The Edge melaporkan yang syarikat hartanah IGB Bhd telah membeli bekas tapak Movie Animation Parks Studios (MAPS) di Perak. IGB mengumumkan bahawa anak syarikatnya telah memeterai perjanjian untuk mengambil alih dua petak tanah seluas 24.3 ekar yang merupakan lokasi bekas taman tema animasi itu, dengan harga RM43.65 juta.

MAPS menelan kos pembinaan sekitar RM520 juta, dibuka secara rasmi pada Jun 2017 di Ipoh dan diuar-uarkan sebagai taman tema animasi pertama di Asia. Walaupun menampilkan watak popular antarabangsa dengan kerjasama bersama DreamWorks dan tempatan seperti BoBoiBoy, taman tema ini berdepan masalah besar tidak lama selepas beroperasi. Antara isu utama termasuk penamatan perjanjian dengan DreamWorks pada Ogos 2018 yang dikatakan untuk mengurangkan harga tiket.
Taman tema ini pada awalnya mengenakan bayaran kemasukan mencecah RM144, sebelum dikurangkan kepada RM80 selepas pembatalan perjanjian dengan DreamWorks. Ia juga berubah menjadi kemasukan percuma dan pembayaran mengikut setiap ride sahaja, akan tetapi segala percubaan ini tidak berhasil dan terus kurang mendapat sambutan. Dikatakan ia hanya menerima lebih kurang 200 pengunjung sahaja setiap hari.
Akibat beban hutang dan terus gagal menarik pengunjung MAPS akhirnya terpaksa ditutup secara kekal pada Januari 2020, selepas hanya beroperasi selama lebih kurang dua setengah tahun sahaja.


