Apple Arcade telah mengumumkan senarai permainan yang akan disertakan pada bulan November ini dengan senarai didahului oleh Football Manager 26 Touch yang kembali selepas ‘berehat’ selama setahun. Selain itu, pelanggan juga dapat bermain MySims dan Toca Boca Jr.
Football Manager 26 Touch (Sports Interactive/SEGA) akan disertakan pada 4 November 2025, selain membawa peningkatan tatamain serta antaramuka, ia juga kali ini akan menyertakan liga Premier League sepenuhnya dan juga liga untuk pasukan bola sepak wanita. Pelancaran ini adalah bersama dengan pelancaran di platform lain seperti PC, konsol dan Netflix.

Manakala pada 6 November, pelanggan juga boleh mendapatkan permainan sampingan bagi siri simulasi kehidupan oleh Maxis Studios, The Sims iaitu MySims dan MySims Kingdom bersama dengan permainan oleh Toca Boca dan Sago Mini iaitu Toca Boca Jr Classic. Ketiga-tiga permainan ini mementingkan imaginasi pemain.

Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM29.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM34.90 untuk pelan individu, RM44.90 untuk pelan keluarga, dan RM84.90 untuk Premier yang turut menyertakan Apple Fitness+.


