Apabila permainan susulan dihasilkan untuk sesuatu permainan, kita boleh menjangkakan permainan yang lebih kurang sama dengan premis berlainan, ataupun permainan yang betul-betul berlainan dan boleh dikatakan sebagai permainan baharu. Ghost of Yotei, saya boleh katakan berada di tengah-tengah, ia masih permainan yang saya katakan sama seperti Ghost of Tsushima tetapi dengan perubahan fokus yang jelas ingin dilakukan oleh pembangun untuk memberikan pengalaman yang berbeza, sama ada perubahan ini baik ataupun tidak bergantung kepada cita rasa pemain dan apa yang mereka inginkan daripada permainan ini, tetapi bagi saya yang sentiasa ingin mengembara, ia satu perubahan yang sangat positif.

Ghost of Yotei berlaku di sekitar pergunungan Yotei di Ezo ataupun Hokkaido sekarang dan berlaku lebih 300 tahun selepas Ghost of Tsushima, oleh itu mengikut penceritaan ia adalah satu permainan kendiri dan anda tidak perlu main permainan pertama terlebih dahulu. Watak utama ialah Atsu iaitu seorang pahlawan upahan yang kembali ke Yotei untuk membalas dendam terhadap Yotei Six iaitu sekumpulan samurai yang diketuai oleh Lord Saito. Pada 16 tahun lepas, mereka telah membunuh ibu bapa dan juga adik lelaki Atsu dan meninggalkan Atsu untuk mati, tetapi dia terselamat.

Saya boleh katakan yang penceritaan bukanlah satu perkara yang unik ataupun satu kisah yang baharu, membalas dendam terhadap sekumpulan penjahat sudah pernah disampaikan berkali-kali termasuk juga di dalam permainan video. Namun, saya masih boleh katakan yang saya menyukai jalan cerita, watak Atsu dan penjahat yang diburunya lebih lagi berbanding kisah yang disampaikan di dalam Ghost of Tsushima. Walaupun, membawa satu kisah yang tidak unik, tetapi Atsu masih terasa segar terutama dengan cara wataknya dikembangkan lagi. Saya juga boleh mengenang kembali kisah silam Atsu dengan mengunjungi tempat-tempat tertentu dan kembali mengawal Atsu sewaktu masih kanak-kanak.

Bagi misi utama, Atsu mempunyai nama-nama setiap Yotei Six ini yang diikat di badannya, dan akan memotong setiap kali membunuh mereka. Atsu perlu pergi ke beberapa kawasan untuk mencari mereka yang sudah berpecah kerana mempunyai tugasan tersendiri di dalam usaha Lord Saito untuk menguasai Ezo. Misi utama ini dilakukan dengan menarik, terdapat beberapa cabang misi yang tidak membuatkan usaha ini terasa terlalu linear, ia juga diperkuatkan lagi dengan pengenalan pelbagai watak tidak kira baik ataupun jahat yang menjadikan penceritaan lebih menarik.

Ia adalah perkara yang sama seperti dilakukan di dalam permainan sebelum ini, iaitu watak-watak sampingan yang menarik, terdapat sebilangan watak yang akan berinteraksi dengan Atsu dan mereka semua memberi nilai tambah kepada penceritaan dan juga membantu untuk mengembangkan lagi watak Atsu. Watak-watak ini tidak semestinya watak yang akan terlibat secara terus dengan penceritaan tetapi sekadar penjual ataupun pengembara tetapi mereka masih membawa kisah yang menarik dan membuatkan dunia di dalam permainan ini lebih hidup.

Ghost of Yotei juga membawa sistem pertempuran yang boleh dikatakan baharu, ia masih mengekalkan konsep seperti permainan sebelum ini, tetapi berbanding menukar “stance” mengikut jenis penjahat yang berbeza, permainan ini sebaliknya menggunakan senjata yang berlainan. Atsu boleh membawa lima senjata iaitu dengan Katana, Dual Katana, Yari (lembing), Odachi (pedang besar), dan Kusarigama (sabit berantai) dan setiap daripadanya berfungsi seperti “stance”, Katana baik untuk melawan dengan pengguna Katana yang lain, Dual Katana baik untuk penjahat yang menggunakan Yari dan Odachi baik untuk melawan dengan penjahat berbadan besar.

Bagi saya, perubahan yang dilakukan ini adalah baik dan lebih menarik kerana boleh melihat Atsu menggunakan senjata berbeza yang mempunyai gaya serangan yang tersendiri. Ia juga memberi peluang untuk senjata ini dijadikan sebagai penceritaan dengan Atsu kebiasaanya terlebih dahulu perlu berguru sebelum mahir menggunakan senjata-senjata ini dan ia berkait dengan misi utama yang dilakukan membantu untuk menjadikannya lebih menarik.

Secara amnya, saya boleh katakan sistem pertempuran terasa lebih kemas, ada tetapan jika anda ingin menggunakan fungsi “lock” ataupun tidak, tetapi saya memilih untuk tidak menggunakannya kerana bagi saya pergerakan permainan ini adalah kemas dan saya lebih selesa untuk bergerak sendiri tanpa ada kekangan di-lock kan ke mana-mana penjahat dan membantu untuk melakukan kombo-kombo yang menarik. Stealth masih lagi satu pilihan dan terdapat pelbagai peralatan yang boleh digunakan, tetapi saya merasakan pertempuran terlalu seronok untuk sekadar menggunakan stealth.

Saya tidak berapa mengingati Ghost of Tsushima, tapi saya boleh katakan yang untuk tahap kesukaran Medium, Ghost of Yotei lebih sukar terutama dengan setiap serangan penjahat yang terkena akan mengurangkan nyawa yang banyak, ini memaksa saya untuk sentiasa bergerak dan mengelak daripada terkena serangan. Permainan ini juga menyertakan 4 lagi tahap kesukaran 2 lebih mudah daripada Medium dan 2 lebih sukar, dan juga Custom bagi yang ingin menghasilkan pengalaman tersendiri dan anda boleh memilihnya dari awal lagi.

Perubahan fokus yang saya katakan sebelum ini merujuk kepada saya merasakan yang Ghost of Yotei memberi penekanan lebih lagi kepada pengembaraan berbanding sekadar melakukan misi utama dan menghabiskan penceritaan. Mereka mengembangkan lagi daripada apa yang dilakukan di dalam permainan pertama, aktiviti seperti Bamboo Strikes dan Hot Springs kembali untuk mempertingkatkan Spirit dan Health, tetapi penambahan utama bagi saya adalah Altars of Reflection yang memberikan Techniques. Permainan sebelum ini, pemain boleh meningkatkan Legend Rank untuk mendapatkan Legend Point, yang boleh digunakan di pokok kemahiran. Di dalam permainan ini ia digantikan dengan Technique.

Oleh itu, jika pemain ingin membuka semua pokok kemahiran yang kini dibahagikan kepada tiga iaitu Onryo untuk kemahiran umum seperti Attacks, Assassination, Survival, Ranged, seterusnya Melee yang memfokuskan kepada kemahiran untuk setiap senjata berbeza dan juga Revenge untuk kemahiran lain seperti menggunakan kuda, pemain perlu untuk mengembara dan mencari Altars of Reflection berbanding melakukan aktiviti untuk meningkatkan peringkat. Bagi saya ia satu perubahan yang baik dan serba sedikit membantu di dalam menjadikan pengembaraan terasa berbaloi. Terdapat juga pokok kemahiran Wolf yang boleh ditingkatkan dengan aktiviti Wolf Bond, dan boleh berhubung dengan seekor serigala.

Bagi memastikan yang permainan ini tidak terasa sekadar mengejar tanda di peta, terdapat banyak cara yang berlainan untuk mencari aktiviti-aktiviti ini. Saya masih boleh membeli peta dari semasa ke semasa untuk memudahkan pencarian, tetapi saya juga boleh sekadar mengembara sehingga berjumpa dengan penunjuk ataupun mengikut burung, dan juga memainkan muzik tertentu untuk memudahkan lagi pencarian. Sepanjang saya bermain, saya tidak terlalu mencuba untuk mencari kesemua aktiviti ini, dan sekadar pergi jika saya dibawa ke aktiviti tersebut dan ia memberi perasaan yang baik dan tidak membuatkan setiap aktiviti ini tidak terasa seperti satu pengisian sahaja.

Begitu juga dengan misi sampingan, ataupun penceritaan sampingan, sepanjang saya bermain, saya bukanlah mencari misi sampingan tersebut tetapi sekadar mengembara ataupun di dalam perjalanan untuk ke tempat tertentu dan saya akan terjumpa tidak kira orang yang berada di tepi jalan, ataupun perkara yang pelik berlaku, dan ini akan membawa kepada misi sampingan yang menarik untuk dilakukan. Terdapat juga Bounty yang saya boleh ambil daripada mana-mana papan Bounty, dan akan diberitahu lokasi terakhir orang yang diburu. Selepas itu saya boleh pergi ke kawasan tersebut dan menyiasat mengenai apa yang berlaku dan kebiasaannya ia akan membawa kepada satu penceritaan tersendiri.

Bagi menjadikan pengembaraan lebih mendalam, permainan ini juga menyertakan beberapa perkara seperti membuka kem untuk berehat yang akan memenuhkan semula Spirit dan nyawa, Atsu juga boleh memasak untuk mendapatkan kelebihan tertentu, dari semasa ke semasa terdapat juga rakan-rakan Atsu yang dipanggil sebagai Wolf Pack datang melawat, sama ada untuk menjual barangan ataupun menyediakan perkhidmatan meningkatkan taraf senjata dan perisai. Mereka juga ada membawa cerita sendiri, menjadikannya satu nilai tambahan. Adegan memasak, ataupun meningkatkan tahap senjata juga boleh dilakukan dengan permainan-mini, ia adalah ringkas tetapi menarik untuk immersion.

Dunia di dalam permainan ini juga dihasilkan dengan sangat indah, dunia di dalam permainan sebelum ini sudah cukup baik tetapi kerana ia berlatarkan peperangan ataupun pencerobohan, saya boleh katakan dunia tersebut tidak terlalu seronok untuk mengembara, walaupun dunia permainan ini masih mempunyai pelbagai masalah serta penjahat, tetapi ia terasa lebih menarik untuk diterokai. Tidak kira di kawasan bukit bukau, di kawasan sungai dan juga kawasan bunga, saya boleh katakan setiap kawasan baharu yang saya pergi saya akan ambil screenshot kerana betapa indahnya kawasan tersebut.

Prestasi permainan juga adalah baik, saya bermain di PlayStation 5 Pro yang mempunyai tetapan tambahan iaitu Ray Tracing Pro untuk mendapatkan 60FPS tetapi kualiti pencahayaan yang lebih baik dan resolusi perantaraan, selain itu terdapat juga Quality untuk 30FPS dengan resolusi lebih tinggi, Performance untuk 60FPS dengan resolusi lebih rendah dan Ray Tracing untuk 30FPS dengan resolusi di perantaraan. Ray Tracing Pro memberikan prestasi yang baik, saya tidak pernah mengalami sebarang pengurang FPS yang mendadak. Permainan ini agak pantas dan memerlukan banyak pergerakan, oleh itu saya mencadangkan untuk menggunakan tetapan yang memberikan 60FPS untuk pengalaman terbaik.

Akhir kata, Ghost of Yotei menjadi satu permainan yang lebih baik berbanding Ghost of Tsushima kerana pengembaraan diberikan lebih fokus dan mengembara di dalam dunia permainan ini adalah satu pengalaman yang menakjubkan. Penceritaan tidak membawa sesuatu yang baharu ataupun unik tetapi watak Atsu dilakukan dengan sangat baik, bahkan lebih menarik berbanding Jin Sakai begitu juga dengan watak-watak sampingan yang ada. Ia benar-benar satu permainan yang perlu dimainkan dengan perlahan, lawat semua tempat dan hilang di dalam keindahan persekitaran.

Ghost of Yotei
Pilihan Sucker Punch untuk menjadikan pengembaraan sebagai fokus bagi permainan ini membantu untuk menjadikannya satu pengalaman yang lebih memuaskan berbanding Ghost of Tsushima. Penceritaan tidak unik ataupun baharu tetapi perwatakan Atsu dan watak lain yang baik masih menjadikannya menarik.
Positif
Pengalaman mengembara yang memuaskan
Rekaan dunia yang memukau
Sistem pertempuran lebih lancar
Negatif
Penceritaan bukan satu yang baharu
9

Leave a Reply

Final Score