Minggu kedua untuk Oktober ini sudah semestinya akan dipenuhi dengan perbualan mengenai Battlefield 6 yang ingin mempertingkatkan semula IP ini. Namun, selain daripada itu terdapat beberapa lagi permainan menarik yang lain yang juga dari IP yang dikenali ramai iaitu Little Nightmares 3 dan juga Yooka-Replaylee. Senarai dilengkapi dengan dua lagi permainan IP baharu yang menarik minat ramai pemain iaitu Bye Sweet Carole dan juga Absolum.
Battlefield 6
Platform: PS5, Xbox Series, PC
Selepas penerimaan Battlefield 2042 yang mengecewakan, EA DICE telah memasang harapan kepada Battlefield 6 untuk mengembalikan kegemilangan IP ini. Berdasarkan sesi beta sebelum ini, mereka mungkin sudah melakukan perkara tersebut. Ramai yang bercakap mengenai perkara positif permainan ini, bahkan kelihatan lebih dinantikan oleh pemain berbanding Call of Duty yang juga akan dilancarkan tidak lama lagi. Tema utama mengenai Battlefield 6 adalah mengembalikan semula apa yang menjadikan IP ini menarik termasuk juga kempen penceritaan.
Little Nightmares III
Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC
Little Nightmares kembali lagi dan akan terus membawa satu penceritaan yang mendalam, penuh kejutan dan juga tatamain yang mengasyikkan. Jika permainan kedua meninggalkan ramai pemain d dalam kejutan, permainan ketiga ini mungkin membawa sesuatu yang sama melalui dua watak baharu iaitu Low dan Alone yang di dalam usaha untuk menyelamatkan diri daripada satu tempat dipanggil sebagai Nowhere yang kelihatan sangat menakutkan memberikan pengalaman yang kita tahu dan suka daripada siri permainan platformer ini.
Yooka-Replaylee
Platform: PS5, Xbox Series, Nintendo Switch, PC
Dikatakan sebagai kelahiran semula untuk Banjo-Kazooie dengan IP serba baharu, Yooka-Laylee dilancarkan pada tahun 2017, tetapi telah menerima beberapa kritikan. Versi penambah-baikkan ini dilancarkan untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut. Selain daripada grafik, pemain juga akan merasakan kawalan yang lebih baik serta rekaan peringkat dan tekaria yang lebih menarik. Pemain juga dapat mengakses kebanyakan kandungan dengan lebih cepat berbanding perlu membukanya dengan bermain.
Bye Sweet Carole
Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC
Sekali pandang Bye Sweet Carole kelihat seperti animasi klasik Disney, jika saya tidak menonton treler secara penuh saya boleh katakan ia satu permainan Snow White, namun permainan ini hanya mengambil arahan seni daripada animasi klasik itu sahaja tetapi dengan dunia yang menyeramkan dengan pelbagai cabaran menati Carole semasa dia mencari rahsia mengenai ‘Bunny Hall’. Permainan ini dihasilkan oleh Chris Darril iaitu pencipta untuk siri permainan Remothered.
Absolum
Platform: PlayStation, Nintendo Switch, PC
Setelah sekian lama Dotemu hadir dengan permainan beat ’em up berdasarkan IP-IP lain, mereka akhirnya hadir dengan IP tersendiri dan dibangunkan oleh pembangun bersama Streets of Rage 4 iaitu Guard Crush Games. Permainan ini menyertakan tatamain beat ’em up dengan elemen roguelike, dengan setiap percubaan pemain untuk membebaskan Talamh daripada pemerintahan kuku besi Sun King Azra adalah berlainan dengan percubaan yang sebelum ini. Pemain boleh memilih daripada empat watak berbeza dan boleh bermain seorang ataupun bersama dengan rakan secara koperasi setempat dan di dalam talian.


