Tidak lama selepas Cloudflare menyebabkan hampir 20% internet tidak dapat diakses baru-baru ini, satu lagi berita kurang baik untuk mereka. Nikkei telah melaporkan Mahkamah Daerah Tokyo memerintahkan syarikat tersebut, untuk membayar ganti rugi berjumlah kira-kira 500 juta yen (sekitar AS$3 juta) kepada empat penerbit manga utama Jepun.
Keputusan ini dibuat selepas mahkamah memutuskan bahawa Cloudflare telah membantu pengendali laman web cetak rompak melanggar hak cipta penerbit-penerbit tersebut.
Empat syarikat penerbitan yang terlibat sebagai plaintif adalah Kodansha, Shueisha, Shogakukan, dan Kadokawa. Mereka merupakan penerbit di sebalik judul-judul manga popular dunia seperti One Piece dan Attack on Titan.
Pihak plaintif menyifatkan keputusan ini sebagai satu sejarah perundangan di Jepun, di mana ia merupakan keputusan kehakiman pertama yang mempertanggungjawabkan syarikat yang memudahcara pemindahan kandungan digital ke atas kerosakan hak cipta.
Menurut keputusan mahkamah, Cloudflare didapati mempunyai kontrak dengan salah satu laman web haram terbesar. Syarikat tersebut menyediakan perkhidmatan rangkaian penghantaran kandungan (CDN) yang bertindak menyalin data sementara daripada pelayan laman cetak rompak dan mengedarkannya kepada pengguna.
Ketua Hakim, Aya Takahashi, mendapati bahawa sistem Cloudflare telah mempermudah untuk pengendali laman cetak rompak kekal tanpa nama sambil beroperasi tanpa tentangan untuk mengedarkan kandungan-kandungan haram. Beliau turut menyatakan bahawa syarikat itu tidak menggantung perkhidmatan mereka walaupun setelah menerima notis mengenai pelanggaran hak cipta daripada pihak penerbitan.
Dalam pembelaannya, Cloudflare berhujah bahawa pengendali laman web itu sendiri yang bertanggungjawab menghantar data tersebut dan mendakwa mereka tidak menyedari pelanggaran hak cipta yang berlaku.
Susulan keputusan itu, Cloudflare menyatakan rancangan untuk memfailkan rayuan. Syarikat tersebut memberi amaran bahawa jika keputusan ini dikekalkan, ia berpotensi memberi kesan serius terhadap kecekapan dan kebolehpercayaan infrastruktur internet secara keseluruhan.


