Filem ataupun siri sejarah Korea sering memfokuskan kepada kehidupan orang-orang besar seperti kerabat ataupun orang-orang penting di dalam pemerintahan. Siri The Murky Stream yang sudah disiarkan di Disney+ memilih untuk menjadikan orang kebiasaan sebagai fokus utama yang bagi saya membantu untuk membawa keunikan bagi siri ini, namun ia bukanlah itu sahaja fokus kerana penceritaan masih lagi menyentuh mengenai pemerintahan dan juga orang-orang mewah seperti peniaga. Saya boleh katakan siri ini sebaliknya menjadikan piramid darjat manusia ataupun piramid kuasa sebagai fokus dan ia dilakukan dengan sangat memuaskan dengan beberapa watak membawa kisah yang menarik.

Siri ini adalah siri sejarah mengenai Korea pada tahun 1592 yang pada waktu itu dikuasai oleh Dinasti Joseon dan penceritaan memfokuskan kepada sungai Gyeonggang yang kini dikenali sebagai sungai Han. Ia merupakan satu sungai yang penting kerana menjadi tempat perdagangan utama dan kawasan ini, di peringkat bawah dikuasai oleh kumpulan gangster yang akan mengurus pelabuhan dengan mengupah orang-orang awam yang inginkan pekerjaan. Mereka dibayar dengan sedikit walaupun melakukan kerja yang berat, ini adalah kerana kumpulan gangster mengenakan pelbagai ‘cukai’ kepada mereka.

Namun, kumpulan gangster ini juga tidaklah hidup senang kerana mereka juga perlu membayar cukai ataupun rasuah kepada pegawai polis di kawasan tersebut, bagi menampung bayaran mahal tersebutlah mereka terpaksa mengenakan pelbagai bayaran berlainan bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga kepada pedagang yang datang menggunakan pelabuhan tersebut. Keadaan menjadi lebih misteri dan juga menarik apabila ia juga melibatkan satu perubatan kuasa yang berkait dengan sungai tersebut, dengan ia menjadi tempat yang penting bukan sahaja untuk perdagangan tetapi juga pergerakan umum.

Siri ini memfokuskan kepada piramid kuasa tersebut dan memfokuskan kepada empat watak utama yang hadir daripada kumpulan-kumpulan berbeza. Pertama Jang Si-yool lakonan Rowoon dia merupakan seorang pekerja di satu pelabuhan yang diurus oleh Mudeok lakonan Park Ji-hwan yang juga watak utama seterusnya. Bersama dengan mereka ialah Choi Eun lakonan Shin Ye-eun anak kepada ketua satu kumpulan pedagang dan Jeong-cheon lakonan Park Seo-ham, pegawai polis baharu yang tiba di kawasan tersebut dan bertekad untuk menghapuskan korupsi.

Setiap watak-watak ini mempunyai kisah serta permasalahan mereka sendiri yang bagi saya membuatkannya menarik, Jang Si-yool mempunyai satu dendam yang ingin dibalas, Mudeok pula mempunyai cita-cita tersendiri, Choi Eun mempunyai minta di dalam perdagangan tetapi tidak digalakkan oleh bapanya kerana dia seorang wanita dan Jeong-cheon yang perlu menempuh pelbagai cabaran daripada rakan-rakan polis yang sudah lama terlibat dengan korupsi. Setiap kisah mereka disampaikan dengan cukup memuaskan dengan perhubungan di antara mereka juga disampaikan dengan kemas dan tidak terasa memaksa, walaupun saya boleh katakan tiada satu penceritaan utama sehingga bahagian akhir membuatkan saya sedikit keliru dengan ala tuju bagi siri ini pada awalnya.

Selain daripada itu, rekaan produksi dan juga kualiti lakonan juga sangat memuaskan yang benar-benar menyampaikan kisah ini dengan berkesan dan saya dapat merasai segala kesusahan, dan juga merasai keadaan semasa pada zaman itu. Walaupun saya tidak berpengetahuan mengenai sejarah, tetapi menonton siri ini serba sedikit membuatkan saya berminat dengan era ini, dan seperti kita sedia maklum sungai Han merupakan satu sungai yang sangat popular sehingga sekarang dan memperlihatkan kepentingan pada sungai tersebut pada waktu itu adalah satu perkara yang menarik. Harus disebut juga, siri ini boleh dikatakan siri aksi dan setiap adegan pertempuran dilakukan dengan memuaskan terutama apabila berkait dengan membalas dendam.

Akhir kata, The Murky Stream bukan sahaja satu siri sejarah menarik tetapi dengan memfokuskan kepada kisah orang bawahan, diperkuatkan lagi dengan empat watak utama yang mempunyai kisah tersendiri tetapi sangat berkait dengan satu sama lain. Ini ditambah lagi dengan lakonan serta produksi yang berkualiti tinggi, ia satu siri yang saya boleh katakan lain daripada yang lain dan memberi pengalaman tontonan yang sangat memuaskan.

The Murky Stream
Satu siri sejarah Korea yang sangat menarik dan unik kerana membawa kisah orang bawahan berbanding kisah-kisah orang atas. Penceritaan disampaikan melalui empat watak utama yang dibawa dengan berkesan memberikan sesi tontonan yang memuaskan.
Positif
Kisah yang menarik
Lakonan yang berkesan
Produksi yang berkualiti
Negatif
Fokus utama penceritaan yang diperlihatkan di bahagian akhir
9

Leave a Reply

Final Score