Three Kingdoms: Starlit Heroes berkongsi masalah yang sama dengan kebanyakan adaptasi sejarah China yang lain, terlalu banyak eksposisi awal dan pengenalan watak yang perlu dilakukan. Bagi filem animasi terbaru ini, boleh dikatakan separuh masa pertama filem dihabiskan hanya untuk membina asas penceritaan. Ia bukanlah membosankan, namun ada ketikanya plot terasa kurang berkembang dan kadangkala sedikit mengelirukan.

Filem ini memfokuskan kepada watak Cao Cao, tokoh penting dalam pembentukan era Three Kingdoms. Jika sejarah sering melabelkan Cao Cao sebagai watak jahat atau gila kuasa, filem ini mengambil pendekatan berbeza dengan menggambarkannya sebagai seorang loyalis yang setia kepada Maharaja Han. Ini bukan masalah bagi saya, tetapi jika anda seorang “purist” sejarah yang mementingkan ketepatan fakta, ini mungkin sesuatu yang perlu anda ketahui.

Kisah bermula apabila serangan Dong Zhuo menyebabkan kerajaan menjadi huru-hara dan Dinasti Han semakin lemah. Ramai pembesar mula mengambil kesempatan untuk menawan wilayah dan membelakangkan Maharaja. Cao Cao yang setia ingin melakukan serangan balas, namun akibat kekurangan tentera, dia cuba mendapatkan bantuan sahabat zaman kanak-kanaknya, Yuan Shao. Malangnya, Yuan Shao memilih untuk mementingkan diri dan mengukuhkan kuasanya sendiri.

Konflik ini meretakkan hubungan mereka. Selepas serangan balas Cao Cao terhadap Dong Zhuo mudah dipatahkan, dia dan tenteranya mengambil keputusan untuk membina kekuatan sendiri melalui strategi pertanian sambil terus menyokong Maharaja. Melalui babak-babak ini, filem berjaya menonjolkan perwatakan Cao Cao, dinamiknya dengan Yuan Shao, serta watak Maharaja muda yang sanggup berkorban demi rakyatnya.

Dari segi penceritaan, terdapat beberapa lompatan masa bertahun-tahun yang kadangkala terasa terlalu laju, dan ada masa terasa terlalu pendek. Terdapat juga adegan-adegan sampingan yang disertakan tetapi tidak membantu menggerakkan plot utama, sekaligus mengganggu kelancaran cerita. Fokus utama sepatutnya adalah persaingan ideologi antara Cao Cao (setia kepada Maharaja) dan Yuan Shao (mahukan kuasa), namun ia sering diganggu oleh penceritaan sampingan yang kurang menarik.

Bagi aspek visual, saya mempunyai perasaan bercampur baur. Animasi untuk perincian seperti pakaian, perisai, bangunan dan rekaan watak kelihatan sangat berkualiti. Namun, animasi untuk kawasan gurun dan haiwan kelihatan sedikit aneh dan kaku, mungkin ia gaya seni yang disengajakan, tetapi ia kurang kena dengan selera saya. Walau bagaimanapun, babak pertempuran dan strategi ketenteraan digarap dengan sangat cemerlang dan menjadi tarikan utama filem ini.

Three Kingdoms: Starlit Heroes berjaya membawa perspektif segar terhadap watak Cao Cao yang sering di gambarkan dengan cara berbeza. Walaupun filem ini mempunyai masalah kelancaran akibat terlalu banyak kisah sampingan yang menjejaskan fokus utama (persaingan Cao Cao dan Yuan Shao), ia kembali menarik apabila tumpuan beralih semula kepada dua watak ini. Ditambah dengan aksi pertempuran yang memuaskan, ia sebuah naskhah yang masih menarik untuk ditonton walaupun tidak sempurna dan bukanlah adaptasi terbaik bagi kisah ini.

Three Kingdoms: Starlit Heroes
Menampilkan Cao Cao sebagai wira setia, Three Kingdoms: Starlit Heroes mengubah persepsi sejarah klasik. Walaupun plotnya agak perlahan dengan kisah sampingan yang mengganggu, filem ini tetap menyerlah melalui aksi pertempuran strategik dan rekaan watak yang berkualiti. Sebuah tontonan menarik biarpun tidak sempurna.
Positif
Adegan pertempuran yang menarik
Perspektif baharu
Negatif
Kisah sampingan kurang menarik
Ada bahagian animasi yang kurang baik
7

Leave a Reply

Final Score