Setiap minggu terdapat pelbagai permainan menarik yang dilancarkan, tidak kira permainan AAA ataupun permainan indie. Selain itu, terdapat juga pelbagai DLC dan penambahan yang dilancarkan untuk permainan sedia ada. Oleh itu, melalui segmen ini, kami akan kongsikan lima permainan dan penambahan menarik yang dilancarkan sepanjang minggu ini.

Versi Video

Sword of the Sea

Platform: PlayStation 5, PC

Giant Squid melalui permainan mereka seperti Abzu, The Pathless, dan Journey tidak pernah gagal untuk hadir dengan satu dunia yang sangat mendalam untuk diterokai. Melalui permainan terbaru ini, mereka gandingkan pula dunia di padang pasir dan juga dunia di bawah lautan. Pemain akan menjadi Wraith yang mengembara menggunakan pedang terapung untuk mengembalikan keindahan ke dunia padang pasir dengan membawa lautan ke tempat-tempat ini.

Delta Force

Platform: PlayStation 5, Xbox Series

Selepas dilancarkan untuk PC pada awal tahun ini, diikuti untuk iOS dan Android, pemain-pemain di konsol akhirnya boleh mencuba Delta Force iaitu permainan menembak multi-pemain yang percuma untuk dimainkan. Permainan ini menyertakan tiga mod utama iaitu Warfare – sesi permainan PvP berskala besar, Operations – mod extraction dan Black Hawk Down iaitu kempen PvE. Terdapat 11 Operators dengan pilihan lebih 50 senjata, bersama dengan 13 peta untuk memberikan sesi permainan yang berbeza. Ia juga menyokong fungsi rentas platform dan akaun.

Discounty

Platform: PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch, PC

Mungkin berkebun sudah menjadi sesuatu perkara yang biasa di dalam genre permainan kasual, tetapi bagaimana pula jika mengurus kedai runcit? Melalui permainan ini, anda akan membantu mak cik anda untuk mengurus satu kedai runcit di pekan Blomkest. Anda perlu menyusun kedai, memastikan stok mencukupi dan juga memastikan ia satu perniagaan yang menguntungkan. Semasa tidak mengurus kedai, anda kemudian boleh mengembara, berjumpa dengan orang baru dan merungkai misteri di pekan tersebut.

Herdling

Platform: PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch, PC

Anda akan menjadi seorang pengembara yang cuba menakluk satu kawasan pergunungan. Anda akan ditemani sekumpulan binatang yang bukan sahaja menjadi pengikut tetapi juga boleh membantu untuk mengalihkan pelbagai halangan di dalam pengembaraan, melawan dengan binatang-binatang lain yang merbahaya dan sudah semestinya menjadi rakan pengembaraan.

Shantee Advance: Risky Revolution

Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC

Pertama kali dibangunkan pada tahun 2002, tetapi dibatalkan dua tahun kemudian, namun WayForward kembali membangunkan permainan ini pada tahun 2023 dan versi Game Boy Advance dilancarkan pada bulan April lepas. Permainan keenam di dalam francais Shantae ini kemudian turut dilancarkan untuk konsol dan juga PC membawa sesi permainan pengembaraan platform ke lebih ramai pemain. Sebagai Shantae pemain perlu menghalang Risky Boots daripada mengubah dunia.

Leave a Reply