Tommila dan Stephen Lang menjadikan pertembungan ini sangat epik. Walaupun babak akhirnya terasa sedikit kurang menyengat, secara keseluruhannya ia adalah sekuel yang sangat memuaskan.


