Minggu terakhir untuk bulan September dan juga minggu pertama untuk bulan Oktober memperlihat satu penawaran yang sangat baik dan pelbagai untuk pemain-pemain. Dengan permainan mercu seperti Ghost of Yotei, permainan pelancaran semula seperti Final Fantasy Tactics dan Super Mario Galaxy dan juga permainan daripada francais terkenal iaitu Digimon dan Alien.
Ghost of Yotei
Platform: PlayStation 5
Ghost of Tsushima hadir sebagai satu kejutan dengan menawarkan pengalaman permainan di Jepun yang boleh dikatakan paling tulen berbanding permainan-permainan lain, termasuk juga berbanding permainan yang dihasilkan oleh pembangun Jepun. Permainan susulan ini, menjanjikan pengalaman yang lebih baik, pengembaraan yang lebih menarik dan penceritaan yang lebih mendalam. Berdasarkan ulasan, kesemua itu benar dan boleh dirumuskan ia satu permainan yang lebih baik untuk kesemua aspek berbanding permainan pertama.
Final Fantasy Tactics: The Ivalice Chronicles
Platform: PlayStation, Xbox Series, Nintendo Switch, PC
Final Fantasy mungkin lebih dikenali sebagai permainan JRPG yang telah mempunyai 16 permainan utama, tetapi satu permainan yang boleh dikatakan sebagai permainan sampingan terus menjadi permainan penting di dalam sejarah siri ini. Final Fantasy Tactics, permainan yang pertama kali dilancarkan pada tahun 1997 terus menjadi permainan strategi yang diambil sebagai penanda aras untuk permainan di dalam genre ini. Menerima beberapa versi baharu sebelum ini, versi ini menawarkan lakonan suara untuk kesemua dialog, UI yang lebih baik, grafik yang lebih berkualiti dan pelbagai lagi penambah-baikkan untuk Quality of Life termasuk juga tahap kesukaran baharu.
Digimon Story Time Stranger
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Penantian lebih kurang 10 tahun bakal berakhir dengan Digimon Story akan menerima satu permainan baharu dan kali ini ingin membawa pemain lebih dekat dengan dunia Digital World. Selain daripada menjadi sebahagian daripada pasukan pemain untuk perlawanan, Digimon juga mempunyai kehidupan harian mereka dan akan membuka kedai serta akan menjadi penyedia misi untuk pemain-pemain yang ingin mengembara di dalam dunia ini. Selain daripada itu, permainan ini masih mengekalkan apa yang diinginkan oleh peminat Digimon seperti dapat mengumpul, bertempur dan juga melakukan evolusi.
Alien: Rogue Incursion Evolved Edition
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Alien: Rogue Incursion merupakan permainan yang sudah dilancarkan pada tahun 2024 lagi, tetapi ia hanya ditawarkan secara realiti maya, bagi yang tidak memiliki set kepala realiti maya, permainan ini telah menerima port untuk menjadi satu permainan first person shooter, dan kini boleh dimainkan oleh lebih ramai pemain. Ia merupakan satu permainan aksi menembak dengan elemen seram berdasarkan dunia Alien yang secara sendirinya menyeramkan.
Super Mario Galaxy + Super Mario Galaxy 2
Platform: Nintendo Switch
Walaupun sudah memasuki era konsol generasi terbaru, Nintendo terus melancarkan permainan-permainan lama untuk konsol Nintendo Switch mereka. Permainan terbaru adalah gabungan Super Mario Galaxy yang pertama kali dilancarkan pada tahun 2007 untuk Wii dan Super Mario Galaxy 2 dilancarkan tiga tahun kemudian. Versi baharu ini menyertakan grafik yang dipertingkatkan, penceritaan baharu dan juga mod baharu untuk membantu pemain. Permainan ini boleh didapatkan di dalam satu berkas ataupun dibeli secara berasingan.


