4A Games dan Plaion ketika acara Xbox Games Showcase telah mengumumkan Metro 2039 bakal menemui para pemain pada Februari 2027. Selain pengumuman tarikh pelancaran ini, mereka juga berkongsi treler tatamain pertama.

Judul terbaharu ini disahkan akan tersedia untuk platform PlayStation 5, Xbox Series S|X, serta PC menerusi platform Steam dan Epic Games Store.

Metro 2039 mengekalkan fokus terhadap mod single-player yang membawakan naratif diinspirasikan daripada trilogi novel Metro karya Dmitry Glukhovsky. Mengambil latar tempat di runtuhan bandar Moscow pasca-apokalipsis, jalan cerita kali ini berpusat kepada watak protagonis bernama The Stranger. Watak tersebut dipacu oleh kemarahan untuk menentang Hunter, seorang bekas Ranger berpangkat tinggi dan pemimpin Spartan Order yang kini bertindak sebagai Fuhrer baharu. Hunter didakwa telah menggunakan propaganda serta penipuan untuk meraih kuasa mutlak, sekali gus mengubah fungsi asal kumpulan Spartans yang dahulunya dikenali sebagai pelindung komuniti bawah tanah tersebut.

Treler terbaharu memperlihatkan penekanan semula terhadap mekanik ikonik siri ini. Antaranya termasuklah elemen survival, aksi stealth-action dalam ruang sempit, serta aktiviti penerokaan terowong bawah tanah dan kawasan permukaan bumi. Selain daripada mekanik sedia ada, treler ini turut memperkenalkan kelengkapan tempur baharu ke dalam arsenal pemain, seperti senjata senyap bernama “The Shatun” serta peranti letupan jenis breaching charge.

Dari segi teknikal, projek ini dibangunkan oleh 4A Games di Malta dan Ukraine, di mana syarikat tersebut terus mengekalkan sokongan terhadap tenaga kerja mereka di Ukraine di tengah-tengah konflik pencerobohan penuh oleh Rusia. Hak penerbitan bagi siri permainan ini berada di bawah label Deep Silver.

Leave a Reply