Sebelum ini saya ada mengeluarkan ulasan untuk laptop Predator Helios 18 AI yang menawarkan spesifikasi yang sangat memuaskan, bersaiz besar dan juga harga yang boleh dikatakan agak tinggi, satu lagi laptop yang diumumkan bersama oleh Predator adalah Predator Helios Neo 16S AI, yang menawarkan kuasa mencukupi untuk bermain permainan video, tetapi dengan skrin yang lebih kecil, badan yang lebih ringan dan juga harga yang lebih berbaloi.


Laptop ini hadir dengan lima pilihan SKU yang berbeza dengan SKU yang saya gunakan untuk ulasan ini adalah pilihan dengan spesifikasi tertinggi dan ditawarkan dengan harga RM11,999 mengikut harga pasaran yang dicadangkan, tetapi semasa penulisan ini anda boleh dapatkannya dengan potongan harga sehingga RM2000 iaitu RM9,999. Ia masih satu harga yang tinggi tetapi dengan spesifikasi yang disediakan, ia adalah satu penawaran yang menarik.
Berikut merupakan spesifikasi ringkas untuknya:
| Skrin | 16-inci, 2560 x 1600, OLED, 240Hz |
| CPU | Intel Core Ultra 9 275HX |
| GPU | NVIDIA GeForce RTX 5070Ti (12GB) |
| RAM | 32GB |
| Storan | 1TB DDR5 |
| Harga | RM11,999 (Harga Promosi: RM9,999) |
Paparan
Perkara pertama yang membuatkan saya tidak merasakan harga laptop ini terlalu mahal adalah kualiti paparan yang digunakan. Ia menggunakan skrin bersaiz 16-inci yang bagi saya satu saiz yang agak sempurna tidak terlalu besar sehingga menyukarkan saya untuk menjadikannya sebagai ‘mudah alih’. Selain itu, dengan panel OLED, ia benar-benar memberikan kualiti gambar yang sangat cantik, dengan warna yang jitu, dan warna gelap yang sangat baik. Ini tidak kira semasa bermain permainan video dan juga menonton kandungan-kandungan hiburan terutama yang menyokong fungsi HDR.

Kualiti gambar dan warna ini hadir melalui teknologi CineCrystal yang digunakan, akan tetapi ia hadir dengan satu masalah ataupun kekurangan yang sangat memberi kesan kepada pengalaman saya, iaitu ia sangat silau dan memantul. Jika anda berada di bilik yang terang ia akan memantulkan cahaya lampu, dan jika lampu dimalapkan, ia masih memantul lampu daripada papan kekunci. Jika bermain ataupun menonton kandungan yang berwarna, masalah ini tidak terlalu jelas tetapi jika permainan ataupun kandungan yang lebih gelap, anda akan dapat melihat anda sendiri di skrin dan ia bukanlah pengalaman terbaik.
Prestasi
Bagi menguji prestasi untuk laptop ini, saya memfokuskan kepada tiga permainan iaitu The Last of Us Part II Remastered, Alan Wake 2 dan Cyberpunk 2077 dan saya menggunakan tetapan tertinggi untuk setiap permainan ini dan menggunakan DLSS Quality tanpa Frame Generation. Saya ada menguji bersama Frame Generation dan juga Ray Tracing akan tetapi oleh kerana ada permainan yang tidak menyokongnya dan ada kualiti berbeza diberikan saya hanya bercakap mengenainya di permainan secara tersendiri. Kesemua permainan ini juga dimainkan dengan skrin penuh iaitu 2560 x 1600, secara terus menggunakan monitor terbina dan bukan menggunakan monitor lain.
Bagi permainan The Last of Us Part II Remastered dengan tetapan Very High, saya mendapat kelancaran secara purata 75FPS, yang bagi saya sudah memuaskan, ini ditambah lagi tempat saya menguji permainan ini adalah antara kawasan terberat untuk permainan ini iaitu kawasan hutan, ditambah lagi berada di tepi sungai. Terdapat laporan mengatakan yang permainan ini, walaupun menyokong Frame Generation tetapi ia tidak memberikan prestasi yang terbaik. Semasa percubaan saya sendiri ia ada mempertingkatkan kelancaran sehingga 90FPS, tetapi mungkin mempunyai kesan di bahagian-bahagian yang lain.

Manakala bagi permainan Alan Wake 2, saya menggunakan tetapan Ultra dan mendapat kadar kelancaran dengan purata 80FPS, sekali lagi sangat memuaskan terutama dengan kecantikan permainan ini walaupun di dalam dunia yang seram dan gelap. Saya mengujinya di beberapa tempat berbeza seperti di dalam bangunan, di kawasan pekan dan juga di dalam hutan dan ia memberikan prestasi yang lebih kurang. Saya boleh katakan yang kawasan hutan yang akan memberi kesan paling ketara untuk kelancaran tetapi tidak terjejas terlalu jauh berbanding kadar kelancaran purata. Seperti biasa untuk permainan oleh Remedy Entertainment, Ray Tracing sangat membantu untuk memberi pengalaman yang lebih baik, tetapi ia sangat berat walaupun tetapan yang rendah sahaja. Anda mungkin perlu menggunakan Frame Generation yang dilakukan dengan baik untuk permain ini, dan juga mungkin merendahkan resolusi untuk mendapat kelancaran yang lebih stabil dan memuaskan.

Manakala bagi Cyberpunk 2077, dengan tetapan Ultra saya mendapat kadar kelancaran secara purata 70FPS dan saya mengujinya di kawasan bandar, dengan 5-bintang untuk polis agar mendapat keadaan yang huru-hara. Oleh itu, boleh jangkakan kadar kelancaran yang lebih baik bagi sesi permainan yang lebih normal. Cyberpunk 2077 mempunyai bandar yang cantik menggunakan Ray Tracing, tetapi semasa saya mengujinya, ia agar sukar untuk mendapatkan 60FPS yang stabil walaupun menggunakan tetapan terendah untuk RT, tetapi jika anda boleh bermain dengan 30FPS, ia akan memberikan prestasi yang stabil dan kualiti gambar yang sangat cantik.

Jika anda memilih untuk bermain permainan menggunakan monitor 1080p, ia sudah semestinya memberikan prestasi yang lebih baik, akan tetapi saya cadangkan anda melakukannya jika ia adalah monitor berkualiti tinggi ataupun OLED kerana selepas bermain permainan di paparan ini, agar sukar untuk beralih ke monitor yang lain.
Rekaan
Predator Helios Neo 16S mempunyai DNA rekaan yang sama dengan Predator Helios 18 AI tetapi dengan lebih ringkas, RGB hanya terdapat di bahagian papan kekunci sahaja. Ia satu rekaan yang ringkas, dan mungkin kelihatan biasa berbanding laptop-laptop gaming yang lain, tetapi saya menyukainya. Walaupun minimalist tetapi ia masih mempunyai identiti tersendiri terutama di bahagian belakang. Dengan kenipisan 12mm di bahagian yang paling nipis dan berat 2.30 kg, ia merupakan satu laptop yang tidak bermasalah untuk saya gunakan di mana sahaja saya berada, ia juga laptop yang saya boleh bawa setiap hari tanpa terlalu menyusahkan.




Bagi port, ia mempunyai satu HDMI bersama dengan dua USB 3.2 Gen-2 Type C di bahagian belakang dengan satunya turut menyokong thunderbolt. Manakala di bahagian kiri terdapat satu USB Type-A, LAN, pembaca MikroSD dan picu audio, di bahagian kanan terdapat dua lagi USB Type-A. Dengan lima port untuk USB, bagi saya sangat mencukupi walaupun saya juga lebih suka jika terdapat satu ataupun dua port USB-C berada di bahagian tepi. Selain itu, dengan port seperti LAN serta MikroSD masih disertakan, ia membantu untuk memastikan laptop ini boleh digunakan dengan mudah untuk kegunaan umum.
Pengalaman Umum
Walaupun selepas sesi bermain permainan video yang berterusan, saya boleh katakan yang laptop ini tidak terasa terlalu panas dan saya masih menggunakan papan kekunci ataupun merehatkan tangan di bahagian laptop tanpa sebarang masalah, namun kekurangannya ia hadir dengan sistem kipas yang agak bising terutama semasa melakukan aktiviti yang berat. Ia satu kekurangan, tetapi bukan masalah untuk saya kerana saya berpuas hati dengan sistem penyejukan yang hadir, ia satu trade off yang berbaloi bagi saya tetapi mungkin sedikit bersamalah jika anda berhajat untuk bermain di tempat awam.

Papan kekunci juga memuaskan, saya tidak menolak jika Predator ingin hadir dengan papan kekunci yang lebih tinggi tetapi apa yang tersedia sudah baik dan selesa untuk digunakan semasa bermain permainan video ataupun semasa kegunaan umum. Dengan rekaan yang rendah, ia juga memberikan pengalaman menaip yang tidak terlalu bising, walaupun apabila anda tekan ia masih terasa memuaskan. Sistem lampu dengan beberapa zon adalah seperti yang dijangkakan, walaupun saya memilih untuk menutupnya kerana masalah pantulan yang saya nyatakan di atas.

Bagi bateri, ia bukanlah sesuatu yang boleh diharapkan dengan lebih untuk satu laptop permainan video. Bagi kegunaan umum, tanpa bermain permainan video ia boleh bertahan 4 hingga 5 jam, tetapi bagi sesi bermain, saya tidak cadangkan untuk menggunakan bateri kecuali bagi permainan permainan-permainan ringan, begitupun ia tidak akan memberikan ketahanan bateri yang memuaskan. Jika bercadang untuk bermain permainan video, sentiasalah bersedia untuk menyambung kepada palang kuasa bagi pengalaman terbaik dan tidak terganggu dengan kekurangan bateri, walaupun baru sahaja bermula dengan sesi permainan.

Pembesar suara untuk laptop ini juga adalah baik, jika anda mementingkan kekuatan volume, ia boleh jadi kuat tetapi dinamik bunyi tidak terbaik dengan kebanyakan bunyi akan kedengaran mendatar. Oleh itu, ia bukan pembesar suara yang memuaskan untuk anda menonton kandungan hiburan, ataupun mendengar muzik tetapi memuaskan jika untuk sesi tontonan yang kasual ataupun bermain permainan video yang tidak memerlukan kualiti audio yang tinggi.
Kesimpulan
Predator Helios Neo 16S AI satu laptop yang berkuasa dan dapat bermain permainan-permainan terkini dengan memuaskan, menggunakan tetapan tertinggi tidak memberi masalah untuk mendapat kelancaran melebihi 60FPS. Ia hadir dengan harga yang tidak boleh dikatakan sebagai murah, tetapi dengan prestasi serta tambahan lagi paparan OLED, harga tersebut terasa berbaloi dan anda akan mendapat apa yang dibayar. Saiz serta rekaan yang tidak terlalu tebal juga membantu untuk menjadikan laptop ini lebih portable dan membawanya setiap hari tidak terasa seperti satu bebanan. Jika anda mencari laptop yang memberikan prestasi yang memuaskan, paparan yang berkualiti tinggi dan senang untuk di bawa, laptop ini adalah satu pilihan yang baik.
Gambar: Zamir


