Apple hari ini mengumumkan 45 pencalonan bagi Anugerah App Store 2025, sebuah pengiktirafan tahunan yang mengangkat aplikasi dan permainan terbaik merentasi 12 kategori berbeza.
Editor App Store global telah memilih calon-calon ini berdasarkan pencapaian mereka dalam inovasi teknikal, pengalaman pengguna yang luar biasa, serta reka bentuk yang cemerlang. Pemenang bagi setiap kategori bakal diumumkan dalam beberapa minggu akan datang, dipilih daripada kumpulan calon akhir yang telah diumumkan.
Bagi kategori peranti mudah alih, persaingan untuk Aplikasi iPhone Terbaik menyaksikan pencalonan BandLab, LADDER, dan Tiimo yang membantu memperkemaskan aliran kerja pengguna. Manakala bagi Permainan iPhone Terbaik, Capybara Go!, Pokémon TCG Pocket, dan Thronefall menjadi taruhan utama.


Di platform iPad, aplikasi seperti Detail, Graintouch, dan Structured telah disenaraikan sebagai calon Aplikasi Terbaik, sementara DREDGE, Infinity Nikki, dan Prince of Persia Lost Crown bersaing untuk gelaran Permainan iPad Terbaik.
Seterusnya, untuk Aplikasi Mac Terbaik, calonnya ialah Acorn, Essayist, dan Under My Roof, manakala permainan seperti Assassin’s Creed Shadows, Cyberpunk 2077: Ultimate Edition, dan Neva tercalon untuk kategori Permainan Mac Terbaik.


Permainan terbaik Apple Arcade pula, persaingan di antara permainan Katamari Damacy Rolling LIVE, PGA TOUR Pro Golf, dan WHAT THE CLASH?.
Bagi platform Apple Vision Pro, aplikasi Camo Studio, D-Day: The Camera Soldier, dan Explore POV telah dicalonkan, berserta permainan Fishing Haven, Gears & Goo, dan Porta Nubi.


Bagi Kategori Apple Watch App of the Year menampilkan GO Club, Pro Camera by Moment, dan Strava, manakala Apple TV App of the Year menyenaraikan HBO Max, PBS KIDS Video, dan Super Farming Boy 4K sebagai calon.
Akhir sekali, kategori Impak Budaya (Cultural Impact) memberi pengiktirafan kepada aplikasi yang memupuk pemahaman dan memberi kesan positif kepada komuniti. Antara calon yang tersenarai termasuk Be My Eyes yang membantu golongan cacat penglihatan, A Space for the Unbound yang meneroka kesihatan mental, serta aplikasi lain seperti Venba, Whoscall, Yuka, Art of Fauna, Chants of Sennaar, despelote, Focus Friend, Is This Seat Taken?, Retro, dan StoryGraph.


